A+ A A-

Persepsi Masyarakat Perlis Terhadap Perlis Maju 2015

KANGAR, 25 Januari - Masyarakat Perlis kini semakin memahami agenda utama kerajaan negeri yang memberikan fokus dalam memajukan Perlis menjelang tahun 2015.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, kajian yang dilakukan Institut Kajian Stretegik Kepimpian dan Komuniti  (IKSK) UniMAP meliputi lima aspek utama iaitu ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran kerajaan.

“Hasil dari kajian yang dilaksanakan dari tahun 2012 hingga 2014 menunjukkan keputusan yang amat memberangsangkan dan rakyat amat positif dalam membantu kerajaan bagi membantu memajukan Perlis.

“Jika dilihat pada graf keyakinan rakyat dengan usaha kerajaan meningkat dari 87.7 peratus pada 2013 kepada 93.8 peratus pada 2014,”katanya ketika membentangkan laporan kajian Persepsi Rakyat Perlis terhadap Agenda Negeri sempena Konvensyen Perlis Maju Rakyat Minda Kelas Pertama, di Dewan Warisan, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Speaker Kerajaan Negeri Perlis, Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ahmad Zamri Khairuddin.

Ujar Dr. Kamarudin lagi, persepsi kemajuan prasarana juga meningkat dari 85.1 peratus pada 2013 kepada 90.3 peratus pada 2014, manakala bagi kemajuan perkhidmatan meningkat dari 80.7 peratus pada 2013 kepada 93.8 peratus pada 2014.

“Manakala bagi persepsi kemajuan utiliti dan pentadbiran kerajaan masing-masing meningkat  88.1 peratus  kepada 92.4 peratus dan 57.4 peratus  kepada 90.4 peratus bagi tahun 2013 dan 2014,”katanya lagi.

Pada konvensyen itu juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Izamael Zamzuri Ismail turut membentangkan laporan prestasi agenda negeri manakala Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali memberikan penilaian dan rumusan terhadap prestasi agenda kerajaan negeri Perlis.

Perlis Maju 2015 merupakan agenda utama kerajaan negeri Perlis dalam usaha menyediakan persekitaran yang kondusif kepada rakyatnya. Oleh itu kerajaan negeri telah menetapkan 53 indikator dalam memastikan impian negeri Perlis negeri maju dapat dicapai.

Sementara itu pada majlis yang sama, seramai 14 sekretariat Perlis Maju 2015 dari UniMAP dan agensi kerajaan lain diberikan sijil penghargaan dari kerajaan negeri Perlis di atas sumbangan mereka terhadap agenda Perlis Maju 2015

Perlis Maju

Perlis Maju

Perlis Maju

Perlis Maju

Perlis Maju

Perlis Maju