- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Sasar Kedudukan 500 Universiti Terbaik Dunia Menjelang 2020
PAUH PUTRA (ARAU), 11 Feb (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk terus berdaya saing dan relevan dengan menyasarkan berada dalam ranking ke-500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.
Naib Canselornya Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata antara strategi ke arah mencapai matlamat itu ialah penubuhan pasukan 'Intelligent QS' bagi memastikan kriteria dan indikator yang ditetapkan dipenuhi.
"Berdasarkan QS World Universitites Ranking and Rating, UniMAP kini berada antara 750 hingga 800 universiti terbaik dunia walaupun ia universiti awam termuda negara yang menduduki tangga 243 di Asia.
"Ini menunjukkan kita sedang mendekati indikator untuk mencapai kedudukan 500 terbaik dunia tetapi perlu terus berusaha selain memastikan UniMAP relevan dengan perkembangan semasa,"katanya selepas menyampai ucap tama selepas dilantik semula sebagai Naib Canselor UniMAP di sini, Rabu.
Beliau menamatkan perkhidmatan semalam dengan mencatat sejarah sebagai Naib Canselor paling lama memegang jawatan itu selama 13 tahun dan dilantik semula secara kontrak selama setahun bermula hari ini.
Indikator lain ialah reputasi majikan, nisbah sitasi per pensyarah, nisbah penerbitan per pensyarah, jumlah pelajar antarabangsa serta pertukaran pelajar dalam negeri dan luar negara, katanya.
"Kita telah menghampiri indikator ini...dan perlu melaksanakan banyak lagi inisiatif sekiranya berhasrat mencapai kedudukan antara 500 universiti terbaik dunia pada tahun 2020," katanya.
Kamarudin berkata UniMAP akan melantik profesor dari universiti terkemuka dunia untuk menilai penerbitan dan kegiatannya yang akan dihantar setiap minggu bagi melonjak kedudukannya.
Perancangan juga dibuat untuk menjana pendapatan sehingga 30 peratus dari jumlah perbelanjaan UniMAP setahun menjelang 2020 berbanding 15 peratus pada masa ini.
"Usaha ini akan dilaksanakan antaranya melalui kerjasama keusahawanan dengan pihak luar, meningkatkan endowmen, memanfaatkan litar go-kart, pembinaan sekolah antarabangsa di UniCiti di Padang Besar dan memajukan Putrace (Proven UniMAP Training Centre) untuk pertandingan robot," katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Kamarudin meminta kakitangan UniMAP menyumbang pendapat ke arah meningkatkan daya saing universiti itu.
Beliau berkata UniMAP menyertai Liga QS Universities Ranking and Rating adalah selari dengan tujuan penubuhannya menjadi universiti kejuruteraan terkemuka dunia.
"Saya juga berbangga kerana UniMAP turut menghantar 2,100 sukarelawan dianggotai 1,900 pelajar dan 200 staf membantu mangsa banjir pantai timur baru-baru ini di samping menyumbang kutipan sebanyak RM41,041," katanya.
Majlis itu dihadiri pegawai-pegawai kanan serta staf-staf UniMAP.