A+ A A-

RP52 Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan)

 

Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan

RP52 – Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian)

             (Keusahawanan Kejuruteraan) 

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan usahawan yang berasaskan kejuruteraan dan teknologi pengurusan yang menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan. Program ini direkabentuk untuk para pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan tetapi mahu membangunkan pengetahuan dan kemahiran asas ilmu kejuruteraan yang berkaitan dengan penghasilan dan pemasaran produk-produk berasaskan teknologi dan industri.

Seterusnya, program ini berhasrat melahirkan graduan yang mempunyai kefahaman dan kemahiran yang lebih seimbang antara aspek keusahawanan dan teknikal melalui pembelajaran kursus-kursus asas kejuruteraan dan keusahawanan. Mereka juga mampu berdikari, komited terhadap lapangan yang diceburi serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan cabaran di era globalisasi pada masa kini.

Graduan Keusahawanan Kejuruteraan mempunyai prospek kerjaya yang amat cerah memandangkan mereka dilatih untuk menjadi usahawan teknologi yang berjaya. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman melalui program inkubator secara off-campus, graduan diyakini mampu menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak dinafikan, mereka akan berhadapan dengan segala risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan. Namun diyakini graduan program ini mampu menghasilkan individu yang berdaya saing yang tinggi, komited, cekal untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Teknousahawan/ Usahawan Atas Talian
  • Perunding Perniagaan
  • Pegawai/ Eksekutif Kredit
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik
  • Pegawai/ Eksekutif Kewangan
  • Pegawai/ Eksekutif Projek
  • Ahli Akademik
  • Jurutera Jualan/ Eksekutif Jualan
  • Pegawai Acara
  • Pegawai Logistik/ Pergudangan
  • Pelatih Pengurusan
  • Perunding Perniagaan
  • Perancang Organisasi Strategik
  • Pegawai Operasi
  • Pegawai/ Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan
  • Pegawai/ Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan
  • Pengurus/ Eksekutif di bidang Pemasaran, Operasi, Sumber Manusia
  • Pegawai Penyelidik

RE09 Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa)

 

Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan

RE09 – Ijazah Sarjana Muda Perniagaan  (Kepujian)

             (Perniagaan Antarabangsa)

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa serta melahirkan tenaga pakar sebagai pengurus atau pekerja dalam apa jua dunia perniagaan.  Maka, ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang isu global serta ilmu perniagaan antarabangsa merupakan persediaan penting untuk menghadapi dunia perniagaan yang lebih kompetitif.

Graduan daripada program ini dapat memahami intipati untuk menjalankan pengurusan perniagaan di Malaysia dan di peringkat global di samping memahami faktor budaya, bahasa, sistem politik, geografi, dan sosio ekonomi. Mereka juga mempunyai kebolehan menggabungkan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, berketrampilan, boleh berdikari serta berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah melalui pemikiran yang inovatif dan kreatif serta didokongi sifat mulia dan terpuji.

Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia (world class education).

Kerjaya utama bagi graduan lulusan program ini adalah sebagai pengurus dalam bidang pekerjaan yang berasaskan kemahiran pengurusan, operasi, kewangan, audit, pelaburan dan perbankan, sumber manusia , pemasaran dan teknologi maklumat.   Graduan ini juga berkemampuan memberikan perkhidmatan pakar dalam sektor penyelidikan dan pembangunan industri perniagaan melalui khidmat nasihat perniagaan, urusniaga perdagangan ke atas syarikat multinasional, industri tempatan, industri kecil, universiti dan badan korporat dan agensi kerajaan. Mereka juga berupaya memberikan perkhidmatan dalam bidang perundingan dan penasihatan contohnya sebagai perunding pengurusan projek dan perancang pelan perniagaan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Pegawai/ Eksekutif Kewangan
  • Pegawai Perhubungan Awam
  • Perunding Perniagaan
  • Pegawai/ Eksekutif Kredit
  • Pelatih Pengurusan
  • Perancang Organisasi Strategik
  • Penasihat Pelaburan
  • Pegawai Diplomat
  • Perunding Export/Import
  • Teknousahawan/ Usahawan Atas Talian
  • Pegawai Penyelidik
  • Agen Pengagihan (Forwarding Agent)
  • Penganalisis Pertukaran Matawang
  • Pengurus Operasi
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik
  • Pengeksport/ Pengimport
  • Pengurus Pengangkutan (Laut, Udara, Air dan Paip)
  • Pegawai Kastam (dokumentasi, cukai dan tarif)
  • Pegawai/ Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan
  • Pegawai/ Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan
  • Perunding/ Pengurus Logistik/ Penyimpanan/ Gudang
  • Ahli Akademik/ Pembantu Penyelidik/ Pegawai Penyelidik
  • Pembuat Keputusan/Ketua dalam Organisasi/ Projek Antarabangsa/ Tugasan Antarabangsa
  • Juruanalisa Perniagaan/ Perancang Perniagaan
  • Pengurus/ Eksekutif di bidang Pemasaran, Operasi, Sumber Manusia, Hotel & Fasiliti, dan Industri Pelancongan

