A+ A A-

Yayasan Tuanku Fauziah – UniMAP Bakal Anjur Program Kepimpinan Wanita

Tokyo, Jepun, 13 Julai – Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal bekerjasama menganjurkan Program Kepimpinan Wanita (Woman Leadership Program) yang turut melibatkan kerjasama dengan Josai International University, Jepun.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program tersebut bertujuan untuk melahirkan pemimpin wanita dari kalangan graduan UniMAP, khususnya dan dari kalangan rakyat Malaysia amnya, yang berdedikasi dan mampu menjadi antara pemimpin disegani bukan sahaja di Malaysia sebaliknya di seluruh dunia.

Ujar beliau, ketiga-tiga pihak kini dalam fasa terakhir perbincangan berkaitan perincian pelaksanaan program tersebut yang dijangka bermula pada tahun 2016 serta pembahagian bidang tanggungjawab antara ketiga-tiga pihak berkaitan iaitu Josai International University, UniMAP, dan YTF.

Dalam perbincangan yang turut dihadiri oleh Tan Sri Dr Ng Yen Yen, selaku Profesor Pelawat dan Pengarah, Josai Center of ASEAN Studies, Dr. Kamarudin berkata, kesemua peserta akan mengikuti kursus bahasa Jepun yang akan ditawarkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa, UniMAP untuk tempoh tiga ke enam bulan sebelum berlepas ke Jepun bagi mengikuti program tersebut.

“Program ini merupakan satu lagi program nilai tambah yang ditawarkan oleh UniMAP khusus untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak dalam aspek akademik sebaliknya mempunyai kelebihan pelbagai aspek lain seperti kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawanan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain Dr. Kamarudin, perbincangan yang berlangsung bersempena Asia Summer Program (ASP) 2015 itu turut dihadiri oleh Dr Yasunori Morimoto, Presiden Josai University;  Profesor Masato Kurabayashi, Naib Presiden Josai International University; Prof Madya Dr Mohamad Iqbal bin Omar, Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP; dan Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP.

ASP 2015 menghimpunkan seramai 150 pelajar antarabangsa membabitkan 14 universiti dari sembilan buah negara dan akan berlangsung sehingga 28 Julai ini.

ASP mula dianjurkan pada tahun 2011 yang lalu hasil cetusan bersama pemimpin dari lima buah universiti pengasas iaitu Bangkok University, Thailand; Dongseo University, Korea; Josai University, Jepun; Petra Christian University, Indonesia dan UniMAP.

Menerusi program tersebut, kesemua universiti pengasas bersetuju untuk mewujudkan satu platform khusus khususnya bagi membantu melahirkan pemimpin masa hadapan sejajar dengan peredaran masa dan kepesatan pembangunan dunia yang semakin meningkat di Asia.

Program Kepimpinan

Program Kepimpinan