- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bantu UUI Bangunkan Prasarana Perpustakaan
Kangar, 30 Januari 2015 - Kepakaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diakui di peringkat antarabangsa apabila Universiti Ubudiyah Indonesia (UUI) ingin mendapatkan khidmat nasihat dalam membangunkan prasarana perpustakaan universitinya.
Menurut Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP,Puan Mazmin Mat Akhir, perkara tersebut telah dipersetujui semasa lawatan pertama UniMAP ke UUI Oktober tahun lalu.
“Pada lawatan tersebut, UniMAP telah menyediakan laporan cadangan pembangunan perpustakaan bersesuaian dengan keperluan dan hala tuju UUI sebagai universiti siber yang unggul di Indonesia.
“Kerja-kerja perundingan susulan dilaksanakan dengan membentangkan kerangka pembangunan perpustakaan bersepadu dan perkhidmatan kemudahan layan diri seperti stesen peminjaman bahan, kotak pemulangan buku selain panel pemantauan keselamatan bahan, “katanya ketika dihubungi selepas kembali dari mengikuti lawatan susulan ke UUI.
Turut bersama dalam projek pembangunan prasarana kerangka pelaksanaan ini ialah Inter XS Sdn Bhd dan Media Resources Sdn Bhd.
Hasil dari lawatan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Januari 2015 itu, UUI dan UniMAP bakal mengusahakan projek pembangunan kandungan e-buku dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dengan kepakaran teknologi dari Malaysia.
Sebelum ini deligasi UUI yang diketuai rektornya Ibu Marniati S.E.M Kes telah mengadakan lawatan ke kampus UniMAP Pauh Putra dan mereka amat mengagumi prasarana yang disediakan di PTSFP.
“Kita amat berbesar hati kerana dapat berkongsi pengalaman tentang amalan terbaik dan pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan oleh UUI dalam membangunkan gedung ilmu untuk manfaat warganya.
“UniMAP berharap untuk terus bekerjasama dengan pihak UUI untuk memenuhi komitmen membangunkan Perpustakaan Global yang dijenama dengan identiti Asia,”katanya lagi.
Sementara itu,Naib Canselor UniMAP Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berharap agar perkongsian kerjasama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya sekaligus menjadikan perpustakaan UUI sebagai cerminan PTSFP.