A+ A A-

المقالات

IWAPI Jalin Kerjasama Dengan PISKANITA

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kangar, 27 Februari – Hubungan di antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Acheh diharapkan semakin erat dengan pelbagai kerjasama dua hala yang mampu memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Harapan itu disuarakan oleh Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ketika berucap mengalu-alukan kedatangan delegasi dari seberang itu di majlis makan malam di Hotel Seri Malaysia, hari ini.

Menurut Datuk Kamarudin, sebelum ini hubungan terjalin di antara UniMAP dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI)  dari wilayah berkenaan telah dimerterai dengan kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Kali ini kedatangan delegasi dari Acheh disertai Ikatan Wanita Pengusaha Indonesia (IWAPI) yang bakal menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) UniMAP dengan aktiviti dua hala termasuk aktiviti kemasyarakatan.

“Justeru, sepertimana UUI, diharapkan hubungan dengan IWAPI juga akan semakin erat selepas ini dan UniMAP amat mengalu-alukan kedatangan kali pertama IWAPI ke Perlis khususnya UniMAP,” kata beliau.

Turut menyertai delegasi dari Acheh itu ialah isteri wakil gabenor Acheh, Marliyana Usman.

Hadir sama ke majlis makan malam berkenaan ialah Pengerusi Piskanita UniMAP  Datin Noridah Yangman dan Rektor UUI, Maniarti M.Kes.

Delegasi dari Acheh itu dijangka mengadakan lawatan kerja ke Hatyai Thailand bagi menjalinkan kerjasama di Universiti Walailak dan Universiti Prince Of Songkla (PSU) bersama delegasi UniMAP selama dua hari.

<

Manuskrip Melayu Punca Maklumat Tamadun Melayu – Resolusi SIRaj III 2015

  • المجموعة: BERITA - Malay

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Manuskrip Melayu mesti diangkat sebagai punca teras untuk kita mendapat maklumat dalam mempertahankan tamadun Melayu untuk masa kini.

Itu adalah satu dari enam resolusi Seminar Institusi Raja (SIRaj III) 2015 yang dibacakan pengerusi majlis pada majlis penutupan SIRaj III 2015 yang disempurnakan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Haji Awang Sariyan di  Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP semalam.

Menurut Datuk Dr. Awang, SIRaj III 2015 adalah satu platform yang baik dalam usaha memartabatkan Institusi Raja di Malaysia.

“Malah DBP ingin terus bekerjasama dengan UniMAP bagi program seumpama ini di masa hadapan,” katanya.

Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Lima lagi resolusi SIRaj III 2015 adalah:

  • Dalam menggarap  sejarah Melayu atau manuskrip Melayu, Institusi Raja adalah paksi kerajaan. Raja merupakan kuasa mutlak yang melahirkan adat istiadat, sistem pemerintahan, sistem adat istiadat, sistem pembesar dan juga urus tadbir kerajaan.
  • Manuskrip  Melayu  adalah bukti atau dokumen tamadun bangsa Melayu yang paling kukuh kepada kehebatan tamadun Melayu.
  • Institusi Raja adalah asas  tamadun Melayu. Daripada raja, kita memperoleh kerajaan, seterusnya melalui kerajaan urusan pentadbiran dan pemerintahan negeri serta pertumbuhan ekonomi dan sosiobudaya masyarakat dapat dikembangkan.
  • Perkembangan atau Pencetusan agama Islam sebagai agama yang dianuti telah diasaskan oleh raja. Hasil sumbangan raja ini, agama Islam dijadikan agama negeri dan kerajaan yang kekal sehingga hari ini.
  • Raja Melayu sebagai institusi yang telah dimaktubkan di dalam perlembagaan. Segala sokongan dan gerak kerja mesti  diarahkan kepada pendaulatan Institusi Raja sebagai negara berperlembagaan.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin ketika ditemui yakin bahawa resolusi yang dibentangkan akan menjadi panduan gerak kerja PKIRM dan UniMAP di masa hadapan bagi memperkukuhkan Institusi Raja di Malaysia.

Malah beliau turut menyuarakan hasrat untuk menterjemahkan manuskrip-manuskrip Melayu yang bertulisan jawi lama dalam bahasa yang boleh difahami masyarakat.

UniMAP juga akan menerbitkan manuskrip yang telah diterjemah dalam bentuk e-book bagi memudahkan masyarakat dunia mengakses maklumat tersebut,” katanya.

SIRaj III  merupakan anjuran bersama Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) UniMAP, dengan DBP dan juga Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).  

<

Zaini Ujang Puas Hati Projek Pembangunan IPTA

  • المجموعة: BERITA - Malay

Pauh Putra, 27 Feb - Ketua Setiausaha (KSU) II, Kementerian Pendidikan Malaysia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, melahirkan rasa puas hati dengan pembentangan projek pembangunan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan (JTPK), Kementerian Pendidikan Malaysia Sektor Pengajian Tinggi di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kampus Pauh Putra, di sini.

Seramai 120 wakil dari IPTA dan KPM terlibat dalam mesyuarat pada kali ini.

Mesyuarat selama sehari yang dijalankan di UniMAP itu merupakan mesyuarat bulanan kementerian bagi membuat pemantauan dan melihat perkembangan terkini projek pembangunan di setiap universiti, politeknik dan kolej komuniti secara keseluruhannya.

Menurut beliau, mesyuarat pada kali ini bertujuan bagi melihat semula laporan Prestasi Perbelanjaan dan Kemajuan Fizikal Projek-projek Pembangunan RMKe-10 di setiap IPTA.

“Saya berharap segala projek yang telah dicadangkan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,”katanya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Pengajian Tinggi KPM, Dato’ Mohamed  Hussain, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom, Bendahari UniMAP, Puan Saodah Hassan dan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid.

Beliau turut dibawa melawat ke kolej kediaman Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) UniMAP serta turut menyempurnakan majlis Pra Perasmian Kolej Kediaman Pauh Putra.

Sebelum mesyuarat dimulakan, Dr. Zaini turut bersenamrobik bersama pengurusan tertinggi UniMAP dan ahli mesyuarat sebelum berbasikal disekitar kampus UniMAP selama 30 minit.

 

<

346 Penghuni Kolej Terima Anugerah Kecemerlangan Akademik

  • المجموعة: BERITA - Malay

KANGAR, 27 Februari – Seramai 346 penghuni Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani (KKTAG), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan penghargaan pada Malam Apresiasi Tunas Akademik (MATA) baru-baru ini.

Majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan bagi memberi penghargaan kepada penghuni kolej berkenaan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata majlis penghargaan seperti MATA yang dianjurkan KKTAG merupakan sesuatu yang baik bagi menaikkan semangat pelajar.

“Majlis penghargaan seperti MATA ini seharusnya dianjurkan oleh semua kolej kediaman untuk memantau prestasi akademik setiap penghuni-penghuni kolej .

“Saya juga ingin menyarankan pihak pengurusan kolej memberikan keistimewaan kepada para penghuni yang mendapat keputusan cemerlang setiap semester seperti dibenarkan memilih rumah dan rakan serumah atau sebilik bagi memudahkan mereka berikteraksi dengan lebih berkesan,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

Turut hadir, Pengetua KKTAG, Raja Shah Erman Raja Arifin dan Pengetua Kolej Kediaman UniCITI ALAM, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Pada masa yang sama juga, Dr. Mohd Fo’ad juga menyambut baik cadangan pengetua kolej agar kajian diadakan dikalangan penerima anugerah berkaitan persekitaran kondusif kolej kediaman yang menyumbang kepada faktor kepada kecemerlangan akademik para penghuni.

Sementara itu, ujar Raja Shah Erman, Anugerah Kecemerlangan Akademik itu bertujuan untuk mengiktiraf penghuni tahun satu hingga empat tahun yang memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan semester 1, 2014/2015 lepas.

“Terdapat dua kategori telah diperkenalkan pada anugerah kali ini iaitu anugerah tunas akademik bestari bagi mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred (PNG) 3.50 ke atas dan anugerah akademik tunas intelek bagi yang memperoleh PNG 3.75 ke atas.

“Dan pada malam ini kita telah memberikan anugerah ekapda 130 penghuni menerima bagi kategori tunas intelek dan 216 anugerah untuk kategori tunas bestari,”katanya.

<

UniMAP Dan Nahda University Anjur Persidangan Bersama

  • المجموعة: BERITA - Malay

KAHERAH,MESIR  26 Februari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menapak selangkah lagi di persada  antarabangsa apabila bekerjasama dengan Nahda University, Mesir, dalam  menganjurkan persidangan bertajuk“Developing Higher Education in the Arab and Islamic World at the Age of Globalization and Knowledge” baru-baru ini.