RK07 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dengan Kepujian

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

RK07 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dengan Kepujian

             

Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar. Para graduan diterapkan dengan budaya ilmu kejuruteraan supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai jurutera profesional serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.  Kurikulum Kejuruteraan Alam Sekitar adalah merangkumi pengetahuan dalam bidang sains kejuruteraan (seperti termodinamik, mekanik bendalir dan pemindahan jisim), sains tulen (seperti ekologi asas dan kimia sekitaran), pengurusan sumber alam sekitar (seperti penilaian dan pengurusan alam sekitar) serta teknologi kejuruteraan alam sekitar (seperti kejuruteraan air sisa, kejuruteraan pencemaran udara dan remediasi alam sekitar).

Prospek kerjaya para graduan setelah tamat kursus adalah luas kerana mereka dilatih secara multidisiplin yang melibatkan kajian kimia, mikrobiologi, ekologi dan pengurusan kejuruteraan dan alam sekitar selain daripada prinsip-prinsip kejuruteraan.  Di antara sektor-sektor kerajan dan swasta yang menawarkan peluang kerjaya kepada para graduan adalah seperti JAS, JPS dan JKR, Nuclear Malaysia, MARDI, PORIM, NIOSH, industri tenaga, air, petroleum dan petrokimia serta pembinaan, tempatan dan antarabangsa. 

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera/Pegawai Alam Sekitar
  • Jurutera/Eksekutif Penilaian Risiko
  • Pegawai Peguatkuasa Alam Sekitar
  • Jurutera Pemulihan Tapak
  • Jurutera Proses
  • Jurutera Sumber/Bekalan Air
  • Jurutera/Eksekutif Perunding
  • Jurutera Kawalan Pencemaran
  • Jurutera Kesihatan Awam
  • Ahli Akademik
  • Eksekutif Pembangunan Mampan
  • Kontraktor Teknikal Alam Sekitar
  • Jurutera/Eksekutif Jualan
  • Usahawan Alam Sekitar
  • Jurutera/Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar
  • Jurutera/Pegawai Kawalan Kualiti Alam Sekitar

RK01 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar

RK01 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian

Program ini adalah bertujuan melahirkan para graduan yang berkelayakan akademik dan berkemahiran di dalam bidang Kejuruteraan Awam.  Para graduan diterapkan dengan budaya ilmu kejuruteraan supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai jurutera profesional serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.  Pelajar-pelajar yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan pelbagai bidang ilmu mengenai kejuruteraan awam yang meliputi rekabentuk struktur, asas bangunan, teknologi konkrit dan besi, geoteknik, geomatik, pengurusan projek binaan, pengurusan sumber air, sistem binaan berindustri (IBS), teknologi bangunan pintar dan bahan binaan.

Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah amat cerah kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan Kejuruteraan Awam akan mendapat peluang pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta.  Mereka berpeluang berkhidmat sebagai jurutera dalam industri pembinaan, jurutera perunding, kontraktor, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akedemik dan penyelidikan serta agensi kerajaan seperti JKR, JPS dan Majlis Perbandaran serta Kerajaan Tempatan. 

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Awam
  • Jurutera Perunding
  • Jurutera Fasiliti
  • Jurutera Struktur
  • Jurutera Rekabentuk
  • Jurutera Tapak
  • Jurutera Residen
  • Kontraktor/ Pembekal Pakar
  • Jurutera Perkhidmatan Bangunan
  • Jurutera Perunding Awam
  • Jurutera/Eksekutif Jualan
  • Ahli Akademik

RK90 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian dengan Kepujian (dahulunya dikenali Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biosistem dengan Kepujian)

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses

RK90 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian dengan Kepujian
(dahulunya dikenali Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biosistem
dengan Kepujian)

Program ini diperkenalkan untuk menghasilkan graduan yang profesional, serba boleh, dan berkemahiran dalam menangani dan mengurus bidang Kejuruteraan Biosistem yang bertunjangkan sektor pertanian bagi tujuan pengeluaran makanan daripada tanaman dengan persekitaran yang lestari dan berteknologi. Graduan berpengetahuan menggabungkan dan mengaplikasikan prinsip dan teori  kejuruteran dalam  pelbagai aspek sistem biologi untuk menjamin kebolehupayaan, keselamatan dan kelestarian sistem pengeluaran makanan berteknologi tinggi melalui mekanisasi dan automasi. Latihan industri akan menambahkan kemahiran para garaduan untuk menyesuaikan diri di alam perkerjaan dengan cepat.

