- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
1,440 Peserta InoS1m UniMAP Berbakti Bantu Misi Pasca Banjir
Pauh Putra, 18 Januari – Seramai 1,440 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) digerakkan sebagai sukarelawan pasca banjir menerusi program Inovasi Sosial 1 Malaysia (InoS1M) di empat buah negeri yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini.
Sebahagian besar pelajar terbabit merupakan pelajar tahun satu termasuk pelajar antarabangsa yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester 1 sesi pengajian 2014/2015 semalam akan berbakti membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program InoS1M yang pada asalnya merupakan program baktisiswa dan anak angkat yang diwajibkan kepada pelajar tahun satu telah di ubah pengisiannya kepada misi Operasi Pasca Bencana Banjir dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di keempat-empat negeri tersebut.
“Ia juga, merupakan kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa terdahulu yang bermula 1 Januari lalu dengan tumpuan pada masa itu di negeri Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Namun pada kali ini, memandangkan jumlah pelajar adalah lebih ramai, misi sukarelawan ini dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain yang turut terlibat bencana banjir dengan tidak mengenepikan kawasan angkat asal di negeri Kelantan.
“Lebih membanggakan ia bukan sahaja disertai oleh pelajar tahun satu, sebaliknya UniMAP turut menerima permohonan daripada para pelajar tahun dua, tiga dan empat yang ingin menyertai misi kali ini,” ujar beliau.
Beliau berakata demikian selepas majlis perlepasan peserta InoS1M yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Madya Razli Ahmad.
Fasa kali ini membabitkan 1,440 peserta dengan 400 pelajar digerakkan ke Kelantan, 203 pelajar ke negeri Pahang, 179 pelajar ke negeri Terengganu, 422 pelajar ke Perak, 80 pelajar antarabangsa, 100 pegawai kadet PALAPES dan Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS), 31 wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 25 sukarelawan Green Earth.
Terdahulu Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) selama 6 hari bermula 1 Januari sebelum diambil alih oleh fasa kedua yang melibatkan staf UniMAP berakhir 9 Januari.
Fasa ketiga pula membabitkan alumni dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniMAP yang berakhir 11 Januari dan diteruskan dengan pergerakan sukarelawan fasa keempat juga dari kalangan staf dan berakhir 15 Januari 2015.
Menurut Dr. Kamarudin, selain membina jaringan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan mahasiswa, program InoS1M ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa UniMAP yang rata-ratanya terdiri daripada anak kelahiran negeri-negeri terbabit pulang berbakti kepada negeri kelahiran masing-masing.
“Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan mahasiswa memainkan peranan sebagai agen sosialisasi untuk pembangunan masyarakat setempat, negeri dan Negara dan pada masa sama menerapkan nilai-nilai kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa UniMAP,” ujar beliau.
Seorang peserta, Nur Fariidah Zakaria, 19 dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) gembira menjadi sebahagian sukarelawan yang digerakkan ke negeri Kelantan.
“Semenjak kejadian bencana dan gerakan sukarelawan yang dibuat oleh pelbagai pihak, saya menyimpan keinginan untuk menjadi sebahagian daripada mereka namun perlu memberi fokus peperiksaan akhir yang bermula 29 Disember lalu.
“Alhamdulillah, kali ini saya berpeluang manabur bakti membantu mangsa banjir di Kelantan bersama rakan-rakan,” ujar beliau yang juga merupakan pegawai kadet PALAPES UniMAP.
Bagi Shehabbadin Ghelal Hail pelajar tahun akhir dari Yaman, penglibatan pelajar antarabangsa pada misi kali ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka membantu mangsa banjir di Malaysia.
Beliau yang juga Exco MPP UniMAP melihat penganjuran program tersebut juga secara tidak langsung akan membuka mata dan minda pelajar tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir.
“Kami menumpang untuk menuntut ilmu di Malaysia dan kini masa untuk kami menabur bakti membantu masyarakat negara ini yang dilanda musibah banjir baru-baru ini,” ujar beliau.