- Kategori: BERITA - Malay
Persaraan Naib Canselor Dan Ulangtahun Kelahiran Ke-60
Kangar, 10 Februari – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini meraikan ulangtahun kelahiran yang ke-60 sekaligus menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam.
Majlis persaraan wajib dan ulang tahun kelahiran Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin selepas 33 tahun berkhidmat di sektor awam diraikan oleh kakitangan UniMAP yang diadakan sejak pagi menerusi aktiviti senamrobik, majlis doa selamat dan jamuan.
Datuk Kamarudin berkata, selama 33 tahun sebagai penjawat awam dan 13 tahun membangunkan UniMAP, banyak kenangan serta sejarah terlakar sejak awal penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM).
Katanya, banyak perubahan sudah berlaku kepada UniMAP yang berlaku di depan matanya menyebabkan kasih sayangnya pada UniMAP tidak akan pernah luntur.
“Lebih bermakna pengorbanan isteri, Datin Noridah Yangman dan keempat-empat anak saya terhadap kesibukan saya membangunkan UniMAP demi anak bangsa sehingga hanya mempunyai masa yang terhad dengan mereka.
“Tanpa pengorbanan mereka, saya tidak teguh berdiri di sini bersama-sama warga UniMAP sejak mula penubuhan sehinggalah sekarang sekaligus menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang berjaya diraih UniMAP,” katanya.
Datuk Kamarudin turut mengimbau pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Perlis selain beberapa ahli pengurusan tertinggi UniMAP ketika awal penubuhan yang silih berganti sehingga kini.
Terdahulu turut diadakan majlis santai bersama ketua-ketua jabatan dan dekan UniMAP bersama Datuk Kamarudin sekeluarga sebelum beliau melakukan “touch out” sebagai gimik berakhirnya tempoh beliau sebagai penjawat awam.
Datuk Kamarudin menerajui UniMAP semula selama setahun sehingga 2016 secara kontrak selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).