- Written by Fazemil
- Category: BERITA - Malay
UniMAP - ILMA UNIVERSITY TANDATANGANI MoU
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 8 Julai - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman bersama ILMA University Pakistan secara dalam talian.
UniMAP diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad manakala ILMA pula diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Mansoor uz Zafar Dawood.
Menurut Prof. Dr. Rizal yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP, MoU ini adalah persedian kepada kedua-dua universiti untuk memastikan pelajar dan staf bergerak aktif dan bersedia dalam menghadapi masa depan yang tidak menentu.
“Kehidupan kita kini berbeza dengan perubahan teknologi serta jangkaan separuh dari aktiviti pekerjaan akan dilaksanakan secara automatik menjelang 2055 yang secara langsung akan mencipta peranan, tanggungjawab dan cabaran baharu dalam bidang pekerjaan.
“Kita tidak boleh meramal apa yang bakal graduan kita perlukan apabila bergraduasi kelak, oleh itu saya berharap kolaborasi ini nanti akan berfokus kepada keusahawanan yang berperanan untuk mengajar mereka teknik penting untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniMAP dan ILMA University Pakistan.