- Kategori: BERITA - Malay
UniMAP Anjur WoUCON 2015 Sempena Pameran LIMA’15
Kangar, 16 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan “The World of UAV International Conference’ (WoUCON 2015) bersempena dengan penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA’15) yang akan memberi fokus kepada teknologi Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS).
Persidangan WoUCON yang berlangsung selama dua hari mulai 17 Mac itu bakal menghimpunkan hampir 100 peserta yang antara lainnya, bertujuan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman oleh negara-negara peserta mengenai teknologi UAS serta penyelidikan terkini yang dijalankan oleh penyelidik Pusat Kecemerlangan UAV UniMAP yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Hazry Desa.
Matlamat utama persidangan ini adalah untuk menggalakkan penyelidikan dan aktiviti pembangunan dalam sistem udara tanpa pemandu dan aplikasinya selain turut bertujuan untuk menggalakkan pertukaran maklumat saintifik antara penyelidik, pemaju, usahawan, jurutera, pelajar dan pengamal bekerja dalam dan di seluruh dunia.
Persidangan yang bertemakan “Unmanned Aerial Systems : Technologies, Missions and Challenges” itu turut menghimpunkan beberapa pembentang termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang akan membentangkan mengenai Kaedah dan Peraturan UAV di Malaysia.
Selain itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin akan turut berkongsi pengalaman mengenai Operasi UAV untuk Penyelidikan dan Pembangunan berdasarkan Kajian Kes Bencana Banjir di Tumpat.
Dalam pembentangan tersebut, Datuk Kamarudin akan mengetengahkan hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik UniMAP dalam memantau paras air sungai menggunakan teknologi UAV.
Selain itu, satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara UniMAP dan Aerial Imaging Sdn. Bhd. pada 18 Mac ini. Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.