Persidangan selama dua hari itu berlangsung di Triumph Hotel, dekat sini, dirasmikan isteri kepada bekas Presiden Mesir Dr Jehan Al Sadat.

Ia disertai kira-kira seramai 250 peserta yang terdiri daripada pengurusan utama universiti, pentadbir serta ahli akademik dari seluruh benua Arab, Sepanyol, Indonesia dan juga Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom yang mewakili Naib Canselor UniMAP diberikan penghormatan untuk menyampaikan Ucaptama pada persidangan tersebut.

“ Antara perkara yang ditekankan sepanjang  persidangan ini adalah  berkisar kepada trend pengajian tinggi di peringkat global terutama bagi negara-negara Islam serta bagaimana membangunkan inisiatif bagi membantu sistem pengajian tinggi di negara Arab supaya dapat melayari cabaran global.

UniMAP berasa amat berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan dari Kesatuan Universiti Mesir untuk membantu mereka merangka pelan strategik berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, bersempena dengan persidangan tersebut, deligasi UniMAP turut dijemput untuk  melawat Nahda University yang terletak di Beni Sewiff, 150 kilometer dari Kaherah.
disambut oleh Presiden Universiti tersebut iaitu Profesor Seddik el Efifi serta barisan pengurusan utama universiti.

Ujar Prof. Dr. Hamid lagi,  agenda lawatan tersebut adalah perbincangan kerjasama UniMAP dan Nahda University.

“Kami telah dibawa melawat ke fakulti pergigian, kejuruteraan dan komunikasi yang terletak  di dalam kampus dan delegasi UniMAP turut dibawa ke sesi temuramah bersama  Nahda TV dan Radio.

“Saya berasa amat kagum dengan pembangunan pesat universti yang diasaskan sejak tahun 2006 lalu dan pendekatan konsep praktikal yang diambil oleh pengurusan Nahda University yang ditekankan kepada pelajar-pelajar mereka,”katanya lagi.

Nahda university merupakan sebuah institut pengajian tinggi  swasta yang sedang melonjak namanya di Mesir dan mempuyai seramai 5,000 pelajar.

Turut serta dalam lawatan tersebut , Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Pegawai Khas Naib Canselor, En. Shafiq Hizwari dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembangunan Insan Dan Teknokomunikasi UniMAP Dr. Amani el Ali.

Sebelum Pulang ke Malaysia,  deligasi UniMAP turut mengambil kesempatan untuk  melawat Rumah Perlis di Kaherah yang menjadi premis penginapan bagi Keluarga Pelajar Perlis (KPP).

Menurut Prof. Dr. Abdul Hamid, lawatan ke Rumah Perlis itu  bertujuan bagi mendekatkan silaturrahim dengan pelajar-pelajar yang berasal dari Perlis dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang menetap di situ.

Delegasi UniMAP telah diraikan dengan meriah oleh 80 orang pelajar yang tinggal di rumah Perlis dan disambut oleh Yang Dipertua KPP iaitu saudara Ahmad Mahir.

Premis Rumah Perlis ini diletak di bawah jagaan KPP yang merupakan satu badan kebajikan yang berfungsi menyatupadukan anak negeri Perlis yang belajar di Mesir. Premis terkini yang diduduki ini telah dirasmikan oleh DYTM Tuanku Syed Faizudin Putra pada tahun 2005 dan merupakan premis kedua KPP yang diletakkan di bawah hakmilik kerajaan Malaysia. Pada tahun 2011, KPP mendapat sumbangan daripada MIDF untuk pembinaan dewan dan selesai proses pembinaan pada pertengahan 2013.

<

Raja Muda Perlis Harap Kajian Institusi Raja Didokumentasikan

  • المجموعة: BERITA - Malay

KUALA LUMPUR, 26 Februari - Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail berharap agar semua aspek kajian berkaitan pemerintahan institusi raja dapat didokumentasikan sebagai satu khazanah negara.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj-III) anjuran bersama Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKRIM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, di sini baru-baru ini.

“Ia secara tidak langsung akan menjadi bahan rujukan penting buat generasi akan datang untuk mengetahui dengan lebih jelas melalui koleksi yang dibukukan atau direkodkan dari seantero dunia ini.

