A+ A A-

Charity Rainbow Run 2015: Redakan Tekanan Sambil Membantu

Kangar, 23 Mei – Dengan matlamat bagi meredakan tekanan pelajar sebelum menghadapi peperiksaan akhir dan membantu golongan yang memerlukan, Charity Rainbow Run 2015 berlangsung dengan jayanya di Kolej Kediaman Tan Sri Aisyah Ghani (KKG), di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) KKG berkenaan berjaya melibatkan penyertaan hampir 700 peserta termasuk pelajar UniMAP dan masyarakat luar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan yang mewakili Naib Canselor berkata terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka dan kanak-kanak.

Katanya, melalui kutipan yuran penyertaan sebanyak RM15 , sebahagiannya akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan termasuk anak-anak Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autism (A-HEART) yang ditubuhkan UniMAP tahun lalu.

UniMAP sentiasa proaktif dalam menjalankan misi tanggungjawab sosial universiti (USR), justeru melalui program seperti golongan autism dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang lain dapat dibantu,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Charity Rainbow Run 2015.

Hadir sama ialah Encik Muhamad Azuan Nasir, Penolong Pengetua KKG mewakili Pengetua KKG, Dr Ragunathan a/l Santiagoo.

Turut berkenan berangkat hadir menyertai dan melancarkan peserta Charity Rainbow Run 2015 ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.

Menurutnya Prof Madya Dr Mohd Foad, program larian ini turut berperanan bagi meredakan tekanan kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi.

“Pihak pengurusan UniMAP berharap semua pelajar dapat melalui peperiksaan akhir dengan baik serta memperolehi kecemerlangan bagi meneruskan pengajian mahupun menceburi bidang pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam majlis tertutup Charity Rainbow Run 2015 turut diadakan cabutan bertuah dan penghargaan kepada kanak-kanak OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Charity Rainbow Run 2015

Charity Rainbow Run 2015

Charity Rainbow Run 2015

Charity Rainbow Run 2015