A+ A A-

Modul Terapi Kognitif Kawal Penagih Dadah Raih Anugerah Khas Kertas Kerja Terbaik IJCIMBI 2015

Bandar Acheh, 28 April – Modul terapi kognitif bagi mengawal tingkah laku penagih dadah hasil penyelidikan kumpulan penyelidik dadah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih anugerah khas kertas kerja terbaik pada Majlis Adat dan Penyampaian Anugerah Persidangan Antarabangsa Bersama Indonesia, Malaysia, Bangladesh, Ireland (IJCIMBI 2015) di sini hari ini.

Modul bertajuk “The Effectiveness of Brief Cognitive Behavioral Therapy Module On Locus Control Among Drug Abusers” itu menggunapakai teknik yang popular di Amerika Syarikat, England, Australia dan beberapa negara maju lain.

Hadir menerima anugerah berupa plak dan sijil ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan Dan Teknokomunikasi (IKOM), Dr. Huzili Hussin.  Penyelidikan tersebut diketuai oleh Naib Canselor UniMAP sendiri, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin serta beberapa penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Berkenan hadir menyampaikan anugerah ialah Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Marniati M. Kes dan Ketua Yayasan Ubudiyah, Dedi Zefrizal S.T.

Menurut Dr. Huzili, modul tersebut ditulis selepas menjalankan kajian kes terhadap 108 orang penagih yang telah dibebaskan dari Pusat Serenti tetapi masih dalam kawalan dan pengawasan Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) di tiga buah negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Modul ini digubal untuk enam sesi yang mengambil masa dua jam untuk setiap sesi dan hasilnya membuktikan ia (modul enam sesi) menggunakan terapi kognitif mencatatkan kejayaan yang sama dengan modul sedia ada (12 sesi) tanpa terapi kognitif.

“Antara lainnya, kajian ini dibuat khusus untuk menawarkan pilihan kepada agensi atau individu yang terlibat dalam proses pemilihan ini menggunapakai modul terapi kognitif yang terbukti lebih menjimatkan masa dan mengurangkan kos,” ujar beliau.

IJCIMBI 2015 menghimpunkan lebih 400 peserta dari 70 buah universiti di seluruh dunia dalam persidangan dua hari yang bertemakan Ekonomi, Sains dan Teknologi.

Pada persidangan tersebut, Datuk Prof. Dr. Kamarudin turut dijemput sebagai pembentang utama selain  Presiden Athlone Institute of Technology (AIT), Ireland; Prof. Dr. Ciaran O’ Cathain, Pengerusi Daffodil International University, Bangladesh; Md. Sabur Khan dan Marniati sendiri.

Seramai 400 peserta dari buah negara mengambil bahagian dalam persidangan dua hari itu yang bertemakan Ekonomi, Sains Sosial dan Teknologi.

Selain Dr. Huzili, seorang lagi pensyarah UniMAP Sohiful Anuar Zainol Murad turut menerima anugerah yang sama menerusi kertas kerjanya bertajuk “Design of Operational Ampifier with common Mode Feedback Circuit For Pipeline Adc Application”.

Dalam pada itu, Prof. Madya Zainab Hamzah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan UniMAP menerima Anugerah Khas daripada UUI, manakala Mohd. Firdaus Hashim menerima Anugerah Khas daripada Asia Invention Association.

UniMAP

UniMAP

UniMAP

UniMAP