A+ A A-
  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC FEB 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana dengan keizinanNya, saya masih diberikan kesempatan untuk mencoret sedikit kata-kata untuk ruangan Dari Meja Naib Canselor bagi edisi Febuari 2017 ini.

Terlebih dulu di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Ke 10 UniMAP. Sesungguhnya bulan Februari ini membawa makna yang besar kepada kepadakita semua apabila ditukarkan dari nama Kolej Universiti Utara Malaysia (KUKUM) kepada UniMAP, berkuatkuasa 1 Februari 2007.

Alhamdulillah telah selesai Majlis Ucaptama Tahunan Naib Canselor 2017 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP, Pauh Putra, baru-baru ini Bertemakan Tunjang Mengukuh di Bumi, Pucuk Menjulang Tinggi. Harapan saya agar segala hasrat, azam dan halatuju  yang disampaikan akan dapat kita laksanakan bersama.

Saya dengan rendah hati ingin menyeru semua warga UniMAP untuk bersama-sama saya untuk mengharungi segala cabaran yang bakal kita hadapi sepanjang tahun 2017 dalam usaha menjadikan UniMAP sentiasa relevan dari semasa ke semasa.

Saya percaya, jika kita sehati dan sejiwa memikul amanah dengan penuh iltizam, integriti dan akauntabiliti, Allah akan membantu kita. Semoga kita terus bekerja bersama-sama demi UniMAP yang kita sayangi ini

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

DMNC Februari 2015

FEBRUARI 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T  kerana dengan keizinanNya, kita telah melangkah ke bulan Februari. Begitu cepat masa berlalu dan pada bulan 10 haribulan ini genaplah usia saya 60 tahun. Sudah 13 tahun lamanya saya bersama UniMAP.


Walaupun akan bersara wajib, saya bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memimpin UniMAP untuk tempoh setahun lagi. Begitu banyak kenangan bersama warga UniMAP sepanjang saya menjadi Naib Canselor di sini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga UniMAP yang selama ini bersama-sama saya berusaha keras siang dan malam tanpa rasa jemu untuk menaikkan nama Universiti yang kita sayangi ini. InsyaAllah dalam tempoh setahun yang diberikan ini, saya akan berusaha untuk memastikan segala perancangan yang dibuat akan dapat dicapai.

Baru-baru ini, saya bersama ketua-ketua jabatan telah ke Universiti Ubudiyah, Aceh, untuk menjalankan bengkel perancangan strategik UniMAP untuk tahun-tahun yang akan datang. Bengkel ini merupakan puncak siri perbincangan yang telah diadakan beberapa bulan yang lalu, di mana sasaran-sasaran baru dimateri agar dijadikan panduan bagi perancangan tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. Selain itu, bengkel tersebut telah memberi peluang ketua-ketua jabatan UniMAP berinteraksi dengan pensyarah-pensyarah dari Ubudiyah untuk mengenalpasti ruang-ruang kerjasama yang boleh diterokai, selain melihat sendiri kecekalan saudara-saudara kita di seberang bekerja keras membangunkan kehidupan setelah ditimpa malapetaka gempa bumi dan tsunami sekitar sedekad yang lalu. Saya pasti banyak pengajaran yang dipelajari hasil pertemuan tersebut. Saya harap segala pengajaran itu akan dimanfaatkan oleh setiap yang turut serta.

Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua warga UniMAP yang berketurunan Cina. Di sini saya ingin berpesan dalam keseronokan menyambut Tahun Baru Cina ini, janganlah lupa dengan keselamatan ketika berada di jalan raya. Ingatlah sanak saudara yang sedang menanti kita di kampung.

Semoga Tahun Kambing Kali Ini Memberi Seribu Makna Untuk Semua
"Gong Xi Fa Cai "

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  • Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC JAN 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla kerana dengan limpah dan kurniaNya yang telah memberikan kelancaran kepada kita untuk mengharungi  kehidupan di tahun 2016.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga UniMAP, harapan saya semoga dengan kehadiran 2017 ini akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Dalam setiap hari yang kita lalui sepanjang 2016 lalu,  pelbagai suka duka yang telah kita lalui, jadikanlah semua pengalaman itu sebagai pengajaran untuk kita dalam memperbaiki diri untuk terus maju ke hadapan.

Kehadiran tahun baharu membawa pelbagai cabaran baharu, impian baharu, misi baharu dan masa depan baharu. Sebagai warga UniMAP kita seharusnya mempunyai azam yang lebih kuat dalam memajukan universiti yang kita cintai ini.

Ini kerana, 2017 menjanjikan cabaran yang lebih hebat dalam usaha mendidik anak bangsa. Oleh itu saya berharap agar semua warga UniMAP akan sentiasa positif dan tidak mudah mengalah dengan kegagalan yang lalu.

