Bangunan Canselori Bakal Beroperasi Mac
PAUH PUTRA – Bangunan Canselori Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menempatkan tiga jabatan utama universiti itu dijangka beroperasi Mac tahun ini di Kampus Tetap UniMAP, di sini.
Bangunan lima tingkat itu bakal menempatkan Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari dengan kemudahan Auditorium, surau, bilik mesyuarat, kafeteria, wakaf dan Dewan Senat.
Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata projek pembinaan bangunan baharu itu bermula sekitar 2014 di bawah Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK Ke-10) bersama tujuh projek baharu yang diluluskan.
Ujarnya, RNEM Engineering Sdn Bhd adalah kontraktor utama projek berkenaan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis mulai 15 Ogos 2016 dan dijadualkan siap pada penghujung 2018 namun dilanjutkan sehingga pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 13 Disember tahun lalu.
“Alhamdullilah, dengan siapnya bangunan ini pihak UniMAP tidak lagi akan meneruskan sewaan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kangar sekaligus dapat menjimatkan perbelanjaan belanja mengurus dan pengurusan kos operasi serta penyelenggaraan bangunan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Bangunan Canselori dari JKR kepada UniMAP di Dewan Senat bangunan berkenaan, pada 21 Januari 2020.