A+ A A-

InoS1M Dekatkan Pelajar Dengan Masyarakat Kelantan

Tumpat, 20 Jan – Program Inovasi Sosial 1 Malaysia (InoS1M) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilihat mampu mendekatkan para pelajar universiti itu dengan masyarakat setempat khususnya para guru dan pelajar di negeri Kelantan.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata InoS1M ini merupakan program tahunan universiti berbentuk bakti siswa dan anak angkat yang diwajibkan penyertaannya kepada pelajar tahun satu dan pada tahun ini ia telah diubah pengisiannya kepada Misi Operasi Pascabencana Banjir.

“ Pada program kali ini, seramai 1,440 pelajar termasuk 68 daripadanya adalah pelajar antarabangsa terlibat dalam usaha membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta penyelengaraan ekoran bencana banjir yang telah melanda baru-baru ini.
Saya percaya pendekatan seperti ini mampu membentuk jatidiri pelajar agar menjadi modal insan yang terbilang selain mendidik mereka agar memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi,”katanya.

Penganjuran InoS1M ini juga merupakan kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa bermula 1 Januari lalu dengan tumpuan di Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau ketika berucap pada  majlis perasmian InoS1M di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Laut berkata program ini merupakan misi sukarelawan UniMAP untuk fasa lima hingga lapan yang berlangsung serentak di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Turut hadir, Pemangku Ketua UMNO bahagian Tumpat, Datuk Haji Mohd Rosdi Ab Aziz, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pemangku Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Tuan Haji Che Husin Che Soh dan Pengetua SMK Kampong Laut, Hajjah Jamari Othman.

Pada majlis tersebut juga UniMAP telah menyumbangkan 1,423 pakaian dan keperluan sekolah kepada pelajar dari tujuh buah sekolah sekitar Tumpat antaranya SMK Kampong Laut, Sekolah Kebangsaan Sri Kampong Laut, Sekolah Kebangsaan Kampong Laut, Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Palekbang, Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru dan Sekolah Kebangsaan Manik Urai.

UniMAP turut menyumbangkan 80 kelengkapan elektrik dan 30 tong cat kepada SMK Kampong Laut. Sebanyak 200 keperluan asrama seperti katil, tilam dan bantal juga turut diberikan untuk keperluan sekitar PPD Tumpat.

Sementara itu, dalam sidang media Prof. Dr. Kamarudin berkata UniMAP akan berkongsi kepakaran penyelidikan melalui pemasangan sistem amaran awal banjir yang efisien di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir di Kelantan sebagai persiapan awal menghadapi bencana itu pada masa depan.

“Sistem itu dibangunkan susulan beberapa kajian pemetaan seluas 90 hektar yang dijalankan di kawasan terjejas banjir di Tumpat. Prototaipnya sudah disiapkan dan sebagai permulaan 12 unit pertama akan dipasang pertengahan tahun ini iaitu enam unit di tebing Sungai Kelantan dan enam lagi di beberapa kampung di Tumpat yang terjejas teruk akibat banjir bulan lepas.

Sistem itu akan mengesan paras kenaikan air banjir melalui pengesan waktu nyata dan amaran banjir akan dikeluarkan serta-merta secara visual (cahaya) dan bunyi siren. Ciptaan ini juga amat berguna kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai atau kawasan yang biasa dilanda banjir bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda,”katanya.

Menurut beliau lagi, UniMAP sedang buat pemetaan menggunakan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meninjau dari udara kesan banjir di Tumpat seluas 500 hektar lagi untuk menentukan pemasangan alat pengesan itu.

Penggunaan alat pengesan yang dicipta Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses UniMAP Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi mungkin diperluas ke kawasan dan negeri lain mengikut keperluan.

Peralatan itu juga boleh digabung melalui emel atau sistem pesanan ringkas untuk manfaat agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain itu, Datuk Haji Mohd Rosdi ketika diminta mengulas berkata, kehadiran UniMAP di Tumpat ini membawa banyak semangat dan keceriaan buat masyarakat di sini.

“Selain memberi penekanan untuk melahirkan modal insan terbaik, institusi ini turut memikirkan peranan mereka dalam membantu masyarakat.
UniMAP datang bersama perancangan yang menyeluruh iaitu ketika awal banjir, pertengahan dan selepas banjir. Ini amat memberi kesan yang besar kepada penyelesaian masalah banjir di Tumpat,’katanya.
Ujarnya, bantuan serta penyelidikan yang dijalankan UniMAP memberi impak yang besar dan beliau akan membawa agenda ini  untuk dibincangkan secara menyeluruh pada mesyuarat peringkat Perhubungan UMNO berkaitan kerjasama yang boleh dijalankan bersama dengan pihak universiti.

Inovasi Sosial 1 Malaysia