A+ A A-
  • Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC - Ogos 2015

Dari Meja Naib Canselor Ogos 2015

 

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana kita untuk bertemu sekali lagi di ruangan Dari Meja Naib Canselor edisi Ogos 2015.

 

Untuk edisi kali ini saya ingin kongsikan sedikit luahan mengenai penggunaan media sosial secara berhemah dan beretika.  Secara peribadi saya berasa amat sedih melihat penyalahgunaan  laman sosial di kalangan masyarakat kita pada hari ini berada di tahap yang amat membimbangkan.

 

Saya pasti anda semua mengambil maklum sama ada melihat, membaca dan mendengar pelbagai kritikan dan komen yang agak keras dari segelintir rakyat terhadap sesuatu isu yang berlaku di negara ini.

 

Sehinggakan ada segelintir laman sesawang yang diwujudkan semata-mata untuk menuduh secara melulu, mencemuh, menghentam dan mengeluarkan kata-kata kesat tanpa usul periksa terhadap sesuatu perkara. Masing-masing menggunakan media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan Twitter untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu pihak tanpa memikirkan kesan mahupun akibat yang bakal berlaku hasil perbuatan terbabit.

 

Saya dapat rasakan yang kewujudan kumpulan ini lahir daripada kelompok individu yang tidak pernah berpuas hati mahupun bersyukur dengan apa yang dinikmati selama ini. Bagi mereka apa jua langkah yang diambil oleh kerajaan atau mana-mana agensi kerajaan semuanya salah belaka dan tidak kena sama sekali. Lebih menyedihkan apabila mereka meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas pihak kerajaan apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

 

Di sini saya ingin kita sama-sama berfikir sejenak sama ada  tuduhan yang dilemparkan di media sosial itu semuanya berasas? Adakah ia bersandarkan fakta, bukti dan justifikasi yang jelas? Apakah adil untuk kita menuding jari menyalahkan pihak kerajaan semata-mata sedangkan masyarakat juga ada sumbangan yang nyata dalam isu seperti ini.

 

Secara logik akalnya apa manfaat yang kita dapat andai kita bertindak seperti itu? Tuding jari salah kerajaan semata–mata. Tidak nafikan bahawa mungkin ada juga sedikit kelemahan dari segi sistem pentadbiran di setiap organisasi, tetapi tegurlah secara berhemah agar pihak berkaitan dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

 

Saya berasa amat hairan kenapa kita begitu mudah dan cepat melatah serta membuat andaian dan rumusan sebelum menyiasat secara terperinci apa sebenarnya yang berlaku. Budaya suka menuding jari menyalahkan orang lain serta begitu mudah membuat sesuatu kesimpulan hanya berdasarkan cakap-cakap orang atau hebahan media sosial adalah satu sikap yang cukup tidak sihat, tidak beretika dan juga tidak profesional dan matang.

 

Ia dengan jelas menggambarkan betapa ceteknya tahap ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh seseorang individu terbabit. Malah, ia juga dengan jelas menunjukkan seolah-olah pihak ini ada agenda tersembunyi untuk terus menghentam dan merosakkan imej baik kerajaan. Hal ini kerana individu mahupun kumpulan ini sering dilihat suka dan amat bijak mengambil kesempatan ke atas sesuatu isu mahupun tragedi apabila sepantas kilat membuat rumusan dan andaian, sekali gus menyalahkan agensi mahupun pihak kerajaan.

 

Andai kita ikhlas ingin membantu, sewajarnya kita berganding bahu bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menghadapi dan mengharungi sesuatu konflik mahupun musibah. Apa salahnya kita menegur atau kritik sekalipun dalam suasana yang lebih berhemah, ikhlas dan matang.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC - Julai 2015

PERUTUSAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP) SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Ilmu Keikhlasan Kecemerlangan UniMAP

Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah Aza Wajalla sekalian,

Dalam kita menghitung detik untuk menyambut lebaran Syawal 1436 Hijrah yang bakal menjelma tidak lama lagi, marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadratNya Yang Maha Agung kerana masih dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana yang aman dan harmoni.

