- Kategori: BERITA - Malay
Enam Profesor UniMAP Dilantik Profesor Kunjungan UUI
Bandar Aceh, 29 April – Enam Professor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilantik sebagai Professor Kunjungan di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) bagi membantu pembangunan akademik, penyelidikan dan kualiti pensyarah di universiti berkenaan.
Perlantikan Prof Dr. Harshita Aini Haroon, Datuk Wira Prof Dr Salleh Haji Din, Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidy Ghazali, Prof Madya Dr Rizalafendi Che Ismail, Prof Madya Dr Huzili Hussin dan Mazmin Mat Akhir itu adalah berdasarkan kepakaran yang dimiliki mereka dalam bidang Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sains, Teknologi, Sains Sosial dan Infrastruktur Perpustakaan.
Perlantikan tersebut diumumkan sendiri oleh Rektor UUI, Marniati M. Kes dalam Istiadat Rapat Senat Terbuka sempena Ulang Tahun Pertama UUI di Dewan AAC Dayan Dawoed di Universiti Syiah Kuala di sini hari ini.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin kemudiannya menerima watikah perlantikan sebagai mewakili kesemua Professor terbabit dengan disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pada istiadat tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin yang dijemput khas turut berkenan menyampaikan titah utama bertajuk “Cabaran ASEAN Economic Community dan Penguatan Kerjasama Institusi Pendidikan Tinggi dalam Kawasan ASEAN”.
Menurut Marniati yang juga Professor Adjung UniMAP, perlantikan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif yang diambil UUI untuk terus memacu kegemilangan pendidikan universiti berkenaan di dunia amnya dan Indonesia khasnya.
“UUI menetapkan misi untuk menjadi Universiti Siber Terkemuka menjelang tahun 2025, justeru perlantikan kesemua pakar akademik dari UniMAP ini diharap dapat membantu kami merealisasikan misi tersebut dalam tempoh yang ditetapkan,” ujar beliau.
Kerjasama antara UUI dan UniMAP bermula semenjak tahun 2013 yang mana pada ketika itu UUI masih berstatus Sekolah Tinggi dengan menawarkan pengkhususan dalam bidang Sains Kesihatan.
UUI kemudiannya dinaiktaraf menjadi Institusi Pengajian Tinggi Swasta pada 29 April tahun lalu dan menawarkan lebih banyak program pengajian antaranya Pendidikan, Kejuruteraan dan Ekonomi.
Menurut Marniati lagi, UniMAP melalui Dr. Kamarudin yang dilantik sebagai Penasihat UUI terus menghulurkan sumbangan dan bantuan dalam pelbagai bidang termasuk mengembangkan rangkaian kerjasama UUI dengan pelbagai institusi pendidikan di seluruh dunia melalui paltform Asian University Presidents Forum (AUPF).
“Hasilnya, dalam tempoh setahun, UUI buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan satu persidangan bertaraf antarabangsa yang melibatkan kerjasama empat buah negara iaitu Persidangan Antarabangsa Bersama Indonesia, Malaysia, Bangladesh dan Ireland (IJCIMBI) pada 27 dan 28 April lalu,” ujar beliau.