- Kategori: BERITA - Malay
Universiti Awam Mampu Jadi Terbaik Setanding Universiti Antarabangsa - Idris
NIBONG TEBAL, 18 April (Bernama) -- Universiti Awam (UA) di negara ini mampu menjadi antara universiti terbaik dunia setanding dengan Universiti Oxford di United Kingdom, kata Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata status itu tidak mustahil untuk dicapai jika dilihat pencapaian prestasi UA tempatan kini semakin melonjak, sekali gus berupaya menarik penuntut dari serata dunia untuk mendalami ilmu di negara ini.
"Tidak dapat dinafikan bidang kejuruteraan yang ditawarkan di UA merupakan antara yang terbaik di dunia sehingga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menjadi pilihan penuntut luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2014 di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, Sabtu malam.
Idris berkata sehingga kini terdapat 135,000 pelajar asing telah mendaftar di UA tempatan dan ia merupakan satu angka yang boleh dibanggakan.
Selain bidang kejuruteraan, program pengajian sains farmasi yang ditawarkan oleh USM serta pengajian perbankan Islam oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan antara terbaik di dunia.
"Bukan itu sahaja, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pengajian di bidang pertanian menduduki tempat ke-54 terbaik dunia," katanya.
Pada majlis itu, Ju Ariana Ibrahim, 24, pelajar tahun akhir jurusan biteknologi di Universiri Sultan Zainal Abidin (UniSZA), diumumkan sebagai penerima Anugerah Menteri Pendidikan 2014.
Pelajar berasal dari Klang, Selangor itu, membawa pulang trofi, sijil, wang tunai RM3,000 serta sebuah motosikal Kris Modenas.
Ju Ariana, ketika ditemui media selepas majlis itu, melahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut sambil menyifatkan ia merupakan hasil usaha keras selama ini untuk mengabdikan diri dengan pelbagai aktiviti sukarelawan dan komuniti.
Beliau turut menyifatkan anugerah itu mampu menjadi inspirasi kepada mahasiswa dan mahasiswi lain untuk terus berbakti kepada negara.
Anugerah Tokoh Siswa merupakan anugerah yang mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah banyak berusaha untuk menjadi modal insan yang holistik dan kompeten.