- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
NIHON SUPERIOR Jepun Persetujui Tambahan Dana Geran Penyelidikan Bernilai RM70 000
Kuala Lumpur, 13 Februari 2015 - Nihon Superior Co Ltd bersetuju bagi melanjutkan kolaborasi dan tambahan geran penyelidikan dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bernilai kira-kira RM70 000.
Syarikat pengeluar bahan pateri terkemuka dunia yang berpengkalan di Osaka Jepun itu sebelum ini sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan UniMAP pada tahun 2013 bagi pembiayaan geran penyelidikan dan kolaborasi dalam bidang berkenaan selama dua tahun membabitkan RM300 000.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata kolaborasi ini juga meliputi pembiayaan seramai lima pelajar sarjana di bawah projek penyelidikan dan pembangunan dalam kejuruteraan bahan pateri serta berjaya dilakukan dengan cemerlang.
Katanya, UniMAP melahirkan setinggi penghargaan di atas kepercayaan syarikat berkenaan bagi memperbaharui kolaborasi penyelidikan berkenaan sekaligus memberi peluang kepada penyelidik UniMAP meningkatkan usaha penyelidikan dalam bidang itu.
"Kolaborasi yang telah bermula sejak 2013 ini telah berjaya dan pihak Nihon Superior bersetuju bagi melanjutkan kolaborasi penyelidikan ini selama tambahan dua tahun bermula tahun ini hingga 2017 dan seterusnya bersetuju menambah jumlah geran penyelidikan dan tambahan pembiayaan pelajar sarjana.
"Saya juga berharap kepercayaan ini akan digunakan sebaiknya oleh para penyelidik UniMAP bagi menjalankan usaha penyelidikan dalam bidang kejuruteraan bahan pateri ini dengan lebih cemerlang", katanya dalam satu kenyataan di UniMAP baru-baru ini.
Menurutnya, tambahan geran ini telah dipersetujui oleh pihak Nihon Superior semasa lawatan dan eksperimen ketua penyelidik projek UniMAP-Nihon Superior dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Mohd Arif Anuar Mohd Salleh ke SPring-8 Synchrotron, Osaka Jepun pada 5 Februari lalu.
"Eksperimen menggunakan teknik pengambaran synchrotron ini telah berjaya dan merupakan eksperimen bersama Kyoto University Jepun, Imperial College London, University of Queensland dan UniMAP sendiri.
"Eksperimen ini juga merupakan salah satu kemudahan yang dipersetujui bersama dalam perjanjian sebelum ini," katanya.
Ketua penyelidik projek UniMAP-Nihon Superior dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Mohd Arif Anuar Mohd Salleh (berbaju belang) mengetuai perbincangan dengan pihak Nihon Superior di SPring-8 Synchrotron, Osaka Jepun pada 5 Februari lalu.