A+ A A-

Lebih 700 Kunjungi Program ‘Jom Masuk UniMAP’ Kategori Khas

Kangar, 15 Ogos – Lebih 700 calon pelajar mengunjungi kaunter promosi Jom Masuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kategori Khas yang telah diadakan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perlis semenjak 12 Ogos lalu.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin pihaknya menjangkakan jumlah pengunjung dari kalangan calon pelajar dan waris akan bertambah dalam siri promosi terakhir di Selangor 17hb ini.

“Alhamdulillah sambutan para pelajar amatlah menggalakkan, dan pada hari ini dan semalam hampir 200 calon pelajar mengunjungi Lobi Bangunan Persekutuan Kg. Raja, Besut serta Pejabat Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu untuk mengemukakan permohonan masing-masing.

“Promosi pada hari ini yang merupakan kerjasama UniMAP dan pejabat Yayasan Terengganu itu turut disertai oleh Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Terengganu, Dr. Rozailan Mamat yang juga mantan Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan UniMAP,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Program Jom Masuk UniMAP kategori Khas itu diperkenalkan khusus bagi membantu pelajar-pelajar yang mempunyai pendapatan isi rumah keluarga di bawah RM3,000 sebulan untuk membolehkan para pelajar yang memenuhi syarat minimum meneruskan pengajian ke program-program pengajian yang ditawarkan di UniMAP.

Selain pendapatan isi rumah keluarga di bawah RM3000 sebulan, pelajar-pelajar atau mempunyai ibu/bapa/penjaga yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim atau dijaga oleh ibu/bapa tunggal juga merupakan antara yang layak memohon menerusi program “Jom Masuk UniMAP”.

Dr. Kamarudin berkata program itu juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan Universiti Awam (UA) menjelajah ke setiap pelusuk termasuk di luar bandar bagi membantu anak-anak bangsa supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata program itu juga adalah untuk menyampaikan aspirasi kerajaan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar dan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian.

“Kesemua calon ini akan melalui fasa tapisan dan akan menerima jawapan dalam tempoh dua minggu lagi. Calon yang terpilih dari kalangan kategori khas akan mendaftar di UniMAP pertengahan bulan September nanti,” jelas beliau lagi.

BUTIRAN PROGRAM Jom Masuk UniMAP

Program ‘Jom Masuk UniMAPmerupakan program inisiatif University Social Responsibility (USR) UniMAP kepada rakyat negeri Perlis dan Malaysia secara keseluruhannya. Program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM (aliran Sains) dengan kelayakan minimum akademik untuk memasuki UniMAP dengan mengambil kira status isi rumah 40% terendah.

Jom Masuk UniMAP