A+ A A-

Mahasiswa Malaysia Ukir Nama Di Basel

BASEL, Switzerland, 28 Ogos – Mahasiswa Malaysia mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan sebagai kumpulan terbaik di The Novartis International Biotechnology Leadership Camp 2015 yang menghimpunkan 63 mahasiswa terbaik dari seluruh dunia.

Nurul Aqilah Aqiludeen, dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama tujuh lagi rakan sepasukan diiktiraf sebagai yang terbaik daripada kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu.

Nurul Aqilah terpilih mewakili Malaysia bersama seorang lagi mahasiswa dari Universiti Malaya, Soke Chee selepas berjaya menjuarai The Malaysia BioCamp 2015 yang dikendalikan oleh Novartis Malaysia, Malaysian Biotechnology Corporation dan Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Penjagaan Kesihatan (ICoE Healthcare) yang diterajui oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pengerusi ICoE Healthcare, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan Nurul Aqilah yang merupakan mahasiswa jurusan Microbiologi itu amat membanggakan memandangkan kebanyakan peserta yang mengambil bahagian bukan sekadar mendengar pembentangan sebaliknya perlu menyelesaikan beberapa tugasan yang dinilai.

Selain itu, ujar beliau, penyertaan dalam program berkenaan juga tidak hanya terhad kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda sebaliknya turut disertai oleh pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Saya dimaklumkan, hanya dua kategori hadiah disediakan iaitu kumpulan terbaik yang mana hanya satu kumpulan daripada keseluruhan sembilan kumpulan dinobatkan sebagai yang terbaik serta tiga anugerah untuk peserta individu terbaik daripada 63 yang mengambil bahagian.

“Kejayaan ini juga sesuatu yang membanggakan memandangkan ia merupakan penyertaan kali pertama mahasiswa Malaysia dalam program tersebut dan sebagai Pengerusi ICoE Healthcare, saya mengharapkan lebih ramai mahasiswa Malaysia akan terpilih mewakili negara di masa akan datang,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Program yang dianjurkan oleh Novartis AG di Basel Switzerland itu merupakan sebahagian dari inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, April lalu.

Antara lainnya program tersebut bertujuan mendedahkan para pelajar dengan persekitaran kerja di sektor industri agar para pelajar lebih terbuka minda sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Novartis

Novartis

Novartis