- Kategori: BERITA - Malay
Penyelidik Wanita Digalakkan Lebih Aktif
Pauh Putra, 21 April – Penyelidik wanita khususnya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) digalakkan agar lebih menonjolkan diri dengan aktiviti penyelidikan termasuk lebih aktif dalam penerbitan.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata saban hari di media sosial mahupun media massa, ramai penyelidik lelaki mencipta nama di persada nasional mahupun antarabangsa termasuk penyelidik dari UniMAP.
Katanya, penyelidik wanita perlu lebih aktif bersama-sama penyelidik lain bagi menyerlahkan keterlihatan UniMAP di persada dunia dengan menghasilkan lebih banyak penerbitan dalam bidang-bidang terkini agar dapat meningkatkan sitasi dari pihak luar.
“UniMAP juga sudah menubuhkan Unit Reputasi Akademik dan Industri bagi tujuan memperlihatkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi di peringkat dunia dengan pelbagai inisiatif yang dirancang,” kata beliau ketika berucap di Anugerah Penyelidikan dan Sukan di sini, hari ini.
Menurut beliau, UniMAP juga kini memiliki ahli dalam Research Gate seramai 1,147 orang dengan markah keseluruhan (RG Score) sebanyak 4,419. 59 dan melahirkan harapan agar RG ini dapat ditingkatkan melalui peranan academia.
“Masih ramai academia yang hanya mendaftar di RG tetapi tidak aktif justeru betapa pentingnya peranan academia dengan memuat naik semua hasil penulisan yang diterbitkan dalam jurnal ke dalam RG ini secara ‘manual’,” katanya.
Terdahulu, Datuk Kamarudin turut menyampaikan anugerah dan insentif kepada 102 penyelidik UniMAP yang menempa kejayaan pada tahun lalu dalam mengharumkan nama UniMAP di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.