- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP dan UNPAB Meterai Kerjasama Pendidikan
Pauh Putra, 23 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universitas Pembangunan Panca Budi (UNPAB) Medan, Indonesia melangkah ke satu lagi fasa kerjasama apabila menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi mengukuhkan lagi kerjasama akademik dan pendidikan.
Perjanjian tersebut merupakan susulan kerjasama yang terjalin semenjak penghujung 2012 yang mengkhusus kepada penawaran program pengajian pasca siswazah terutama Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT).
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata, perjanjian tersebut juga adalah selaras dengan hasrat dan misi kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian di Universiti Awam (UA).
Susulan itu, ujar beliau, seramai 15 calon pelajar telah berkunjung dan mengadakan sesi pertemuan bersama pensyarah dan pada masa sama turut mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program-program pascasiswazah yang ditawarkan oleh PPIPT.
“Sehingga kini terdapat 16 pensyarah UNPAB ditawarkan tempat bagi mengikuti pengajian pasca siswazah iaitu seorang calon Ijazah Sarjana Sains (Penyelidikan) dan 15 calon PhD.
“Menerusi kerjasama ini, saya berharap UniMAP dan UNPAB bukan sahaja akan berhubung atas gerbang akademik, sebaliknya ia akan turut dikembangkan mencakupi pelbagai aspek dan bidang lainnya,” ujar beliau.
Memorandum berkenaan ditandatangani oleh Datuk Kamarudin mewakili UniMAP manakala UNPAB diwakili oleh rektornya, Dr. H. Muhammad Isa Hindrawan.