A+ A A-

“Semangat UniMAP” Perlu Ada Dalam Diri Pelajar Baru – Naib Canselor  

Arau, 3 Sept – Para pelajar yang baru mendaftar bagi mengikuti pengajian sesi akademik 2015/2016 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menanamkan semangat cinta dan sayangkan UniMAP bukan sahaja sepanjang tempoh pengajian sebaliknya sehingga bergelar Alumni.

Naib Canselor UniMAP, para pelajar baru sewajarnya berasa bangga kerana tergolong dalam kategori 49.6 peratus pelajar yang mendapat tempat di Universiti Awam (UA) daripada keseluruhan 100,536 pelajar yang memohon kemasukan ke UA.

Para pelajar juga, ujar beliau, perlus sentiasa berpegang kepada moto universiti iaitu “Ilmu, Keikhlasan dan Kecemerlangan” dalam mendepani alam kehidupan di kampus.

“Tanamkan rasa syukur dalam diri masing-masing kerana menjadi insan terpilih yang menerima tawaran kemasukan sesi pertama dan pupuklah semangat cintakan universiti memandangkan pelajar kini merupakan sebahagian daripada keluarga besar UniMAP,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Siswa Siswi dan Ikrar Akujanji pelajar baru di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra di sini baru-baru ini.

Bacaan ikrar diketuai oleh pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Muaz Fakhruddin Muzaffar.

Pada sesi kemasukan1 September lalu, UniMAP menawarkan 3,129 tempat dan bilangan pelajar yang hadir mendaftar ialah seramai 2,548 sekaligus melebihi 80 peratus kehadiran bagi mengikuti 37 program pengajian yang ditawarkan di UniMAP.

Daripada jumlah tersebut, 1,437 merupakan pelajar perempuan manakala baki 1,111 merupakan pelajar lelaki.

Menurut Dr. Kamarudin lagi, UniMAP sehingga kini telah melahirkan lebih daripada 12,000 graduan dan daripada jumlah tersebut lebih 90 peratus telah mendapat pekerjaan, menyambung pengajian atau menjalankan perniagaan sendiri.

Lebih membanggakan, ujar beliau, lebih 200 alumni kini sedang berkhidmat di UniMAP dalam pelbagai jawatan akademik dan bukan akademik.

Jelas beliau, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Faizal Jamlus merupakan antara graduan sulung UniMAP yang berdepan pelbagai cabaran memandangkan pada ketika itu UniMAP belum memiliki kampus tetap dan kemudahan pembelajaran yang sempurna seperti sekarang.

“Namun, beliau membuktikan dengan keazaman tinggi, beliau bukan sahaja berjaya mendapatkan Ijazah sebaliknya terus menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dan kini bergelar Profesor Madya di Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan di UniMAP serta mempunyai sijil profesional jurutera pada usia baru mencecah 34 tahun,” ujar beliau lagi.

Jelas Dr. Kamarudin, pada usia 14 tahun penubuhan, UniMAP kini telah berkembang pesat dan mencipta pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara termasuk memperbaiki kedudukan di kedudukan 226 terbaik di Asia berbanding kedudukan ke 242 pada tahun lalu.

Katanya, kecemerlangan universiti bergantung kepada kemampuan tenaga pensyarahnya untuk melonjakkan nama universiti melalui penyertaan yang lebih banyak sebagai profesor pelawat, membentang kertas kerja, penyelidikan dan kesemua ini akan membaiki tahap kecemerlangan universiti.

"Tugas melonjakkan nama universiti perlu dilakukan secara berpasukan. Oleh itu, saya sebagai Naib Canselor akan terus bekerja bersama-sama dengan pensyarah dan tenaga pengajar sebagai satu pasukan yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada pelajar dan pensyarah tetapi juga melibatkan ibu bapa,” jelas beliau. Akujanji

Akujanji Akujanji Akujanji