A+ A A-

UniMAP Tandatangani LOI Bersama Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd

Pauh Putra, 6 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menandatangani surat hasrat dengan Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd. bagi membawa teknologi rawatan jantung khusus untuk memenuhi kehendak penduduk di kawasan Kedah dan Perlis.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kelengkapan peralatan rawatan jantung itu kini sedang dalam proses persiapan terakhir yang mana ia akan ditempatkan di Poliklinik UniMAP yang dijadualkan beroperasi Ogos ini.

Ujar beliau, perbincangan mengenai teknologi jantung berkenaan telah dimulakan semenjak beberapa bulan lalu dan disusuli dengan lawatan ke Klinik Ebrahim pada Mei lalu.

UniMAP amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh klinik tersebut yang merupakan pakar dalam rawatan External Counter Pulsation Treatment(ECP) dan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT).

“Memandangkan penyakit jantung tersenarai antara sebagai pembunuh senyap nombor satu di dunia dan menyedari kekurangan kemudahan yang bersesuaian di Perlis khasnya, maka UniMAP mengambil inisiatif untuk menawarkan kemudahan ini melalui Poliklinik UniMAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ihtifal Ihya’ Ramadhan @ UniMAP dan Menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Klinik Ebrahim di Dewan Ilmu, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili Datuk Kamarudin manakala Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd. Diwakili Pengarah Urusannya, Prof. Dr. Mohd Ebrahim Sulaiman.

Berkenan berangkat menyaksikan majlis LOI tersebut ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Yang turut berangkat hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Dr. Mohd Ebrahim berkata, ECP merupakan satu teknik Non-Invasif yang membaiki fungsi jantung dengan menurunkan kadar tekanan pada jantung dan boleh dimanfaatkan pesakit yang menghadapi masalah kegagalan fungsi jantung, penyakit arteri koronari, penyakit arteri periferal, arteri darah di kaki.

“Manakala HBOT merupakan Terapi Hiperbaik Oksigen dengan kaedah rawatan penyembuhan pesakit bernafas menggunakan 100% oksigen di bawah tekanan tinggi,’’ katanya.

Dalam pada itu, UniMAP turut mengambil keberkatan Ramadhan dengan meraikan 200 anak-anak yatim sekitar negeri ini dan anak-anak dari sekolah angkat UniMAP dalam majlis berbuka puasa di samping menyampaikan bantuan Aidilfitri.

Turut berlangsung, pelancaran Program Edu Citi-Tel anjuran Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang membabitkan 120 murid tahun lima dan enam yang terpilih sekitar negeri-negeri utara. Melalui program tersebut, UniMAP telah berperanan menyediakan kemudahan penginapan dan kemudahan fasiliti yang lain bagi memudahkan urusan harian dan pembelajaran murid-murid berkenaan di Kolej Kediaman Taman Bahagia, Kangar semenjak April lalu.

UniMAP Tandatangani LOI Bersama Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd

UniMAP Tandatangani LOI Bersama Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd

UniMAP Tandatangani LOI Bersama Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd

UniMAP Tandatangani LOI Bersama Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd

UniMAP Tandatangani LOI Bersama Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd