- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Martabatkan Pengajian Diploma
Kangar, 10 Mac Dalam usaha memartabatkan program pengajian Diploma yang ditawarkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), universiti berkenaan bakal mengadakan majlis konvokesyen secara berasingan daripada sebelum ini.
Majlis Konvokesyen yang dijadual berlangsung pada Julai ini adalah salah satu langkah transformasi universiti bagi memberi ruang dan keistimewaan kepada pelajar diploma UniMAP.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata selain itu UniMAP turut merancang bagi menaiktaraf Unit Penyelarasan Diploma (UPD) di universiti ini sebagai Pusat Tanggungjawab (PTj).
Penaikan taraf ini adalah untuk menyokong pelaksanaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh kerajaan dan bakal dilaksanakan mulai Jun ini dengan menggunakan dan memanfaatkan fasiliti dan kemudahan yang terdapat di Fakulti Teknologi Kejuruteraan.
Pendedahan ini sekaligus meningkatkan penglibatan pelajar dalam aspek penyelidikan dan inovasi serta pada masa yang sama semua pelajar UPD ini dapat membudayakan aspek pembangunan dan penyelidikan (R&D), kata beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Program Finishing School 2015 di sini, hari ini.
Datuk Kamarudin berkata, selain menaiktaraf UPD, Pusat Kejuruteraan (Engineering Centre) UniMAP juga bakal dijadikan sebagai Pusat Perniagaan dan Pusat Kecemerlangan (CoE) yang akan mengetuai operasi tujuh CoE lain yang terdapat di UniMAP.
Katanya, kesemua CoE itu ialah Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGoeGTech), Pusat Kecemerlangan Advanced Sensor Technology (CEASTech), Pusat Kecemerlangan Renewble Energy (CERE), Pusat Kecemerlangan Advanced Communication Engineering Centre (ACE), Pusat Kecemerlangan Advance Multi Disclipnary MEMS-Based Integrated Electronic NCER (AMBIENCE), Pusat Kecemerlangan Unmanned Aerial Systems (UAS) dan Pusat Kecemerlangan Industri (Kluster Penjagaan Kesihatan).
Melalui penstrukturan semula ini akan memudahkan urusan pemantauan dan penetapan strategi CoE dalam memacu hala tuju dan keterlihatan UniMAP di dalam dan luar negara, jelasnya.
Program Finishing School anjuran bersama Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) dan juga Unit Penyelarasan Program Diploma UniMAP secara asasnya adalah untuk membantu pelajar memahami konsep dan membuat persediaan dalam menghadiri temuduga serta membantu memberikan gambaran tentang dunia pekerjaan serta keperluan asas yang sebenar ketika pelajar melangkah ke alam pekerjaan.
Seramai 368 pelajar tahun akhir Diploma UniMAP yang baru tamat menjalani Latihan Industri di beberapa syarikat serta industri pelbagai sektor diraikan dalam majlis tersebut.