A+ A A-

16 Pelajar UniMAP Korbankan Aidilfitri, Wakili Malaysia Ke ASP 2015

Kangar, 13 Julai -  Seramai 16 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpaksa mengorbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga tersayang selepas terpilih mewakili negara ke “Asia Summer Program” (ASP) 2015 yang dianjurkan oleh  Josai University Educational Corporation (JUEC), Jepun.

Turut bersama delegasi pelajar berkenaan yang berlepas ke Jepun pada 4 Julai lalu ialah tiga orang pensyarah, Afifah Hanani Yusuf dari Pusat Bahasa Antarabangsa, Nursalimah Alias dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) dan Mohd Shahidan Shaari dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT).

Ketiga-tiga mereka akan mengajar  yang akan mengajar kursus-kursus UniMAP, iaitu Bahasa Inggeris, Kemahiran Berfikir dan Prinsip Keusahawanan sepanjang u program berlangsung di tiga buah kampus iaitu kampus Togane dan kampus Awa, Josai International University (JIA); dan kampus Sakado, Josai University (JU).

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Proses Kimia Industri), Nur Annashuha Zakry, 21, teruja apabila terpilih mengikuti program ASP pada tahun ini memandangkan ia merupakan medan terbaik untuk beliau mengenali budaya masyarakat setempat selain mendapat kenalan baru.

Ujar beliau, meskipun terpaksa menjalani ibadah puasa untuk tempoh yang agak panjang berbanding di Malaysia dan mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga, namun ia bukanlah penghalang untuk terus fokus menjalani semua program dan aktiviti yang di atur.

“Tipulah kalau saya tidak merasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika sambutan Aidilfitri buat kali pertama tahun ini, tetapi saya melihat semua ini dari sudut positif dan pada masa sama meletakkan diri saya sama seperti pelajar-pelajar lain yang menyambung pengajian di luar negara.

“Meskipun terpaksa mengikuti kuliah pada hari raya nanti, saya dan rakan-rakan akan cuba mencari peluang menghubungi keluarga,” ujar beliau.

Seorang lagi pelajar, Tan Yan Jun, 22, berkata, melalui penyertaan dalam ASP, dia bukan saja dapat mempelajari budaya baru, tetapi mampu melihat perbezaan cara hidup masyarakat luar sekali gus mengetahui dan memahami kepelbagaian budaya itu.

Beliau yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kejuruteraan Bahan, menyimpan impian untuk mengikuti program tersebut selepas melihat sendiri kemeriahan dan kepelbagaian budaya peserta yang mengambil bahagian apabila UniMAP terpilih menjadi tuan rumah pada tahun lalu.

“Selain itu, saya sememangnya amat kagum dengan adat budaya masyarakat di Jepun, dan ASP merupakan platform terbaik untuk saya melihat sendiri dengan lebih dekat keunikan budaya mereka selain mempelajari budaya dan adat resam masyarakat dari negara-negara lain.

“Melihat kepada jadual yang telah disusun, ia pasti menjanjikan satu pengalaman yang menarik untuk semua peserta,” ujar beliau.

ASP 2015 menghimpunkan seramai 150 pelajar antarabangsa membabitkan 14 universiti dari sembilan buah negara dan akan berlangsung sehingga 28 Julai ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, ASP yang mula dianjurkan pada tahun 2011 yang lalu hasil cetusan bersama pemimpin dari lima buah universiti pengasas iaitu Bangkok University, Thailand; Dongseo University, Korea; Josai University, Jepun; Petra Christian University, Indonesia dan UniMAP.

Ujar beliau, menerusi program ini, kesemua universiti pengasas bersetuju untuk mewujudkan satu platform khusus khususnya bagi membantu melahirkan pemimpin masa hadapan sejajar dengan peredaran masa dan kepesatan pembangunan dunia yang semakin meningkat di Asia.

“Pelajar yang mengikuti ASP ini bukan sahaja perlu mengambil  kursus berteraskan akademik, sebaliknya kesemua pelajar turut didedahkan dengan aspek seni budaya, seni mempertahankan diri serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah,” ujar beliau.

ASP 2015

ASP 2015

ASP 2015