A+ A A-

Raja Muda Perlis: Atlit Perlu Letakkan Minat 100 Peratus Dalam Sukan

PAUH PUTRA, 12 Oktober – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyeru agar semua atlit berusaha dan meletakkan minat 100 peratus dalam bidang sukan.

“Seorang atlet, harus memiliki ‘pride’ atau ‘maruah’ yang perlu dipertahankan dalam sukan kerana anda menjadi harapan dan sandaran kepada negara, negeri, universiti atau pasukan yang diwakili.

“Tanggungjawab yang dipikul tersebut amat besar dan anda harus bermati-matian bagi merebut atau mempertahankan sesebuah kemenangan,” titah baginda ketika merasmikan Penutupan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11, dan Terbuka UniMAP Kali Ke-4 Tahun 2015, di sini, semalam.

Turut berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan Setiausaha Bahagian Sukan, kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Hazally Jalil.

Titah Baginda lagi, sukan secara umumnya menyumbang terhadap pelbagai manfaat antaranya membantu meningkatkan keyakinan diri seseorang apabila sentiasa diberikan pendedahan terhadap pertandingan dan pelbagai kejohanan.

“Sukan juga berupaya membina karakter positif seseorang atlit seperti berdisiplin, berani, kental, saling membantu, semangat berpasukan dan setiakawan.

“Melalui aktiviti bersukan juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan akibat bebanan hidup seseorang kerana ia meningkatkan aliran darah ke otak, mengeluarkan hormon, merangsang sistem saraf dan meningkatkan paras morfin yang memberi kesan positif terhadap perasaan individu,” titah baginda.

Baginda juga menegaskan agar sukan haruslah bersifat konsisten atau berterusan dan bukan secara ’adhoc’ sahaja apabila terdapatnya sesebuah pertandingan bagi memastikan ’output’ yang berimpak tinggi.

“Ini kerana, kemahiran perlulah sentiasa digilap dengan latihan yang berterusan bagi memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan sebenar.

“Kejayaan tidak datang bergolek dengan usaha “sambil lewa” atau ibarat “melepaskan batuk di tangga”, sebaliknya, menuntut sebuah iltizam dan kerja keras oleh semua pihak

“Sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kejohanan pada bila-bila masa selain dapat membentuk persefahaman di antara ahli pasukan, seterusnya meningkatkan mutu dan mengangkat martabat sukan negara di persada antarabangsa, “Titah Baginda lagi.

Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11, dan Terbuka UniMAP Kali Ke-4 Tahun 2015 yang berlangsung pada 9 hingga 11Oktober lalu disertai lebih 5000 pelajar bagi kategori tertutup.
Selain itu, ia turut menarik minat atlit-atlit peringkat kebangsaan untuk menyertai bagi kategori terbuka dengan 19 pasukan dalam negara dan dua dari luar negara.

Olahraga

Olahraga

Olahraga

Olahraga

Olahraga

Olahraga