A+ A A-

DMNC Jun 20141

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan keizinanNya saya kesempatan menulis sedikit coretan perkongsian bersama warga UniMAP bagi edisi bulan Jun kali ini.

Selamat datang saya ucapkan kepada pelajar-pelajar baru pengambilan Diploma bagi sidang Akademik 2014/2015 yang mendaftarkan diri pada 8 Jun lalu. Saya mewakili pihak pengurusan tertinggi UniMAP amat berbesar hati menerima anda semua di sini. Saya harap anda dapat menyesuaikan diri dengan mudah, dan seterusnya dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran secepat mungkin. Sekiranya terdapat masalah, hubungi pihak HEPA atau Dekan, insyaa Allah kita akan usahakan yang terbaik.

Pada 26 Mei yang lalu, saya menyertai delegasi UniMAP ke Universiti Karabuk serta  kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Turki. Lawatan tersebut adalah bersempena penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa (Doctor Honoris Causa) yang diberikan oleh Universiti Karabuk kepada saya, yang mewakili UniMAP. Alhamdulillah, pengiktirafan ini merupakan satu lagi bukti kejayaan universiti kita Malaysia di persada dunia. Ia menunjukkan bahawa sumbangan dan komitmen kita dalam memperkasa hubungan akademik mendapat perhatian mereka. Ini secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan dua hala Malaysia- Turki. Saya lihat pengiktirafan ini bukanlah untuk saya semata-mata, sebaliknya ia merupakan hasil kerjasama jitu warga UniMAP keseluruhannya.

Untuk makluman, Universiti Karabuk merupakan sebuah universiti awam yang mempunyai 32,000 pelajar, 795 pensyarah, 450 staf pentadbiran dan merupakan salah sebuah dari 17 universiti awam yang baru ditubuhkan di Turki. Rektornya, iaitu Prof Dr Burhanettin Uysal amat bersungguh-sungguh ingin memastikan kerjasama Karabuk-UniMAP dapat dijalin dengan erat. Insyaa Allah, pelbagai program akan kita susun sebagai tindakan susulan, dengan harapan kerjasama ini akan mendatangkan banyak manfaat kepada kedua-dua warga UniMAP dan juga warga Universiti Karabuk.

Sebelum mengakhiri coretan pada kali ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) UniMAP yang menjadi jabatan antarabangsa pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berinisiatif untuk mempraktikkan amalan pengurusan kualiti berasaskan ISO 9001:2008. Saya ingin menyeru PTJ-PTJ lain mengikuti jejak CIA di masa akan datang.

Rasanya cukuplah coretan saya setakat ini, saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.