Graduan program ini berpeluang membina kerjaya sebagai jurutera dan pengurus dalam bidang dan industri berkaitan pertanian, perladangan, pengeluaran dan pemprosesan bahan input dan teknologi pertanian, penyelidikan dan pengurusan sistem  biologi  mapan selaras dengan matlamat negara untuk memajukan dan melestarikan industri berasaskan pertanian.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Agrikultur
  • Jurutera Jualan
  • Jurutera Pengeluaran
  • Jurutera Kawalan Kualiti
  • Jurutera R&D
  • Pegawai Penyelidik
  • Ahli Akademik
  • Jurutera Proses (Industri Pengeluaran)
  • Penolong Pengurus (Industri Kelapa Sawit, FGV, Sime Darby)
  • Usahawan (Industri Perladangan)

RK13 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan

RK13 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian

Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga.

Struktur program ini adalah berlandaskan silibus kejuruteraan mekanikal yang merangkumi teras seperti Mekanik, Termo-bendalir, Bahan, Pembuatan, Kawalan, Mekatronik, Pembuatan Termaju, dan Sistem Pembuatan di samping kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, pengurusan, dan keusahawan. Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri.

Graduan program ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera pembuatan dalam pelbagai industri, sebagai contoh, automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Projek
  • Jurutera Proses
  • Jurutera Produk
  • Jurutera R&D
  • Jurutera Pengujian
  • Jurutera Pembuatan
  • Jurutera Kawalan Kualiti
  • Jurutera Penyelenggaraan
  • Jurutera Fasiliti
  • Jurutera Mekanikal
  • Jurutera Industri

RK28 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian (dahulunya dikenali Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses dengan Kepujian)

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses

RK28 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian
(dahulunya dikenali Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses
dengan Kepujian)

Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir di peringkat profesional yang mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang kejuruteraan bioproses berteraskan kejuruteraan kimia dan juga bidang berkaitan seperti bioteknologi yang semakin berkembang selaras dengan pelan perindustrian negara dan Dasar Bioteknologi Negara. Untuk itu, graduan yang dilahirkan mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan dengan masalah kejuruteraan serta menyelesaikannya. Di samping itu, graduan yang dihasilkan dapat memenuhi aspirasi negara menjadikan bidang bioteknologi sebagai suatu bidang dalam penjanaan ekonomi negara melalui perkembangan bidang teknologi bioproses yang merupakan teras dan pendokong utama dalam proses pengkomersialan hasil penyelidikan bioteknologi.

Struktur kurikulum telah dibentuk dengan memberi penekanan kepada pemahaman teori dan diaplikasikan melalui amali makmal, pembelajaran berbantu komputer, kerja bengkel, latihan industri dan projek yang berlandaskan rekabentuk atau penyelesaian masalah teknologi. Para graduan mempunyai prospek pekerjaan yang luas di mana keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan bioproses amat tinggi selaras dengan matlamat kerajaan untuk memajukan bidang bioproses.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Jualan
  • Jurutera Pengeluaran
  • Jurutera Kawalan Kualiti
  • Jurutera R&D
  • Jurutera Projek
  • Pegawai Penyelidik
  • Ahli Akademik
  • Ahli Kimia
  • Penolong Pengurus Kilang (Industri Kelapa Sawit, FGV, Sime Darby)
  • Jurutera di Firma Konsultan (Rawatan Air, Minyak dan Gas)
  • Jurutera Proses (Industri Makanan, Industri Biokimia, Industri Minyak dan Gas, Industri Elektronik)
  • Usahawan

RK85 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dengan Kepujian

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik

RK85 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dengan Kepujian

Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan jurutera bioperubatan yang mempunyai asas yang kukuh serta berkemampuan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan yang mengkhusus dalam bidang yang berkaitan. Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan merupakan satu bidang ilmu yang menggabungkan ilmu kejuruteraan elektrikal, elektronik, mekanikal bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, dan radiologi. Hasil dari kombinasi ilmu tersebut digunakan untuk membangunkan teknologi terkini dalam bidang perubatan.

Bakal graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera bioperubatan yang boleh mengadunkan pengetahuan kejuruteraan elektronik, kejuruteraan mekanikal serta sistem biologi manusia bagi menghasilkan instrumen bioperubatan dan peralatan perubatan yang lain.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir. Graduan dari program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berpotensi untuk berkhidmat di hospital-hospital, syarikat-syarikat penyelenggaraan peralatan perubatan, institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta industri peralatan elektronik.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Bioperubatan
  • Jurutera Perkhidmatan
  • Pengurus Kejuruteraan
  • Perunding kejuruteraan bioperubatan
  • Jurutera jualan bioperubatan
  • Jurutera servis bioperubatan
  • Jurutera R&D
  • Pegawai penyelidikan
  • Ahli akademik

Sub-kategori