- Kategori: DMNC - malay
- Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
DMNC - Ogos 2015
Dari Meja Naib Canselor Ogos 2015
Assalamualaikum W.B.T
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana kita untuk bertemu sekali lagi di ruangan Dari Meja Naib Canselor edisi Ogos 2015.
Untuk edisi kali ini saya ingin kongsikan sedikit luahan mengenai penggunaan media sosial secara berhemah dan beretika. Secara peribadi saya berasa amat sedih melihat penyalahgunaan laman sosial di kalangan masyarakat kita pada hari ini berada di tahap yang amat membimbangkan.
Saya pasti anda semua mengambil maklum sama ada melihat, membaca dan mendengar pelbagai kritikan dan komen yang agak keras dari segelintir rakyat terhadap sesuatu isu yang berlaku di negara ini.
Sehinggakan ada segelintir laman sesawang yang diwujudkan semata-mata untuk menuduh secara melulu, mencemuh, menghentam dan mengeluarkan kata-kata kesat tanpa usul periksa terhadap sesuatu perkara. Masing-masing menggunakan media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan Twitter untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu pihak tanpa memikirkan kesan mahupun akibat yang bakal berlaku hasil perbuatan terbabit.
Saya dapat rasakan yang kewujudan kumpulan ini lahir daripada kelompok individu yang tidak pernah berpuas hati mahupun bersyukur dengan apa yang dinikmati selama ini. Bagi mereka apa jua langkah yang diambil oleh kerajaan atau mana-mana agensi kerajaan semuanya salah belaka dan tidak kena sama sekali. Lebih menyedihkan apabila mereka meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas pihak kerajaan apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
Di sini saya ingin kita sama-sama berfikir sejenak sama ada tuduhan yang dilemparkan di media sosial itu semuanya berasas? Adakah ia bersandarkan fakta, bukti dan justifikasi yang jelas? Apakah adil untuk kita menuding jari menyalahkan pihak kerajaan semata-mata sedangkan masyarakat juga ada sumbangan yang nyata dalam isu seperti ini.
Secara logik akalnya apa manfaat yang kita dapat andai kita bertindak seperti itu? Tuding jari salah kerajaan semata–mata. Tidak nafikan bahawa mungkin ada juga sedikit kelemahan dari segi sistem pentadbiran di setiap organisasi, tetapi tegurlah secara berhemah agar pihak berkaitan dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
Saya berasa amat hairan kenapa kita begitu mudah dan cepat melatah serta membuat andaian dan rumusan sebelum menyiasat secara terperinci apa sebenarnya yang berlaku. Budaya suka menuding jari menyalahkan orang lain serta begitu mudah membuat sesuatu kesimpulan hanya berdasarkan cakap-cakap orang atau hebahan media sosial adalah satu sikap yang cukup tidak sihat, tidak beretika dan juga tidak profesional dan matang.
Ia dengan jelas menggambarkan betapa ceteknya tahap ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh seseorang individu terbabit. Malah, ia juga dengan jelas menunjukkan seolah-olah pihak ini ada agenda tersembunyi untuk terus menghentam dan merosakkan imej baik kerajaan. Hal ini kerana individu mahupun kumpulan ini sering dilihat suka dan amat bijak mengambil kesempatan ke atas sesuatu isu mahupun tragedi apabila sepantas kilat membuat rumusan dan andaian, sekali gus menyalahkan agensi mahupun pihak kerajaan.
Andai kita ikhlas ingin membantu, sewajarnya kita berganding bahu bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menghadapi dan mengharungi sesuatu konflik mahupun musibah. Apa salahnya kita menegur atau kritik sekalipun dalam suasana yang lebih berhemah, ikhlas dan matang.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.