A+ A A-

346 Penghuni Kolej Terima Anugerah Kecemerlangan Akademik

KANGAR, 27 Februari – Seramai 346 penghuni Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani (KKTAG), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan penghargaan pada Malam Apresiasi Tunas Akademik (MATA) baru-baru ini.

Majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan bagi memberi penghargaan kepada penghuni kolej berkenaan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata majlis penghargaan seperti MATA yang dianjurkan KKTAG merupakan sesuatu yang baik bagi menaikkan semangat pelajar.

“Majlis penghargaan seperti MATA ini seharusnya dianjurkan oleh semua kolej kediaman untuk memantau prestasi akademik setiap penghuni-penghuni kolej .

“Saya juga ingin menyarankan pihak pengurusan kolej memberikan keistimewaan kepada para penghuni yang mendapat keputusan cemerlang setiap semester seperti dibenarkan memilih rumah dan rakan serumah atau sebilik bagi memudahkan mereka berikteraksi dengan lebih berkesan,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

Turut hadir, Pengetua KKTAG, Raja Shah Erman Raja Arifin dan Pengetua Kolej Kediaman UniCITI ALAM, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Pada masa yang sama juga, Dr. Mohd Fo’ad juga menyambut baik cadangan pengetua kolej agar kajian diadakan dikalangan penerima anugerah berkaitan persekitaran kondusif kolej kediaman yang menyumbang kepada faktor kepada kecemerlangan akademik para penghuni.

Sementara itu, ujar Raja Shah Erman, Anugerah Kecemerlangan Akademik itu bertujuan untuk mengiktiraf penghuni tahun satu hingga empat tahun yang memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan semester 1, 2014/2015 lepas.

“Terdapat dua kategori telah diperkenalkan pada anugerah kali ini iaitu anugerah tunas akademik bestari bagi mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred (PNG) 3.50 ke atas dan anugerah akademik tunas intelek bagi yang memperoleh PNG 3.75 ke atas.

“Dan pada malam ini kita telah memberikan anugerah ekapda 130 penghuni menerima bagi kategori tunas intelek dan 216 anugerah untuk kategori tunas bestari,”katanya.