- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Serah Sumbangan Untuk Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam Acheh
Banda Acheh, 15 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dalam rangka Program Kembara Ilmu di Bumi Acheh turut berkesempatan berkunjung ke rumah anak-anak yatim Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam (YPI) di Seutui di sini.
Berkenan berangkat hadir dalam lawatan tersebut ialah Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia, Marniati M. Kes, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal ST dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan, Mohd. Nizar Haji Sudin.
Panti asuhan tersebut ditubuhkan semenjak tahun 1959 oleh Ustaz Zulkarnaen namun selepas kejadia tsunami yang melanda acheh, ia diubah suai mengikut hasil model rencana kontingensi bencana Gempa-Tsunami bagi mengumpulkan anak-anak mangsa tsunami yang terselamat dari bencana tetapi kehilangan harta benda, ibu atau ayah dalam bencana tersebut.
PYI menghimpunkan hampir 60 orang anak-anak yatim berusia di antara enam hingga 17 tahun. Kesemua anak-anak tersebut akan tinggal di YPI tersebut sehingga menamatkan persekolahan peringkat sekolah menengah rendah atau sekolah menengah atas.
Menurut guru agama panti asuhan YPI, sebahagian besar anak-anak akan kembali ke kampung halaman masing-masing sebaik tamat pengajian peringkat sekolah sama ada untuk meneruskan kelansungan hidup dengan bekerja atau menyambung pengajian ke pringkat universiti.
“Anak-anak ini akan dihantar bersekolah pada waktu siang sama seperti anak-anak lainnya, dan pada waktu malam akan mengikuti kelas pengajian Al-Quran dan kuliah agama,” ujar beliau sewaktu sesi taklimat dan pengenalan.
Pada sesi kunjungan tersebut juga, UniMAP turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai kepada pentadbiran panti asuhan selain turut sumbangan duit belanja kepada anak-anak YPI.
Selain itu, anak-anak YPI turut dihiburkan dengan sesi aktiviti dan permainan yang dikendalikan oleh Penolong Pendaftar UniMAP, Muhammad Azuan Mohd. Nasir.
Dalam pada itu, Datuk Kamarudin melahirkan rasa kagum dengan semangat anak-anak PYI yang begitu ceria dan bersemangat menerima kunjungan tetamu meskipun dalam keadaan serba kekurangan.
Beliau seterusnya menasihati anak-anak YPI untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai jaminan masa hadapan masing-masing.
“Saya terharu, bangga dan kagum dengan semangat kental anak-anak ini yang pada hemat saya amat gembira dengan kehidupan mereka di panti asuhan ini,” ujar beliau.