Sambutan Aidilfitri ini adalah tanda kemenangan kita menewaskan musuh yang ada dalam diri kita sendiri iaitu hawa nafsu. Kita bertarung menahan diri dari lapar dan dahaga serta mentarbiahkan diri dengan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan untuk menjadi hambaNya yang lebih baik.

Walaupun dalam keseronokan, janganlah kita terlalu leka sehingga melebih-lebih dalam menyambutnya. Sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung, pastikan keselamatan kediaman saudara saudari dan periksalah kenderaan agar berada dalam keadaan yang baik. Maklumkan kepada jiran sepanjang ketiadaan saudara saudari di rumah. Malah laporkan kepulangan saudara saudari ke balai polis yang berdekatan agar memudahkan sesi rondaan anggota bertugas di kawasan kediaman kita.

Apabila memandu, pandulah dengan berhemah. Sentiasa berwaspada dan bersabar dalam apa jua situasi yang dihadapi dalam pemanduan. Ingatlah mereka yang menanti saudara saudari di rumah. Biarkan kepulangan kita nanti disambut dengan kegembiraan, bukannya tangisan. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Dalam kita bergembira menanti detik tibanya Syawal yang mulia, sama-samalah kita saling mengingati hak-hak golongan asnaf yang memerlukan perhatian dan sokongan agar dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri. Untuk itu, tunaikanlah kewajipan kita dengan menunaikan zakat fitrah pada Hari Raya Aidilfitri ini.  
Untuk itu, saya Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan seluruh warganya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Biar Hati Sejernih Air
Jangan Pula Dipenuhi Lumpur
Kalau Salah Belum Berakhir
Moga Diampun Dengan Rasa Syukur

Jika Budi Dipenuhi Ikhlas
Jangan Ia Disulam Tuba
Jika Ada Salah Belum Dibalas
Pohon Keampunan Di Hari Raya

Biar Amarah Disunting Senyum
Ibarat  Pekerti Disulam Kasih
Pinta Dihalal Makan Dan Minum
Moga Rezeki Tidak Tersisih
Sekali lagi, pesanan saya…,
‘Jadikan Syawal ini, Syawal yang dinanti, bukanlah Syawal yang ditangisi’

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin”.

  • Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC MEI 2015

Dari Meja Naib Canselor Mei 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan keizinanNya memberikan saya kesempatan untuk menulis sedikit coretan perkongsian bersama warga UniMAP bagi edisi Mei kali ini.

 

Seperti yang sedia maklum, Mei merupakan bulan yang sangat bermakna, ini kerana, dalam bulan ini terdapat hari-hari penting yang disambut bagi meraikan insan-insan penting dalam kehidupan ini. Oleh itu dikesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Jururawat dan Selamat Hari Guru.

 

Pada kesempatan ini juga, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada enam  Professor UniMAP yang dilantik sebagai Professor Kunjungan di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) bagi membantu pembangunan akademik, penyelidikan dan kualiti pensyarah di universiti berkenaan.

 

Enam Profesor itu adalah  Prof Dr. Harshita Aini Haroon, Datuk Wira Prof Dr Salleh Haji Din, Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidy Ghazali, Prof Madya Dr Rizalafendi Che Ismail, Prof Madya Dr Huzili Hussin dan Mazmin Mat Akhir yang dilantik berdasarkan kepakaran yang dimiliki mereka dalam bidang Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sains, Teknologi, Sains Sosial dan Infrastruktur Perpustakaan.

 

Semoga mereka yang terpilih ini akan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin. InsyaAllah.

 

InsyaAllah pada pertengahan bulan ini juga kita akan menerima lawatan daripada Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II bagi melancarkan Program Industry – Academia Collaboration (ICoE Healthcare Cluster and UniMAP Innovation Centre) di Pusat Kejuruteraan, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra.

 

Program ini adalah satu program yang melibatkan kerjasama antara industri dan academia dalam memantapkan lagi pelaksanaan penyelidikan yang dijalankan oleh kedua-dua pihak.

Saya berharap agar semua warga UniMAP dapat memberikan komitmen yang terbaik sepanjang beliau berada di sini. Bersama kita menjaga nama baik UniMAP dan mempamerkan kualiti hospitaliti yang terbaik kepada tetamu kita ini. InsyaAllah.

