PELIHARA NILAI TERAS UniMAP - RAJA MUDA PERLIS

Oleh: Nurul Aida Othman & Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 12 Ogos - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan ‘Majlis Serah Tugas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ yang diadakan di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, semalam.
Majlis diadakan selepas Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengambil alih amanah sebagai Naib Canselor keempat UniMAP berkuat kuasa 9 Ogos 2021 sehingga 8 Ogos 2024 daripada Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad yang memegang jawatan tersebut dari 15 Mei 2019 sehingga 27 Mac 2021.
Baginda bertitah, agar nilai teras Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) iaitu "Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan” sentiasa dijaga dan dipelihara begitu juga dalam aspek integriti dan pengekalan nama baik universiti.
“Diharapkan lebih banyak kejayaan bakal ditempa dan agenda pembangunan universiti terus diutamakan demi menjamin kemenjadian pelajar dan keterlihatan universiti di peringkat global. Semoga UniMAP akan terus unggul dan cemerlang di persada antarabangsa,” kata Baginda