- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Tawar Kepakaran Pertanian Berasaskan Kejuruteraan
Padang Besar, 31 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan kepakaran yang dimiliki dalam bidang pertanian berasaskan kejuruteraan khusus untuk memajukan sektor pertanian kepada mana-mana pihak yang berminat.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, penggunaan elemen penyelidikan berasaskan kejuruteraan dalam bidang pertanian yang dimiliki oleh UniMAP turut merangkumi pengurusan risiko baik dari aspek iklim, cuaca mahupun sistem kawalan pengairan.
Jelas beliau, UniMAP menerusi Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) kini giat menjalankan modul teknologi penanaman menggunakan teknik rumah hijau (green house).
“Memandangkan Perlis terkenal dengan tanaman harum manis, maka fokus UniMAP kini ialah untuk terus menghasilkan pengeluaran mangga sepanjang tahun. Walaubagaimanapun, teknologi ini turut sesuai untuk diaplikasikan kepada semua jenis tanaman,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam Ke Malaysia, Datuk Paduka Haji Alaihuddin Bin Pehin Datuk Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha di INSAT di sini hari ini.