Kita merupakan sebuah keluarga besar yang mempunyai impian yang sama. Di sini saya sebagai ketua kepada keluarga besar ini, ingin menyeru agar semua warga UniMAP akan dapat bersama-sama saya untuk terus memastikan UniMAP berada di puncak dan mencapai impian dalam usaha menjadikannya sebagai 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

Saya berharap agar apa yang kita rancangkan tidak hanya cantik di atas kertas semata-mata, marilah bersama kita realisasikan impian itu menjadi kenyataan.

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  • Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC Jan 20141


SELAMAT TAHUN BARU 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi


“Selamat Tinggal 2013”, “Selamat Datang 2014”

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberikan peluang untuk bertemu sekali lagi di ruangan Dari Meja Naib Canselor di tahun baru ini.

Tahun 2013 telah meninggalkan pelbagai pengalaman yang amat berharga. Banyak kejadian pahit dan manis telah kita lalui bersama. Semoga segala azam yang kita rencanakan tahun lalu telah tercapai dan kita mulakan tahun 2014 ini dengan semangat yang baru.

Di kesempatan ini ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga UniMAP yang sentiasa bersama-sama bertungkus lumus dalam membantu menaikkan nama Universiti yang kita sayangi ini. Tanpa usaha berpasukan kita sekian lama, pastinya UniMAP tidak akan dikenali di seluruh dunia. Sesungguhnya, anugerah “The Name In Science”  dan “Best Campus” yang telah saya terima bagi pihak UniMAP pada Oxford Summit of Leader daripada Europe Business Assembly baru-baru ini merupakan testimoni bahawa sekiranya kita bekerja bersungguh-sungguh, insyaa Allah kita akan memperolehi hasil yang diidam-idamkan.

Sebagai sebuah gedung ilmu, kita mempunyai amanah yang amat besar untuk dilaksanakan, iaitu melahirkan MODAL INSAN yang bakal menjadi pemimpin negara ini. Dalam usaha mendidik anak-anak kita ini, perlulah ada keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Mulakanlah tugas dengan niat yang betul. Ketahuilah - tugas yang dilaksanakan itu merupakan ibadah yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan apa yang kita laksanakan mendapat keredaan dari Nya.

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  • Ditulis oleh Kogilaranne Muthusamy
  • Kategori: DMNC - malay

DMNC Januari 2015

Dari Meja Naib Canselor

 

Januari 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah melangkah ke tahun baru 2015. Begitu cepat masa berlalu dan UniMAP kini telah berusia 13 tahun.

Dalam kegembiraan kita melayari pelbagai kejayaan dan anugerah yang kita perolehi sepanjang 2014, ada juga sahabat kita sedang dirundung duka di negeri-negeri Pantai Timur disebabkan musibah banjir.

Tragedi yang melanda awal Disember lalu amat memberikan kesan yang mendalam  terhadap saya dan seluruh warga UniMAP. Atas kesedaran itu, kita telah menghantar pasukan 7 Fasa sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa di Kelantan. Di kesempatan ini, saya ingin menyeru agar semua pihak  turut membantu meringankan beban yang ditanggung mereka ini.

Kita tinggalkan seketika kesedihan mangsa banjir di Pantai Timur, terlebih dahulu, di sini ingin saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga UniMAP yang selama ini bertungkus lumus bersama dengan saya untuk memajukan dan menaikkan nama UniMAP yang kita sayangi ini. Segala usaha anda semua hanya Allah yang mampu membalasnya. TERIMA KASIH.

Sebagai permulaan tahun baru ini, ingin saya kongsikan sedikit info psikologi sebagai persediaan kita di tahun baru ini. Info ini disediakan Oleh Kaunselor dari Pusat Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi UniMAP.

Tips bagi awal tahun ini adalah mengenai “mengatasi stress”saya pasti bukan mudah sebagai staf  dalam  menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Masalah seperti  tekanan dari pihak atasan, bebanan kerja yang melampau, pengurusan masa dan sebagainya akhirnya akan mengundang stress.

Bagi membantu mengatasi tekanan yang dihadapi di tempat kerja berikut disenaraikan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan untuk kita.

  • Bersikap realistik terhadap pekerjaan anda
  • Merancang Kerja dengan baik
  • Mengamalkan komunikasi berkesan
  • Tingkatkan sokongan sosial
  • Mengamalkan Gaya hidup Sihat
  • Amalan kerohanian

 

Semoga tips yang dikongsikan ini akan dapat diamalkan semua warga UniMAP bagi mengekalkan kesihatan kita semua, kerana staf merupakan aset yang paling berharga bagi sesebuah organisasi.

Rasanya cukuplah setakat ini coretan saya pada kali ini, semoga apa yang disampaikan ini akan dapat menjadi pedoman buat kita bersama,

 

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.