A+ A A-

UniMAP Hulur Bantuan Pakaian Sekolah Untuk Anak Mangsa Banjir

6 Januari 2015. Tumpat – Prihatin dengan nasib anak-anak yang bakal kembali bersekolah minggu hadapan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan berupa pakaian sekolah kepada anak-anak murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut, di sini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata pihak UniMAP  memahami kesukaran ibu bapa bagi mendapatkan pakaian sekolah di saat genting seperti ini justeru sumbangan ini diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Disember lalu.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan lokasi yang terjejas banjir kepada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara bagi membantu  mereka yang terbabit, justeru UniMAP telah dikhaskan bagi membantu di jajahan ini bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Selain bantuan pakaian sekolah, UniMAP telah dan akan menggerakkan misi bantuan pasca banjir dengan membabitkan sukarelawan pelajar dan kakitangan UniMAP sendiri seramai 2000 orang melibatkan tujuh fasa bagi membantu mangsa banjir ini seperti membersihkan kawasan sekolah,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNCR).

Menurutnya, keadaan banjir di Tumpat semakin pulih dan fasa ops bantuan berikutnya lebih memberi fokus kepada usaha membersihkan sekolah, rumah dan kawasan sekitar bagi memudahkan mangsa banjir dapat melakukan rutin harian dengan lebih selesa terutama sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.

“Keadaan yang berlumpur selain banyak kelengkapan yang rosak menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan aktiviti seharian, justeru sukarelawan UniMAP akan membantu sedaya mungkin dengan tenaga mahir dan kelengkapan yang kita ada.

“Sekalipun tidak dapat membantu dengan begitu sempurna, namun sebarang kerosakan kecil atau bantuan asas akan cuba dihulurkan pihak UniMAP kepada mereka yang tidak bernasib baik,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan pakaian sekolah berkenaan.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Bahagian UMNO, Dato’ Mohd Rosdi Abd Aziz, Guru Besar SK Kampung Laut, Roslan Mohamed dan Pengerusi Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) UniMAP, Datin Noridah Yangman.

Seramai 100 pelajar SK Kampung Laut mendapat sumbangan berupa pakaian, beg dan peralatan sekolah pada majlis tersebut.

Beliau juga turut menyuarakan hasrat untuk menandatangani memorandum persefaham bersama SK Kampung Laut dan Sekolah Menengah Kampung Laut bagi membantu para pelajar di kedua-dua sekolah tersebut dalam bidang akademik.

Terdahulu, Kamarudin turut membuat lawatan ke SMK Kampung Laut bagi melihat kerja-kerja pembersihan sekolah yang dilakukan sukarelawan UniMAP.

Sementara itu, Dato’ Mohd Rosdi turut merakamkan penghargaan terhadap sukarelawan UniMAP kerana sanggup mengharungi perjalanan selama 24 jam bagi membantu mangsa banjir di daerah Tumpat.

“Saya amat menghargai segala bantuan yang diberikan pihak UniMAP malahan mereka merupakan yang terawal sampai di sini untuk menghulurkan bantuan selepas banjir,”katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan, semalam.

Untuk rekod, hampir 9000 mangsa banjir di jajahan ini terpaksa berpindah ke 34 pusat pemindahan sebelum ini selepas air naik mendadak mulai 24 Disember lalu yang mengakibatkan negeri ini dilanda banjir luar biasa.

bantuan persekolahan ; banjir kelantan

bantuan persekolahan ; banjir kelantan

bantuan persekolahan ; banjir kelantan

bantuan persekolahan ; banjir kelantan