- Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
- Kategori: DMNC - malay
DMNC JUN 2015
Dari Meja Naib Canselor Jun (Ramadan 1436H)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia.
“Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP”
Alhamdulillah, Ramadan datang lagi, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya memberikan kita peluang untuk merasai nikmat bulan seribu rahmat ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua staf dan pelajar yang beragama Islam.
Saya difahamkan bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan, Pusat Islam UniMAP telah merancang sebanyak 22 program bagi memanfaatkan kehadiran bulan yang mulia tersebut, dan semua 22 program yang dirancang ini akan melibatkan kerjasama dari Pusat Tanggungjawab yang telah dipilih. Di sini saya ingin menyeru kepada semua warga UniMAP mengambil peluang melaksanakan berbagai- bagai amal ibadat yang sunat dan fardhu dengan menghayati semaksima mungkin bagi mengumpulkan pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan.
Gunakanlah peluang yang ada ini untuk meningkatkan amalan seperti bertadarus, bersedekah, qiyamullail dan sebagainya. Amatlah rugi sekiranya Ramadan yang mempunyai banyak kelebihan kita sia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
Saya juga ingin berpesan kepada semua warga UniMAP agar jangan menjadikan puasa sebagai suatu alasan untuk kita berkerja sambil lewa dan kurang produktif, kerana kerja merupakan satu ibadah kepada umat Islam. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh bagi meningkatkan kesejahteraan kualiti diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, dalam kita bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal, kita hendaklah berazam untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sebaik-baiknya.
Marilah kita berusaha untuk mengubah persepsi yang tidak elok tentang bulan Ramadan ini sebaliknya berazam untuk bekerja dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dituntut oleh agama kita. Tugas atau kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Semoga rezeki yang kita peroleh mendapat keberkatan dari Allah SWT.
Rasanya cukuplah coretan saya untuk bulan ini, InsyaAllah, bertemu lagi di bulan hadapan, Salam Ramadan, sekian. Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh