A+ A A-

DMNC Disember 2015

Disember 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sehati Sejiwa

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla kerana dengan limpah dan kurniaNya memberikan kesempatan untuk saya mencoret sedikit warkah pada bulan terakhir di  tahun 2015 ini.

Saya amat bersyukur kerana UniMAP yang kita sayangi ini semakin matang dan telah dikenali atas kejayaannya di seluruh dunia. Setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya titipkan buat semua warga UniMAP, terima kasih atas kerja keras anda semua selama ini. Hanya Allah Azza Wajalla yang mampu membalasnya. 

Alhamdulillah selama 14 penubuhannya, UniMAP kini berada pada kalangan 524 terbaik dunia melalui penilaian QS World University Rankings by Faculty Area. Kedudukan dalam bidang terfokus juga amat membanggakan apabila UniMAP menduduki tangga ke 473 di dunia bagi bidang Chemical Engineering, tangga 474 didunia bagi bidang Engineering, Mechanical & Aeronautics dan tangga 515 di dunia bagi bidang Electrical and Electronics.

Manakala dalam QS Asian University Rankings yang melaksanakan penilaian ke atas institusi pengajian tinggi di Asia berdasarkan beberapa kriteria penilaian meliputi maklum balas majikan, pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan pengantarabangsaan, UniMAP berada di kedudukan 226 sekaligus menjadikan universiti ke-10 terbaik di Malaysia. Bagi QS World University Rankings pula, UniMAP berada di kedudukan di antara 750 hingga 780 dan menjelang 2020 kita mensasarkan kedudukan UniMAP di antara 500 universiti terbaik dunia. Semoga perjalanan UniMAP untuk tempoh mendatang akan terus dipermudahkan. Insya ALLAH.

Sebelum mengakhiri coretan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada penyelidik-penyelidik UniMAP yang akan menyertai Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2015 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Disember nanti di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Saya mengharapkan kita mampu mengekalkan kejuaraan yang diraih sebelum ini. Rasanya cukuplah setakat ini coretan saya pada kali ini, semoga apa yang disampaikan ini akan dapat menjadi pedoman buat kita bersama.

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.