- Kategori: BERITA - Malay
IJCIMBI 2015 Perkukuh Kerjasama Empat Buah Negara
Banda Acheh, 27 April – Penganjuran Persidangan Antarabangsa Bersama Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Ireland (IJCIMBI 2015) di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) buat julung kalinya tahun ini bakal mengukuhkan lagi kerjasama antara empat buah negara atas konteks akademik dan pendidikan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, penganjuran persidangan secara bersama bertemakan Ekonomi, Sains Sosial dan Teknologi itu merupakan wahana terbaik dalam menterjemahkan konsep rangkaian kerjasama pintar kepada masyarakat.
Beliau yang juga merupakan Penasihat UUI berkata, selain mengukuhkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara keempat-empat negara, penganjuran seminar antarabangsa seperti ini juga bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan rakan institusi akademik lainnya melalui penyertaan peserta.
“Saya amat kagum dengan komitmen dan inisiatif yang diambil oleh Rektor UUI, Marniati M. Kes yang tanpa jemu berusaha memperbanyakkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai institusi akademik dari seluruh dunia.
“Tidak mustahil, dengan komitmen dan inisiatif seperti ini mampu mengukuhkan nama UUI di persada dunia sekaligus membantu universiti tersebut mencapai sasaran menjadi siber universiti terunggu menjelang tahun 2025,” ujar beliau dalam pembentangan Ucap Utama IJCIMBI 2015 di sini hari ini.
Seminar yang menarik lebih 400 penyertaan itu menghimpunkan empat pembentang utama dari empat buah negara iaitu Malaysia, Ireland, Bangladesh dan Indonesia selaku penganjur utama.
Selain Datuk Prof. Dr. Kamarudin dan Marniati, turut dijemput sebagai pembentang utama ialah Presiden Athlone Institute of Technology (AIT), Ireland; Prof. Dr. Ciaran O’ Cathain serta Pengerusi Daffodil International University.
Dalam pada itu, Marniati dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah universiti yang bakal menyambut ulang tahun pertama penubuhannya Rabu ini, penganjuran seminar IJCIMBI bakal meluaskan lagi rangkaian kerjasama UUI dengan institusi akademik terkenal lainnya.
UUI, ujar beliau amat beruntung kerana mendapat khidmat nasihat dari UniMAP yang turut tidak lokek memperkenalkan rakan-rakan strategiknya untuk membolehkan UUI terus memacu kejayaan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Selain itu, Marniati berkata, melalui penganjuran seminar tersebut juga, beliau berharap rakan-rakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Indonesia amnya dan Acheh khasnya, memperolehi ilmu baru dan pengalaman melalui perkongsian hebat pembentang utama.
“Saya amat berharap agar UUI mampu mencotohi rakan strategik ini terutama untuk memacu aspek penyelidikan dan penerbitan jurnal berimpak seterusnya menjadi antara universiti yang disegani di Indonesia,” ujar beliau lagi.
Beliau menambah, IJCIMBI akan dijadikan persidangan tahunan rasmi dengan penganjuran akan dijalankan secara bergilir antara keempat-empat buah negara dengan penganjuran berikutnya bakal berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia.