A+ A A-

RY20 Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Proses Kimia Industri)

 

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

RY20 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian)

             (Proses Kimia Industri)

Program ini direkabentuk untuk melahirkan graduan yang memiliki kemahiran praktikal, diterima pasaran kerja sebagai jurutera teknologi dalam pengkhususan pemprosesan kimia dalam usaha untuk memenuhi kehendak industri kimia. Program pengajian ini juga bertujuan melahirkan graduan yang memiliki tahap kefahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap prinsip asas sains dan teknologi kejuruteraan yang menjadi asas kepada lapangan petrokimia dan oleokimia  serta  mampu untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kepantasan perubahan dalam industri dan bidang tersebut. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk membangunkan graduan yang mempunyai kemampuan menyumbang perkhidmatan kepada masyarakat dengan mempromosi nilai-nilai etika dan profesional, memahami implikasi keselamatan serta menghayati sumber semula jadi dan alam sekitar.

Program ini dirangka secara spesifik untuk menyediakan pelajar dengan adunan teori dan kemahiran teknikal dalam disiplin-disiplin berasaskan kejuruteraan kimia khususnya dalam rekabentuk loji pemprosesan kimia yang ekonomik, selamat, dan mesra alam. Sub-bidang yang menjadi tonggak kepada rekabentuk loji adalah seperti kejuruteraan tindakbalas kimia, proses-proses pemisahan, kawalan proses dan instrumentasi, perawatan sisa loji di mana prinsip-prinsip kejuruteraan diaplikasikan dalam membangunkan sesuatu proses penukaran bahan mentah kepada barangan keperluan yang berguna kepada masyarakat. Kesemua disiplin ini diintegrasikan di dalam kurikulum pengajian teknologi kejuruteraan kimia yang menekankan latihan praktik yang intensif di samping menyediakan kemahiran berkomunikasi dan lain-lain kemahiran insaniah yang mantap. Graduan yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah ini akan dapat berkhidmat dalam industri berasaskan petrokimia/oleokimia seperti penghasilan bahan api, baja kimia, farmaseutikal, polimer dan tenaga boleh diperbaharui demi menjamin kelangsungan sumber semula jadi yang lestari dan mesra alam.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Proses
  • Jurutera Kimia
  • Jurutera Pengeluaran
  • Jurutera Bidang Minyak/Gas
  • Jurutera/Pegawai Alam Sekitar
  • Jurutera/Pegawai R&D
  • Jurutera Jualan
  • Jurutera Loji
  • Pegawai (Jurutera) Keselamatan dan Kesihatan
  • Jurutera/Pegawai Kawalan Kualiti/Piawaian
  • Ahli Akademik

RY11 Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Kepujian) (Pembinaan)

 

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

RY11 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Kepujian)

             (Pembinaan)

Program ini direkabentuk untuk melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran dari segi teori dan praktikal dalam bidang Teknologi Kejururuteraan Awam khususnya dalam bidang pembinaan. Para graduan akan diterapkan dengan ilmu dan kemahiran teknikal yang berpandukan kepada teknologi terkini yang memenuhi permintaan pasaran semasa. Pengetahuan dalam bidang teknologi kejuruteraan pembinaan bukan sahaja tertumpu kepada aspek teknikal sahaja malahan menitik berat aspek pengurusan serta pembangunan mampan dan mempunyai elemen teknologi hijau yang mengambil kira keperluan generasi akan datang.

Prospek pekerjaan dan karier bagi bakal graduan adalah luas kerana bidang ini sudah lama sinonim dengan pembangunan tamadun manusia. Graduan peluang memasuki alam pekerjaan di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Mereka berpeluang berkhidmat sebagai kontraktor dalam industri pembinaan, usahawan dalam bidang pembinaan, jurutera/penyelia tapak, pegawai kesihatan dan keselamatan perkerjaan di tapak bina, pembekal produk pembinaan, pegawai penyelidik (R&D) di institusi akademik dan penyelidikan dan juga agensi kerajaan. Latihan Industri selama 6 bulan di syarikat awam dan swasta membolehkan graduan mempersiapkan diri sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Kontraktor
  • Pereka
  • Penyelia Tapak
  • Saintis Penyelidikan
  • Pegawai Pemeriksa/ Penyelia
  • Eksekutif Jualan Teknikal
  • Perancang Projek
  • Pegawai Makmal/ Pengujian
  • Pegawai Keselamatan dan Kesihatan
  • Pegawai Latihan

RY01 Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Teknologi Makanan)

 

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

RY01 – Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian)

             (Teknologi Makanan)

Program ini direkabentuk khusus untuk menyediakan pelajar dengan kurikulum yang menumpukan kepada asas pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia dengan pengkhususan berhalatujukan kepada bidang teknologi makanan. Asas teknologi kejuruteraan kimia dijadikan sebagai landasan bagi memastikan graduan yang dilahirkan berinovasi ke arah pembangunan sumber makanan, produk dan proses baharu yang lebih berkualiti dan selamat di samping kecemerlangan dalam akademik, bersifat holistik, berkemahiran dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Struktur kurikulum yang dirangka dengan kandungan makmal melebihi 50% dan latihan industri selama 6 bulan di akhir semester pengajian juga mampu meningkatkan peluang pelajar untuk diserap terus sebagai pekerja di industri terlibat.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Teknologis Profesional/Pegawai Proses
  • Teknologis Profesional/Pegawai Kimia
  • Penyelia Makmal
  • Ahli Akademik
  • Teknologis Profesional/Pegawai eknologi Makanan
  • Teknologis Profesional/Pegawai Piawaian Kualiti dan Kawalan Mutu
  • Teknologis Profesional/Pegawai analisis makanan
  • Teknologis Profesional/Pegawai Pengeluaran
  • Teknologis Profesional/Pegawai Keselamatan dan Kesihatan
  • Teknologis Profesional/Pegawai Alam Sekitar
  • Teknologis Profesional/Pegawai Penyelidikan (R&D)
  • Teknologis Profesional/Pegawai
  • Teknologis Profesional/Pegawai Penguatkuasa Makanan Halal
  • Teknologis Profesional/Pegawai Pembangunan Produk
  • Teknologis Profesional/ Pegawai/ Auditor/ Perunding Keselamatan Makanan

RA72 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian)

 

Pusat Pengajian Pembangunan Insan danTeknokomunikasi

RA72 – Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian)

Program ini dirangka khusus untuk menghasilkan graduan yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam komunikasi, media baharu, teknologi maklumat, pengurusan dan keusahawanan yang berdaya saing, inovatif dan kreatif selaras dengan keperluan industri. Kurikulum program direka secara khusus bertujuan: pertama, memupuk tenaga kerja yang kompeten berkomunikasi supaya berkesan melaksana tugas dan tanggungjawab dalam organisasi; kedua, melatih tenaga kerja yang berupaya memanfaatkan media baru untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian; dan ketiga, memindahkan ilmu pengurusan dan keusahawanan kepada tenaga kerja supaya berupaya menjadikan organisasi lebih efektif dan berdaya saing dalam proses menawarkan produk atau perkhidmatan. Gabungan pelbagai kemahiran pada satu masa akan menghasilkan graduan hibrid yang memiliki daya saing tinggi untuk menghadapi cabaran dalam era globalisasi serta mempunyai kualiti kendiri yang tinggi untuk pasaran kerjaya.

Malah, program ini juga mampu melahirkan tenaga kerja yang mampu mendokong keperluan dasar industri kreatif yang semakin berkembang pesat terutamanya industri kreatif multimedia yang menekankan pembangunan produk-produk kreatif dan menjadikan industri kreatif sektor dinamik yang dapat meningkatkan sumbangan kepada KDNK negara dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi berpendapatan tinggi (high-income economy).

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Pegawai Perhubungan Awam
  • Pegawai Penerangan
  • Pegawai Penerbitan
  • Pegawai Tadbir
  • Eksekutif Komunikasi Korporat
  • Pengurus Acara
  • Penyampai Radio & TV
  • Wartawan/Editor/Penulis
  • Pereka Grafik & Animasi
  • Penerbit Produksi Media & Digital
  • Jurufoto
  • Pegawai Pemasaran
  • Perunding
  • Jurucakap Produk

RP52 Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Keusahawanan Kejuruteraan)

 

Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan

RP52 – Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian)

             (Keusahawanan Kejuruteraan) 

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan usahawan yang berasaskan kejuruteraan dan teknologi pengurusan yang menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan. Program ini direkabentuk untuk para pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan tetapi mahu membangunkan pengetahuan dan kemahiran asas ilmu kejuruteraan yang berkaitan dengan penghasilan dan pemasaran produk-produk berasaskan teknologi dan industri.

Seterusnya, program ini berhasrat melahirkan graduan yang mempunyai kefahaman dan kemahiran yang lebih seimbang antara aspek keusahawanan dan teknikal melalui pembelajaran kursus-kursus asas kejuruteraan dan keusahawanan. Mereka juga mampu berdikari, komited terhadap lapangan yang diceburi serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk berhadapan dengan cabaran di era globalisasi pada masa kini.

Graduan Keusahawanan Kejuruteraan mempunyai prospek kerjaya yang amat cerah memandangkan mereka dilatih untuk menjadi usahawan teknologi yang berjaya. Berbekalkan ilmu, kemahiran dan pengalaman melalui program inkubator secara off-campus, graduan diyakini mampu menceburkan diri secara sepenuh masa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Tidak dinafikan, mereka akan berhadapan dengan segala risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan. Namun diyakini graduan program ini mampu menghasilkan individu yang berdaya saing yang tinggi, komited, cekal untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Teknousahawan/ Usahawan Atas Talian
  • Perunding Perniagaan
  • Pegawai/ Eksekutif Kredit
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik
  • Pegawai/ Eksekutif Kewangan
  • Pegawai/ Eksekutif Projek
  • Ahli Akademik
  • Jurutera Jualan/ Eksekutif Jualan
  • Pegawai Acara
  • Pegawai Logistik/ Pergudangan
  • Pelatih Pengurusan
  • Perunding Perniagaan
  • Perancang Organisasi Strategik
  • Pegawai Operasi
  • Pegawai/ Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan
  • Pegawai/ Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan
  • Pengurus/ Eksekutif di bidang Pemasaran, Operasi, Sumber Manusia
  • Pegawai Penyelidik

RE09 Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) (Perniagaan Antarabangsa)

 

Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan

RE09 – Ijazah Sarjana Muda Perniagaan  (Kepujian)

             (Perniagaan Antarabangsa)

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa serta melahirkan tenaga pakar sebagai pengurus atau pekerja dalam apa jua dunia perniagaan.  Maka, ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang isu global serta ilmu perniagaan antarabangsa merupakan persediaan penting untuk menghadapi dunia perniagaan yang lebih kompetitif.

Graduan daripada program ini dapat memahami intipati untuk menjalankan pengurusan perniagaan di Malaysia dan di peringkat global di samping memahami faktor budaya, bahasa, sistem politik, geografi, dan sosio ekonomi. Mereka juga mempunyai kebolehan menggabungkan dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, berketrampilan, boleh berdikari serta berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah melalui pemikiran yang inovatif dan kreatif serta didokongi sifat mulia dan terpuji.

Selain itu, program ini juga dapat menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia (world class education).

Kerjaya utama bagi graduan lulusan program ini adalah sebagai pengurus dalam bidang pekerjaan yang berasaskan kemahiran pengurusan, operasi, kewangan, audit, pelaburan dan perbankan, sumber manusia , pemasaran dan teknologi maklumat.   Graduan ini juga berkemampuan memberikan perkhidmatan pakar dalam sektor penyelidikan dan pembangunan industri perniagaan melalui khidmat nasihat perniagaan, urusniaga perdagangan ke atas syarikat multinasional, industri tempatan, industri kecil, universiti dan badan korporat dan agensi kerajaan. Mereka juga berupaya memberikan perkhidmatan dalam bidang perundingan dan penasihatan contohnya sebagai perunding pengurusan projek dan perancang pelan perniagaan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Pegawai/ Eksekutif Kewangan
  • Pegawai Perhubungan Awam
  • Perunding Perniagaan
  • Pegawai/ Eksekutif Kredit
  • Pelatih Pengurusan
  • Perancang Organisasi Strategik
  • Penasihat Pelaburan
  • Pegawai Diplomat
  • Perunding Export/Import
  • Teknousahawan/ Usahawan Atas Talian
  • Pegawai Penyelidik
  • Agen Pengagihan (Forwarding Agent)
  • Penganalisis Pertukaran Matawang
  • Pengurus Operasi
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik
  • Pengeksport/ Pengimport
  • Pengurus Pengangkutan (Laut, Udara, Air dan Paip)
  • Pegawai Kastam (dokumentasi, cukai dan tarif)
  • Pegawai/ Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan
  • Pegawai/ Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan
  • Perunding/ Pengurus Logistik/ Penyimpanan/ Gudang
  • Ahli Akademik/ Pembantu Penyelidik/ Pegawai Penyelidik
  • Pembuat Keputusan/Ketua dalam Organisasi/ Projek Antarabangsa/ Tugasan Antarabangsa
  • Juruanalisa Perniagaan/ Perancang Perniagaan
  • Pengurus/ Eksekutif di bidang Pemasaran, Operasi, Sumber Manusia, Hotel & Fasiliti, dan Industri Pelancongan

Subcategories