“Dokumentasi ini juga akan dapat memartabatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang mempraktikkan Sostem Raja Berpelembagaan,”titah baginda.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man , Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato’ Sri Syed Danial Syed Ahmad,  Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar, Timbalan Ketua Pengarah dasar DBP, Prof. Dr. Zaharani Ahmad  dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Hajah Nafisah Ahmad.

Seminar selama sehari itu, turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri Perlis, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam, Persatuan Perlis Kuala Lumpur dan Perbadanan Nasional Berhad. Pada majlis itu juga, baginda turut berkenan merasmikan pelancaran buku “Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis”  hasil nukilan Pengarah PKRIM UniMAP, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam.

Bertemakan “Pemerintahan DiRaja Dalam Manuskrip Melayu” ucaptama  SIRaj III disampaikan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim,  bertajuk “Raja Sebagai Pemegang Amanah Kedaulatan Bangsa Melayu Melalui Tinjauan Lama dan Baharu”.

Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu dengan memberikan penekanan kepada enam skop yang ditetapkan iaitu Kepimpinan Diraja, Pembangunan Ekonomi Pemerintahan Diraja, Pembinaan Kesenian dan kebudayaan Pemerintahan Diraja, Pendakwahan Pemerintahan Diraja, Hubungan Luar Pemerintahan Diraja dan Surat-Surat Diraja.

Antara pembentang kertas kerja bagi SIRaj III adalah Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam, Pengarah Pusat Penerbitan UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji,Naib Presiden Universiti Islam Malaysia,  Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob dan Pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia Dr. Mohd Kasri Saidon.

Sementara itu, Datuk Kamarudin berkata, banyak kes melibatkan penghinaan terhadap Institusi Raja dilakukan rakyat Malaysia.

“Institusi Raja adalah satu institusi yang tinggi martabatnya dan perlu dipulihara kedaulatannya dari semasa ke semasa. Dan atas dasar itulah juga prinsip rukunegara yang kedua menekankan kepada “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” agar seluruh masyarakat menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu.

“Atas kesedaran dan prinsip rukunegara kedua itulah kami, menganjurkan SIRaj buat kali ketiga berturut-turut dengan harapan bagi melahirkan kesedaran keapda rakyat tentang pentingnya Institusi Raja sebagai teras pemerintahan negara yang berjalan seiring dengan pentadbiran demikrasi ada hari ini,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis tersebut.

Ujar beliau lagi, sebagai sebuah pusat pengumpulan maklumat, UniMAPakan menjadikan SIRaj sebagai satu aktiviti akademik bagi penjanaan ilmu yang berterusan di masa akan datang.

<

Delegasi UniMAP Diraikan Pelajar Perlis Di Mesir

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kaherah, 23 Februari – Delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Hamid Adom disambut meriah oleh 80 pelajar dari Keluarga Pelajar Perlis (KPP) ketika melawat mereka di Rumah Perlis di sini, baru-baru ini.

Prof. Dr. Abdul Hamid yang mewakili Naib Canselornya berkata, lawatan ke Rumah Perlis ini bertujuan bagi merapatkan silaturrahim dengan pelajar-pelajar dari Perlis yang menyambung pengajian di Mesir.

“Saya berharap agar pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan memanfaatkan peluang untuk belajar di Mesir dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Malah beliau turut menyampaikan pesanan daripada Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan mereka.

Delegasi tersebut juga turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang ringgit serta buku-buku terbitan UniMAP kepada mereka dalam satu majlis ringkas.

Terdahulu, pada tahun 2005, Rumah Perlis telah dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizudin Putra dan merupakan premis kedua di bawah jagaan KPP yang diletakkan di bawah hakmilik kerajaan Malaysia.

KPP merupakan satu badan kebajikan yang berfungsi menyatu-padukan anak negeri Perlis yang belajar di Mesir. Pada tahun 2011 pula, KPP mendapat sumbangan daripada MIDF untuk pembinaan dewan yang selesai pembinaannya pada pertengahan 2013. 

<

Kenduri Naik Rumah Kolej Kediaman UniMAP Meriah

  • المجموعة: BERITA - Malay

Pauh Putra, 24 Februari 2015 - Majlis “Kenduri Naik Rumah” Kolej Kediaman Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra berlangsung meriah dengan kehadiran naib canselornya bersama pengurusan tertinggi universiti.