 

Rasanya cukuplah coretan saya setakat ini saya sudahi dengan  Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

  • Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC JUN 2015

Dari Meja Naib Canselor Jun (Ramadan 1436H)

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia.

“Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP”

 

Alhamdulillah, Ramadan datang lagi, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya memberikan kita peluang untuk merasai nikmat bulan seribu rahmat ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua staf dan pelajar yang beragama Islam. 

 

Saya difahamkan bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan, Pusat Islam UniMAP telah merancang sebanyak 22 program bagi memanfaatkan kehadiran bulan yang mulia tersebut, dan semua 22 program yang dirancang ini akan melibatkan kerjasama dari Pusat Tanggungjawab yang telah dipilih. Di sini saya ingin menyeru kepada semua warga UniMAP mengambil peluang melaksanakan berbagai- bagai amal ibadat yang sunat dan fardhu dengan menghayati semaksima mungkin bagi mengumpulkan pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan.

Gunakanlah peluang yang ada ini untuk meningkatkan amalan seperti bertadarus, bersedekah, qiyamullail dan sebagainya. Amatlah rugi sekiranya Ramadan yang mempunyai banyak kelebihan kita sia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. 

 

Saya juga ingin berpesan kepada semua warga UniMAP agar jangan menjadikan puasa sebagai suatu alasan untuk kita berkerja sambil lewa dan kurang produktif, kerana kerja merupakan satu ibadah kepada umat Islam. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh bagi meningkatkan kesejahteraan kualiti diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, dalam kita bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal, kita hendaklah berazam untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sebaik-baiknya.

 

Marilah kita berusaha untuk mengubah persepsi yang tidak elok tentang bulan Ramadan ini sebaliknya berazam untuk bekerja dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dituntut oleh agama kita. Tugas atau kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Semoga rezeki yang kita peroleh mendapat keberkatan dari Allah SWT.

 

Rasanya cukuplah coretan saya untuk bulan ini, InsyaAllah, bertemu lagi di bulan hadapan, Salam Ramadan, sekian.  Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh

DMNC MEI 2015

DMNC MEI 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan keizinanNya memberikan saya kesempatan untuk menulis sedikit coretan perkongsian bersama warga UniMAP bagi edisi Mei kali ini.

Seperti yang sedia maklum, Mei merupakan bulan yang sangat bermakna, ini kerana, dalam bulan ini terdapat hari-hari penting yang disambut bagi meraikan insan-insan penting dalam kehidupan ini. Oleh itu dikesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Jururawat dan Selamat Hari Guru.

Pada kesempatan ini juga, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada enam  Professor UniMAP yang dilantik sebagai Professor Kunjungan di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) bagi membantu pembangunan akademik, penyelidikan dan kualiti pensyarah di universiti berkenaan. Enam Profesor itu adalah  Prof Dr. Harshita Aini Haroon, Datuk Wira Prof Dr Salleh Haji Din, Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidy Ghazali, Prof Madya Dr Rizalafendi Che Ismail, Prof Madya Dr Huzili Hussin dan Mazmin Mat Akhir yang dilantik berdasarkan kepakaran yang dimiliki mereka dalam bidang Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sains, Teknologi, Sains Sosial dan Infrastruktur Perpustakaan. Semoga mereka yang terpilih ini akan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin. InsyaAllah.

InsyaAllah pada pertengahan bulan ini juga kita akan menerima lawatan daripada Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II bagi melancarkan Program Industry – Academia Collaboration (ICoE Healthcare Cluster and UniMAP Innovation Centre) di Pusat Kejuruteraan, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra. Program ini adalah satu program yang melibatkan kerjasama antara industri dan academia dalam memantapkan lagi pelaksanaan penyelidikan yang dijalankan oleh kedua-dua pihak.

Saya berharap agar semua warga UniMAP dapat memberikan komitmen yang terbaik sepanjang beliau berada di sini. Bersama kita menjaga nama baik UniMAP dan mempamerkan kualiti hospitaliti yang terbaik kepada tetamu kita ini. InsyaAllah.

 

Rasanya cukuplah coretan saya setakat ini saya sudahi dengan  Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.