- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Anjur Pameran Penyelidikan i-ENVEX April Ini
Kangar, 12 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan International Engineering Invention & Innovation Exhibition (i-ENVEX 2015) buat kali ke-enam pada April ini dalam usaha melahirkan penyelidik muda yang berfikiran kreatif dan inovatif.
Pengarah Program i-ENVEX 2015, Dr Mukhzeer Mohamad Shahimin ketika ditemui berkata pameran penyelidikan peringkat antarabangsa ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh UniMAP dan akan dilangsungkan di Dewan Ilmu Pauh Putra, UniMAP pada 17 hingga 19 April 2015.
“Penganjuran i-ENVEX akan memberikan pendedahan awal dan menggalakkan mahasiswa untuk terlibat dalam bidang penyelidikan dan inovasi seterusnya memperkasakan kebolehan serta penciptaan pelajar dalam bidang sains dan kejuruteraan ke platform yang lebih tinggi.
“ Pada i-ENVEX kali ini tema yang ditetapkan adalah “Kejuruteraan untuk Masyarakat”, dan saya berharap produk-produk penyelidikan yang dihasilkan nanti dapat dimanfaatkan untuk keperluan masyarakat di Malaysia, “katanya.
Beliau juga yakin melalui pameran sebegini, ia akan menggalakkan pelajar untuk membuat penyelidikan dan inovasi, selain menggalakkan mereka membina peluang kerjaya sendiri melalui produk yang dikomersialkan dan dipasarkan di pasaran.
Pameran ini terbuka kepada semua pelajar peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda mengikut Pusat-pusat Pangajian di UniMAP serta semua mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam Malaysia dan pelajar IPT antarabangsa dari seluruh dunia.
Menurut Dr. Mukhzeer penyertaan juga terbuka kepada semua pelajar di Sekolah Rendah atau Menengah di Malaysia dan Antarabangsa.
“Saya amat mengalu-alukan penyertaan dari peringkat luar dan tarikh akhir penyertaan adalah pada 30 Mac 2015. Kepada yang berminat boleh melayari website i-ENVEX 2015: envex.unimap.edu.my atau boleh terus menghubungi Dr Mohd Mustaffa Al-Bakri Abdullah di talian 012-5055020 ATAU Aizatul Akma Wani Ariffin di talian 017-4664622.