A+ A A-

Program Eksplorasi Maritim III KLKM Laut UniMAP Bersama APMM 2016

Langkawi 18 Mei: Seramai 40 ahli Kumpulan Latihan Kelana Mahasiswa Laut (KLKM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti program Eksplorasi Maritim III bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 2016 di Langkawi baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UniMAP Ahmad Nasir Che Rosli   berkata program selama dua hari itu menumpukan latihan aktiviti air dan ilmu berkaitan pelayaran merangkumi seamanship, navigasi, teknikal dan penguatkuasaan.

“Para peserta diberikan pendedahan ilmu di air oleh jurulatih KLKM Laut UniMAP manakala program pelayaran dibuat oleh pihak APMM melibatkan dua buah kapal iaitu KM Tenggol dan KM Sikuati. 

“Ia bertujuan untuk memantapkan silibus ko-kurikulum KLKM Laut UniMAP selain peserta banyak didedahkan dengan ilmu teori didalam kelas sekaligus dapat menambah ilmu sedia ada,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Daerah Maritim 1 Langkawi, di sini.

Ujar beliau lagi, semua modul itu amat berguna kepada semua peserta  terutamanya kepada yang meminati aktiviti air terutamanya bagi tujuan keselamatan.

“Ilmu yang didedahkan semasa aktiviti air dapat membantu peserta bagi menangani perkara buruk yang boleh berlaku semasa melakukan aktiviti air seperti memberi bantuan awal sekiranya berlakunya kejadian tidak diingini seperti kejadian lemas.

“Justeru, saya berharap program seperti ini bersama APMM ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan kerana pengisiannya adalah amat bermanfaat kepada ahli KLKM Laut UniMAP,” kata beliau.

 

Sementara itu, pihak APMM turut melakukan demonstrasi penguatkuasaan dimana demo penahanan bot yang disyaki melanggar undang-undang maritim dibuat sebagai pendedahan kepada para peserta.

Turut hadir pada program ini ialah Leftenen Komander Maritim Mohd Aizad Zainudin yang mewakili Laksamana Pertama Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee.