A+ A A-
  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC MEI 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah kita kini telah melangkah ke bulan Mei yang bakal menyaksikan pelbagai lagi agenda dan aktiviti rasmi universiti dilaksanakan khusus untuk terus memacu kegemilangan UniMAP di persada antarabangsa. Selain itu, pelbagai sambutan dan perayaan juga akan disambut sepanjang bulan Mei ini dengan tumpuan pastinya menjayakan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-74 DYMM Tuanku Raja Perlis.

UniMAP telah diberikan beberapa tanggungjawab untuk dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan tersebut, dan Insya Allah kita akan melaksanakannya dengan kaedah terbaik.

Pada 30 April lalu, UniMAP berasa amat berbangga apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi menjayakan sesi jerayawara agenda Transformasi Nasional atau TN 50. Sebagai mewakili seluruh warga UniMAP, saya amat mengalu-alukan agenda TN 50 ini yang merupakan inisiatif berpandangan jauh yang bijaksana lagi berwawasan bagi menyiapkan diri menangani cabaran dunia masa hadapan. Kita amat teruja diberi ruang dan kesempatan melahirkan idea dan pemikiran untuk bersama-sama mencorak halatuju Negara dalam perjalanannya menuju 2050.

Sejak ia ditubuhkan 15 tahun lalu, amanah yang dipikul Universiti ini ialah melahirkan generasi berilmu, berkemahiran tinggi, dan berminda keusahawanan yang mempunyai nilai dan identiti jatidiri yang kukuh lagi ampuh. Kerana itulah strategi pembangunan minda pelajar yang diamalkan UniMAP sentiasa didasari keperluan dan cabaran masa hadapan.

Tiga puluh tahun dari hari ini, para pelajar UniMAP yang ada kini akan berusia sekitar 50 tahun. Pada waktu itu, dunia sudah banyak berubah. Memetik kata-kata Bill Gates, puluhan pekerjaan seperti juruterbang, penulis teknikal, akauntan, malah peguam, akan diambil alih oleh robot dan sistem automasi. Lebih 2 bilion pekerjaan akan hilang. Namun, ini bukanlah azab atau kesuraman ramalan, tetapi ia amat mengujakan sekiranya rakyat sudah bersiap siaga menghadapinya.

Alhamdulillah, sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan, UniMAP berada pada landasan terbaik untuk menghasilkan generasi yang Insya Allah dilengkapi ilmu dalam bidang-bidang yang terkini seperti teknologi drone, robotik, sensor dan pertanian alaf baharu.

Dikesempatan ini juga, saya juga ingin mengajak semua warga UniMAP untuk sama-sama menyediakan diri bagi menyambut bulan Ramadhan – bulan paling mulia di sisi Islam yang bakal tiba tidak lama lagi. Marilah kita berdoa semoga Allah memanjangkan usia kita untuk merasai segala nikmat dan ganjaran yang dijanjikan Allah serta memperbanyakkan Taubat kepada Allah akan dosa-dosa kita. Tingkatkan ilmu dan pengetahuan tentang perkara-perkara yang makruh, haram, sunat dan wajib dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah hendaknya.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Terima kasih.

  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC APR 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur saya panjatkan ke hadhrat Allah Azza Wajalla yang memberikan kesempatan untuk saya terus mencoretkan sesuatu untuk perkongsian kita bersama bulan ini. Dalam pertemuan saya bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Pengurusan Tertinggi Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab, saya ada menyentuh mengenai tiga perkara iaitu tenaga (energy), ilmu pengetahuan (intelligence) dan integriti.

Justeru, bersempena dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang akan dianjurkan di UniMAP, saya memilih untuk membicarakan mengenai integriti. Sejarah telah membuktikan bahawa gejala rasuah dan salah guna kuasa itu telah wujud sejak sekian lama dahulu. Jika diimbas, Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah ditawarkan ganjaran agar menghentikan dakwah baginda dalam menegakkan syiar Islam di Kota Makkah. Memetik jawapan Rasululullah sewaktu berdepan dengan situasi yang mencabar tersebut: “Sekalipun matahari diletakkan di atas tangan kanan, dan bulan di atas tangan kiri, namun menghentikan dakwah Islam itu tidak sama sekali”.

Begitu tegas dan penuh berintegriti jawapan yang diutarakan oleh baginda Rasulullah S.A.W ketika itu yang menunjukkan bahawa penerimaan atau penolakan ganjaran atau rasuah ini bergantung sepenuhnya dalam diri kita semua. Harus diingat, seseorang yang berintegriti adalah seorang yang jujur, ikhlas, dan mempunyai prinsip moral yang kukuh. Seseorang yang berintegriti tidak sedikitpun mendekati rasuah. Apapun cabaran tuntutan kerja dan kehidupan seharian, seseorang yang berintegriti tidak sekali-kali mengkompromi sifat ini.

Oprah Winfrey dalam salah satu rancangannya pernah berkata : A real integrity is doing the right thing, knowing that nobody’s going to know whether you did it or not.

Di UniMAP sendiri misalnya, terdapat banyak ruang dan peluang untuk mendorong individu melakukan salah laku integriti misalnya penyelewengan wang geran penyelidikan, pemberian tender, pemilihan kontraktor dan pelbagai lagi kes yang jika tidak ditangani dengan sebaiknya akan mencemarkan imej dan reputasi Universiti.

Selain dari salah laku yang berkaitan wang, izinkan saya menjelaskan bahawa memelihara rahsia serta dokumen universiti juga adalah tertakluk dalam takrifan integriti. Adalah sesuatu yang tidak amanah, sekiranya ada individu di dalam UniMAP yang bersikap seperti gunting dalam lipatan dengan menyebarkan rahsia serta dokumen penting universiti kepada pihak luar sehingga ianya menjadi topik perbincangan dalam platform yang tidak berkaitan dengan UniMAP.

Akhir kata, wajar diingat semula bahawa Rasulullah SAW melaknat kedua-dua pemberi dan penerima rasuah. Malah sebenarnya, apa jua agama yang dianut, tidak ada satu agama pun yang membenarkan rasuah, kerana kesannya amat buruk sekali. Sabda Rasulullah S.A.W : Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang sewajarnya (Hadith Riwayat At-Tirmizi).

Kerana itulah kita perlu bermati-matian membenterasnya. Daripada ketua jabatan sehinggalah ke semua peringkat warga kampus, setiap orang mesti memainkan peranan menghindarkan terjadinya perkara ini.

Sekian,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC FEB 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana dengan keizinanNya, saya masih diberikan kesempatan untuk mencoret sedikit kata-kata untuk ruangan Dari Meja Naib Canselor bagi edisi Febuari 2017 ini.

Terlebih dulu di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Ke 10 UniMAP. Sesungguhnya bulan Februari ini membawa makna yang besar kepada kepadakita semua apabila ditukarkan dari nama Kolej Universiti Utara Malaysia (KUKUM) kepada UniMAP, berkuatkuasa 1 Februari 2007.

Alhamdulillah telah selesai Majlis Ucaptama Tahunan Naib Canselor 2017 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP, Pauh Putra, baru-baru ini Bertemakan Tunjang Mengukuh di Bumi, Pucuk Menjulang Tinggi. Harapan saya agar segala hasrat, azam dan halatuju  yang disampaikan akan dapat kita laksanakan bersama.

Saya dengan rendah hati ingin menyeru semua warga UniMAP untuk bersama-sama saya untuk mengharungi segala cabaran yang bakal kita hadapi sepanjang tahun 2017 dalam usaha menjadikan UniMAP sentiasa relevan dari semasa ke semasa.

Saya percaya, jika kita sehati dan sejiwa memikul amanah dengan penuh iltizam, integriti dan akauntabiliti, Allah akan membantu kita. Semoga kita terus bekerja bersama-sama demi UniMAP yang kita sayangi ini

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC MAC 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana dengan keizinanNya, kita kini telah melangkah ke bulan Mac – bulan terakhir bagi suku pertama tahun 2017. Seperti kebiasaan juga, saya amat bersyukur kerana terus diberikan peluang dan kesempatan untuk menitipkan kata untuk ruangan Dari Meja Naib Canselor ini.

Terlebih dulu di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP yang telah dilantik pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Jabatan bagi tempoh lantikan bermula 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019. Pelantikan ini hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang cukup besar. Justeru saya amat yakin dan percaya barisan Dekan dan Ketua Jabatan yang baharu ini akan dapat bekerja bersama-sama saya dalam memacu  kegemilangan UniMAP sehingga ke persada antarabangsa seterusnya menjadi 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.

Dalam sesi kepimpinan kali ini juga, saya dan Pengurusan Tertinggi UniMAP telah melakukan sedikit transformasi dalam penstrukturan dan penyusunan semula bidang tugas serta unit-unit yang tertentu. Unit Media misalnya, telah disatukan dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) sebagaimana yang menjadi amalan di Universiti Awam (UA) lainnya. Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) juga telah dimasukkan fungsinya di dalam Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan (IKSK) manakala Unit Kelayakan dan Akreditasi (UNIKA) disatukan fungsinya di bawah Bahagian Pengurusan Akademik yang diterajui oleh Dekan yang baharu.

Setelah mengambil kira pandangan dan hasrat dari barisan EXCO Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI), saya juga memberikan komitmen penuh untuk melantik pentadbir yang berkelayakan sebagai Ketua Jabatan bagi unit-unit bukan akademik. Semoga dengan pelantikan ini juga akan terus meningkatkan kredibiliti dan kemampuan pentadbir UniMAP ke tahap yang lebih tinggi.

Ingin saya tekankan di sini, kita kini telah berada di fasa terakhir dalam menggapai misi yang ditetapkan, dan keseluruhan Dekan dan Ketua Jabatan yang dilantik inilah yang akan memandu setiap Pusat Pengajian, Jabatan dan Unit untuk merealisasikan hasrat ini. Untuk itu, saya ingin menyeru agar semua Dekan dan Ketua Jabatan menjadikan dirinya sebagai sumber rujukan,  teladan dan ikutan atau dalam erti kata lain ‘role model’ kepada orang sekelilingnya. Untuk itu, saya juga mengharapkan barisan kepimpinan baharu yang dilantik ini berpegang kepada tiga teras kekuatan iaitu mempunyai tenaga aura yang positif, berpengetahuan luas dan mempunyai integriti yang tinggi  dalam melaksanakan amanah masing-masing.

Pada hari ini, pemimpin  harus memantapkan kompetensi mereka seiring dengan perkembangan teknologi masa kini. Oleh itu, bukan saja ketua jabatan, tetapi juga semua staf perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu baru dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh kita.

Bagi integriti pula, ia  bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, malah ia merupakan satu konsep yang lebih besar. Seperti contoh dalam amalan budaya kerja  yang menuntut integriti dalam ketepatan waktu, penyampaian maklumat, integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik, integriti dalam berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan.

Saya yakin, jika semua nilai-nilai ini ada pada semua warga UniMAP, InsyaAllah apa yang kita rancangkan selam ini akan tercapai. Rasanya cukuplah coretan saya buat kali ini, semoga segala usaha yang kita lakukan ini akan dipermudahkan dan diberkati Allah Azza Wajalla.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC JAN 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla kerana dengan limpah dan kurniaNya yang telah memberikan kelancaran kepada kita untuk mengharungi  kehidupan di tahun 2016.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga UniMAP, harapan saya semoga dengan kehadiran 2017 ini akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Dalam setiap hari yang kita lalui sepanjang 2016 lalu,  pelbagai suka duka yang telah kita lalui, jadikanlah semua pengalaman itu sebagai pengajaran untuk kita dalam memperbaiki diri untuk terus maju ke hadapan.

Kehadiran tahun baharu membawa pelbagai cabaran baharu, impian baharu, misi baharu dan masa depan baharu. Sebagai warga UniMAP kita seharusnya mempunyai azam yang lebih kuat dalam memajukan universiti yang kita cintai ini.

Ini kerana, 2017 menjanjikan cabaran yang lebih hebat dalam usaha mendidik anak bangsa. Oleh itu saya berharap agar semua warga UniMAP akan sentiasa positif dan tidak mudah mengalah dengan kegagalan yang lalu.

Kita merupakan sebuah keluarga besar yang mempunyai impian yang sama. Di sini saya sebagai ketua kepada keluarga besar ini, ingin menyeru agar semua warga UniMAP akan dapat bersama-sama saya untuk terus memastikan UniMAP berada di puncak dan mencapai impian dalam usaha menjadikannya sebagai 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

Saya berharap agar apa yang kita rancangkan tidak hanya cantik di atas kertas semata-mata, marilah bersama kita realisasikan impian itu menjadi kenyataan.

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.