Majlis yang diadakan sempena meraikan kemasukan pelajar ke kolej yang baharu dibuka itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 pelajar yang sudah mula berpindah masuk ke kolej tersebut.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapan aluannya berkata pihak pengurusan universiti sentiasa mengambil kira kebajikan dan keselesaan para pelajar dalam memastikan para pelajar UniMAP 100 peratus memperoleh kemudahan penginapan di dalam kampus.

“Pihak universiti sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk meningkatkan servis penginapan dan Alhamdulillah satu lagi kolej kediaman dapat beroperasi berhampiran dengan Kampus Induk UniMAP ini iaitu Kolej Kediaman UniMAP Pauh Putra.

Apa yang lebih menarik, kedudukan kolej kediaman ini amat strategik kerana ia terletak berhadapan dengan pintu masuk ke Kampus Pauh Putra dan lokasi ini amat berdekatan dengan Pusat-Pusat Pengajian, dewan kuliah dan perpustakaan utama UniMAP,”katanya.

Beliau berharap dengan perpindahan para pelajar ke lokasi berhampiran dengan kampus UniMAP akan memudahkan anak-anak untuk ke kelas sekaligus meningkatkan semangat untuk terus memberikan pencapaian yang terbaik dalam pembelajaran,”katanya.

Menurut beliau lagi kolej tersebut sudah mula menerima pelajar pada 21 Februari 2015 lalu. Jumlah pelajar yang sudah mendaftar masuk adalah sebanyak 2010 orang yang terdiri daripada 1,375 lelaki dan 635 perempuan.

Pelajar yang terlibat adalah pelajar tahun 3 dan 4 dari lima pusat pengajian yang terdapat di Pauh Putra ini iaitu PPK  Pembuatan, PPK Mekatronik, PPK Sistem Elektrik, PPK Mikroelektronik dan PPK Komputer dan Perhubungan,”kata Prof. Dr. Kamarudin.

UniMAP telah menyewa tiga blok apartmen lapan tingkat milik Bumita Properties Sdn Bhd dilengkapi dengan 3 bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, 2 bilik air, ruang dapur dan ruang kawasan jemuran pakaian serta set perabot.

Jumlah pelajar yang dijangka dapat ditempatkan adalah seramai 2,367 orang pelajar untuk satu-satu masa dengan bilangan unit sebanyak 300 unit dan boleh menempatkan seramai 9 orang pelajar pada setiap unit apartmen.

Sementara sebahagian unit diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memudahkan pengurusan dengan pelajar-pelajar.

<

Naib Canselor UniMAP Terima Kejutan Hari Lahir di Acheh

  • المجموعة: BERITA - Malay

Banda Acheh, 15 Februari – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig.Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menerima kejutan hari lahir daripada warga Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) sebaik sahaja selesai membentangkan Pelan Strategik dan Hala Tuju UniMAP 2016-2020 di Dewan Plenarri UUI di sini.

Kejutan tersebut dimulakan dengan tayangan multimedia khas yang memaparkan ucapan selamat dan penghargaan dari warga UUI kepada Datuk Kamarudin termasuk ucapan khas dari Rektor UUI, Marniati M. Kes serta Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal ST.

Sebaik sahaja tayangan multimedia itu selesai, para pensyarah dan warga kerja UUI menolak masuk kek sambil diiringi lagu Selamat Ulang Tahun dan Allah Panjangkan Usia diikuti sesi memotong dan menyuap kek.

Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bercemar duli berangkat hadir ke Majlis tersebut. Turut hadir, isteri Naib Canselor UniMAP yang juga Pengerusi Piskanita UniMAP, Datin Noridah Yangman, Pengerusi Eksekutif Proven Holdings Group Sdn. Bhd, Datuk Yusof Jusoh serta Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Haji Sudin.

Menurut Marniati, selain kejutan hari lahir, ia juga merupakan sebahagian daripada penghargaan UUI terhadap Datuk Kamarudin yang diibaratkan seperti ayah yang banyak membantu beliau dan UUI untuk menjadi antara universiti terbaik di persada antarabangsa.

“Saya terlalu mengkagumi ketokohan beliau dan komitmen beliau dalam membantu kami di UUI selama ini. Beliau merupakan idola kami di UUI dan banyak memberikan tunjuk ajar bagaimana membangunkan dan meningkatkan keterlihatan universiti di persada antarabangsa.

“Selain berkongsi mengenai akademik dan penyelidikan, beliau juga sering membuka peluang hubungan antarabangsa kepada kami melalui pelbagai platform antaranya Asian Universiti President’s Forum (AUPF) dan Asian Summer Program (ASP),” ujarnya.

