- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP - UI perbanyakkan kerjasama
Kangar, 15 Februari (Bernama) - Kerjasama erat yang terjalin antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) di Acheh akan lebih melonjak melalui pelaksanaan lebih banyak usaha secara bersama.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia boleh dilaksanakan melalui promosi, pendedahan dan perkongsian maklumat yang memberi gambaran jelas mengenai landskap pembelajaran di kedua-dua universiti.
Syed Faizuddin bertitah keputusan kerajaan Acheh menaja rakyatnya yang berkelayakan menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UniMAP bermula tahun ini bakal membuka lebih banyak ruang untuk meningkatkan kerjasama tersebut.
"Unimap akan menggunakan tenaga pakar akademiknya bagi membantu penganjuran seminar, penyelidikan dan penulisan artikel ilmiah oleh pensyarah UUI termasuk menerbitkan kertas kerja penyelidikan untuk dikemukakan kepada jurnal terindeks seperti Scopus," titah baginda.
Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap bertitah selepas berkenan merasmikan sebuah bangunan tiga tingkat yang diberi nama 'Gedung Perkuliahan Tarmizi bin Ayus' di kampus utama UUI, Banda Acheh, petang semalam.
Turut hadir ketua Yayasan Ubudiyah, Dedi Zefrizal serta Rektor UUI, Marniati Kes.
Kenyataan baginda dikeluarkan oleh pejabat Canselor Unimap di sini hari ini.
Menurut Syed Faizuddin, Unimap juga akan membantu menyusun semula kurikulum bersangkutan program yang ditawarkan UniMAP serta menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran di UUI berdasarkan kaedah dan amalan Unimap.
"Bantuan ini diteruskan dengan meningkatkan penglibatan bersama dalam bidang penyelidikan antara Unimap dan UUI selain tenaga pengajar UniMAP memberi syarahan atau kuliah di UUI dari semasa ke semasa," titah baginda.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof Dr Kamaruddin Hussin ialah penasihat kepada UUI yang dilantik tahun lepas bagi membantu membangunkan sistem akademik yang efisien dan sistematik ke arah menjadikan UUI 'Universiti Siber Berkelas Dunia' menjelang tahun 2025.
Pada majlis itu, Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan sebuah kincir angin sumbangan anak Perlis, Tariq Husni yang merupakan pengurus projek di Mechanical Training Solutions Sdn Bhd Malaysia kepada UUI. - Bernama