- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Hantar Bantuan Banjir Fasa Ketiga Ke Kelantan
Pauh Putra, 8 Januari 2015 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur fasa ketiga dalam usaha membantu mempercepatkan proses pembersihan kawasan banjir di Kelantan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, seramai 160 sukarelawan dari badan beruniform UniMAP telah bergerak ke Tumpat, pagi tadi.
“Mereka terdiri daripada Badan Beruniform Briged Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), St. John Ambulance Malaysia dan Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia (KLKM) UniMAP,” katanya.
Malah lebih bermakna, apabila alumni UniMAP turut sama menyertai misi bantuan yang bermula 8 dan bakal berakhir pada 11 Januari nanti.
“Operasi fasa ketiga ini akan meneruskan kerja-kerja pembersihan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut yang telah dimulakan oleh sukarelawan UniMAP fasa kedua.
“Tidak ketinggalan, kita juga akan memberi penumpuan di kawasan-kawasan sekolah yang masih belum dibersihkan antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pinang,” katanya ketika membuat pelepasan Sukarelawan di Perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di kampus induk UniMAP, di sini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Hj Mohamad; dan Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UniMAP, Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Dr. Salleh Abd. Rashid.
Terdahulu dalam Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur telah melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang bertolak ke Tumpat pada 1 Januari dan mengakhiri misi mereka pada 5 Januari lalu.
Misi kemudiannya diambil alih oleh fasa kedua bermula 5 Januari dan dijangka berakhir 9 Januari dan diteruskan oleh fasa ketiga sehingga 11 Januari ini.
Manakala, pergerakan sukarelawan fasa keempat melibatkan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MKPP) pada 11 hingga 15 Januari 2015 dan diteruskan oleh sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh yang dijangka akan melibatkan paling ramai sukarelawan melalui penganjuran serentak Program Inovasi Sosial 1Malaysia di tiga negeri yang dilanda bencana seperti Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.