A+ A A-

UniMAP salur RM150,000 Bantu Mangsa Banjir

Putrajaya,9 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sempena pelancaran Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, hari ini.

Pelancaran tabung bantuan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan 2, Dato' Seri Idris Jusoh adalah kesinambungan usaha KPM bagi membantu mangsa banjir selepas menggerakkan Ops Pasca Banjir membabitkan 50,000 sukarelawan daripada pelajar dan kakitangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta seluruh negara sejak 1 Januari lalu.

Cek sumbangan disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin serta wakil-wakil daripada IPT lain kepada Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 juta.

Kamarudin berkata UniMAP sebelum ini menyumbang sebanyak RM120,000 daripada Tabung Bencana UniMAP khusus bagi membantu mangsa banjir yang merupakan sumbangan daripada seluruh warga UniMAP sendiri menjadikan keseluruhan sumbangan daripada UniMAP ialah RM150,000.

"Pihak UniMAP amat mengutamakan agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) justeru hasrat KPM bagi membantu mangsa-mangsa banjir disambut baik oleh semua warga UniMAP sendiri yang juga menghantar 2000 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan kakitangan pelbagai peringkat jawatan bagi membantu di Kelantan sejak 1 Januari lalu.

"Pelancaran Tabung Bantuan Banjir ini juga dapat memudahkan pihak IPT termasuk UniMAP menyalurkan bantuan dengan lebih mudah kepada mangsa-mangsa banjir sekaligus menjadikan KPM sentiasa dekat di hati masyarakat," kata beliau.

Katanya, komitmen tinggi UniMAP terhadap CSR juga mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada World Confederation of Business (WORLDCOB-CSR : 2011,2) pada November tahun lalu.

"Pengiktirafan ini diberi selepas UniMAP dinilai sebagai sebuah institusi yang mempunyai sistem pengurusan terbaik dalam tiga bidang iaitu Hubungan Pekerja, Komuniti dan Tanggungjawab Persekitaran.

"Oleh itu UniMAP akan terus memanfaatkan pengiktirafan ini dengan terus menggerakkan CSR di kalangan warga UniMAP kepada pihak yang lebih memerlukan khususnya mangsa banjir di pantai Timur " kata beliau.

Selain UniMAP, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) , Universiti Malaysia Pahang(UMP) dan lain-lain IPT Awam serta beberapa IPT Swasta seperti Universiti SEGi, Universiti Antarabangsa INTI, dan Universiti Sunway turut menyalurkan sumbangan bagi Tabung Bantuan Banjir berkenaan.

Matlamat pelancaran tabung ini oleh KPM adalah bagi memudahkan proses sumbangan daripada semua IPT termasuk politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta membolehkan pengurusan bantuan lebih efektif oleh YSS merupakan yayasan milik penuh KPM.

Sumbangan yang disalurkan kepada YSS yang diberi status Tax Exempt Company oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membolehkan syarikat atau individu yang memberi sumbangan atau penajaan menuntut perbelanjaan ini daripada cukai pendapatan mereka menerusi Tax-Exempt Receipts yang dikeluarkan oleh YSS. 

KPM

Datuk Kamarudin (kiri) bersalaman dengan Dato' Seri Idris Jusoh ketika menyampaikan cek sumbangan kepada Datuk Zuraidah Atan (baju biru)

 KPM

Wakil IPT bersama replika cek masing-masing sebelum disampaikan kepada YSS.