- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
RMUTSV-UniMAP Anjur ISOL Kali Kelima
PAUH PUTRA – Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Rajamangala University of Technology Srivijaya (RMUTSV), Thailand bakal menganjurkan program International Soft Skills & Leadership Camp (ISOL).
Program perkongsian ilmu antara dua negara yang diadakan selama empat hari itu melibatkan penyertaan seramai 45 pelajar dari kedua-dua universiti.
Penyelaras Program ISOL 2015, Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim berkata, program kali kelima yang telah berlangsung sejak 2011 itu secara langsung telah meningkatkan kualiti dan memperkemaskan nilai kepimpinan para pelajar di kedua-dua buah universiti.
“Kurikulum dan pendekatan yang digunakan sepanjang program ini bakal melibatkan pelajaran dengan aktiviti di dalam dan di luar kelas yang diharapkan mampu memberi impak positif kepada para pelajar di masa hadapan.
“Sepanjang program ini, pelajar-pelajar dari UniMAP dan RMUTSV perlu mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dan kemahiran kepimpinan dalam situasi kehidupan sebenar atau pembelajaran luar kelas melalui program-program yang dijalankan,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, baru-baru ini.
Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah CIL UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon. Turut hadir, Pensyarah Jabatan Bahasa Antarabangsa, Fakulti Sastera Liberal, RMUTSV, Kittiya Phisutthangkoon.
Ujarnya lagi, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu adalah lawatan ke Perpustakaan Pauh Putra, UniMAP dan sekitar kawasan kampus utama UniMAP di Pauh Putra.
“Selain itu, para pelajar juga di bawa melawat beberapa tempat menarik di Perlis dan Kedah bagi tujuan mempromosikan Malaysia seperti di Gua Kelam, Pusat Sains Negara cawangan Kedah dan Pusat Kraftangan.
“Manakala program di Songhkla pula, para pelajar di bawa melawat sekitar kampus RMUTSV, Samila Sheep Farm, Songkhla Lake Cruise, dan melawat Bandar Lama Songkhla,”katanya lagi.