- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
PPIPT Entrepreneurship Carnival 2016 Dedah Ilmu Perniagaan Kepada Pelajar
KANGAR, 28 April – Selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) didedahkan dengan pengalaman perniagaan menerusi penganjuran Karnival Keusahawanan PPIPT 2016.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni PPIPT UniMAP, Muhamad Azan Yaakob berkata, penganjuran karnival tersebut juga antara lainnya akan membolehkan para pelajar memperolehi ilmu secara praktikal dengan merasai sendiri pengalaman menguruskan perniagaan.
Beliau menjelaskan, penganjuran karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut membuka peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman berniaga di dunia sebenar dan pada masa sama menentukan hala tuju perniagaan dalam mencapai keuntungan yang ditetapkan.
“Selain itu, penganjuran karnival ini juga disasarkan untuk mengubah minda dan pemikiran pelajar yang sebahagian besarnya menyimpan impian untuk bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta.
“Sekiranya mereka berniaga selepas bergaduat kelak, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai kelak,” ujar beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan PPIPT 2016 di sini hari ini.
Majlis Perasmian PPIPT Entrepreneurship Carnival 2016 disempurnakan Speaker Kerajaan Negeri Perlis, Hamdan Bahari.
Sementara itu, Pengarah Program, Muhamad Aniq Bakhtiar Mustafa Alba berkata, karnival itu merupakan sebahagian daripada kerja kursus bagi mata pelajaran Gelagat Organisasi (Organization Behavior) yang diwajibkan untuk semua pelajar tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa.
“Karnival ini merupakan kali pertama dianjurkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan sambutannya amat memberangsangkan.
“Sebelum ini kami hanya mengadakan program tanggungjawab sosial universiti (USR) seperti membantu masyarakat kampung dan sebagainya, dan penganjuran karnival ini merupakan sesuatu yang baharu bagi kami,” katanya.
Muhamad Aniq juga berharap agar karnival tersebut dapat diluaskan lagi dengan membuka penyertaan kepada masyarakat Perlis bagi memberikan lebih banyak pengalaman keusahawanan kepada pelajar UniMAP.
Karnival tersebut melibatkan 531 pelajar dari lapan buah kelas membabitkan 27 gerai makanan dan enam gerai permainan yang diuruskan sendiri oleh para pelajar.
Antara gerai aktiviti yang menarik perhatian adalah pertandingan Marathon, PPITP Got Talent, Rumah Hantu, Photo Booth, Memanah dan Dart.