- Kategori: BERITA - Malay
Penubuhan MyRIS Seiring 10 Lonjakan PPPM (PT) – Naib Canselor UniMAP
Arau, 20 April – Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) merupakan sebahagian insiatif yang diambil sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam mendokong dan menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi)[PPPM (PT)] yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia minggu lalu.
Menerusi MyRIS, UniMAP berhasrat dapat bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan terutama dalam memperkasakan pemupukan bakat dan pendidikan tinggi terutama menerusi inisiatif melahirkan graduan pendidikan tinggi dan vokasional (TVET) yang tinggi.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, MyRIS berperanan secara terus dalam menyalurkan ilmu serta berkongsi kepakaran yang ada terutama dalam bidang sains, inovasi dan penyelidikan serta kemahiran teknikal dan vokasional dalam perlbagai peringkat bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk faedah masyarakat dan rakyat seluruhnya.
Menurut beliau, MyRIS merupakan sebahagian inisiatif UniMAP untuk mendepani cabaran sektor pendidikan tinggi dalam menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan terkemuka di peringkat antarabangsa.
“Ia juga merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya dan pada masa sama berkosepkan “apa yang dimiliki sewajarnya dikembalikan kepada masyarakat”.
“Apa yang paling utama ialah, matlamat akhir segala program dan aktiviti MyRIS kelak bakal membantu melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan penubuhan MyRIS bersempena Majlis Penutup Pemeran Kejuruteraan Inovasi dan Rekacipta Antarabangsa (i-ENVEX) di Kampus UniMAP Pauh Putra di sini semalam.
Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan lebih 457 penyertaan dengan lebih 600 orang peserta pelbagai peringkat seperti sekolah rendah, menengah, Politeknik, Koleh Komuniti, Institut Latihan, Universiti Awam dan Universiti Antarabangsa, sekali gus menyerlahkan kreativiti dan inovasi peserta yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
Menurut Dr. Kamarudin, penyertaan MyRIS terbuka kepada sekolah rendah dan menengah di Malaysia yang mana penyelidik UniMAP akan turun padang menganjurkan Kursus Pengurusan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Dan Inovasi Antarabangsa kepada guru- sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan inovasi di peringkat sekolah.
“MyRIS akan membantu menggerakkan penyelidik-penyelidik muda terutamanya diperingkat sekolah untuk mendapat pendedahan yang lebih meluas sama ada di dalam dan luar negara dan pada masa sama akan lebih berperanan dalam membantu sekolah dan universiti dalam memberi khidmat nasihat, khidmat pengujian dan penggalakan kerjasama antara sekolah dan universiti dalam menjayakan pelbagai bidang kajian yang dijalankan oleh sekolah.
“Semoga MyRIS akan mendapat sokongan yang berterusan dari semua pihak terutama sekolah dan universiti dalam menjayakan matlamat PPPM PT sekaligus memacu negara menuju kegemilangan seterusnya mencapai status negara maju pada tahun 2020,” katanya.
Antara program yang telah disusun oleh MyRIS untuk tahun hadapan melibatkan penyelidik muda dikalangan sekolah dan universiti antaranya pameran inovasi yang dijangka diadakan pada bulan Mac dan April, pertandingan robotik dan bengkel penyelidikan. Sekolah yang berminat untuk menjadi ahli bolehlah mengubungi MyRIS melalui email rasmi iaitu Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin melancarkan Myris 2015 pada Majlis Penutup i -ENVEX 2015 Di Dewan Ilmu, Pauh Putra, Arau semalam
Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Kamarudin Hussin menyampaikan sijil dan piala kepada sekolah yang terlibat dengan menyertai ahli Myris selepas melancarkan Myris 2015 pada Majlis Penutup i-ENVEX 2015 di Dewan Ilmu, Pauh Putra, Arau semalam