Marniati juga turut menyambut baik perlantikan semula Datuk Kamarudin sebagai Naib Canselor UniMAP selepas bersara wajib pada 10 Februari lalu.

<

UniMAP Kongsi Kepakaran Bangunkan Kerangka Pengurusan Bencana Kelantan

  • المجموعة: BERITA - Malay

KOTA BHARU, 15 Februari — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghantar staf yang terdiri dari tenaga pengajar dan pentadbir bagi berkongsi kepakaran pada Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan, di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, baru-baru ini

Persidangan  itu merupakan  anjuran USM dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan, Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan untuk mengetengahkan pengetahuan, pemahaman dan meningkatkan kesedaran pemulihan pasca banjir serta mencari penyelesaian yang lestari.

Ia telah disertai lebih 300 peserta dari pelbagai sektor kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh negara.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP berkata, kerajaan negeri perlu memperuntukkan sebahagian bajet tahunan bagi tujuan pengurusan bencana termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengumpulkan dana sumbangan dari individu atau pihak tertentu.

“Kerajaan negeri perlu mewujudkan  satu jawatankuasa  yang mempunyai peruntukan khas supaya pengagihan bantuan bencana boleh dilakukan dengan mudah dan mengelakkan berlakunya penipuan,”katanya yang membincangkan tajuk Kerangka dan Polisi.

Sementara itu bagi Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan UniMAP yang membincangkan tajuk ekonomi dan penghasilan berkata,  kerajaan persekutuan khususnya Majlis Keselamatan Negara perlu membangunkan satu panduan tetap dalam menguruskan sukarelawan.

“ Para sukarelawan perlulah dilengkapkan dengan pelbagai pengetahuan dari aspek sebelum, semasa dan selepas menguruskan bencana agar mereka betul-betul dalam keadaan bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani selain mewujudkan ‘Bank Data’ sukarelawan di Malaysia,”katanya.

Antara staf UniMAP yang turut serta pada persidangan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Ir. Ghafar Ahmad, Penolong Pendaftar Jabatan Keselamatan UniMAP, Mohamad Irhamuddin Mansor dan Pengetua Kolej Kediaman UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

<

Rektor UUI Dilantik Profesor Adjung UniMAP

  • المجموعة: BERITA - Malay

Banda Acheh, 15 Februari – Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia, Marniati M. Kes dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk tempoh dua tahun.

Pelantikan tersebut diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin selepas selesai Program Pembentangan Strategik dan Hala Tuju UniMAP 2016-2020 di Dewan Plenary UUI di sini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat hadir menyaksikan pelantikan tersebut.Turut hadir, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia (YUI), Dedi Zefrizal ST serta semua Pengurusan Tertinggi, Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP.

Menurut Datuk Kamarudin, pelantikan tersebut di buat atas pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh Marniati terutama dalam membangunkan sebuah universiti di Acheh selepas kejadian Tsunami pada tahun 2004 yang lalu.

UniMAP amat mengkagumi komitmen dan kerja keras beliau dalam membangunkan UUI termasuk dalam aspek pengantarabangsaan yang menjadikan UUI antara Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terkenal di Acheh meskipun baru berusia awal 30-an.

“Dengan pelantikan ini, saya berharap beliau dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang dimiliki dengan warga kerja serta pelajar UniMAP,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Marniati berkata, pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan istimewa untuk beliau dan ia menyuntik semangat beliau untuk terus berjaya.

“Jika dibandingkan pengalaman saya dengan pengalaman Datuk Kamarudin memang jauh bezanya, namun penghargaan yang diberikan oleh beliau (Datuk Kamarudin) dan UniMAP ini amat saya hargai dan akan menggunakan platform Profesor Adjung ini bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman saya dengan UniMAP sebaliknya meraih sebanyak mungkin pengalaman melalui kejayaan UniMAP,” ujar beliau.

<

UniMAP - UI perbanyakkan kerjasama

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kangar, 15 Februari (Bernama) - Kerjasama erat yang terjalin antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) di Acheh akan lebih melonjak melalui pelaksanaan lebih banyak usaha secara bersama.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia boleh dilaksanakan melalui promosi, pendedahan dan perkongsian maklumat yang memberi gambaran jelas mengenai landskap pembelajaran di kedua-dua universiti.

Syed Faizuddin bertitah keputusan kerajaan Acheh menaja rakyatnya yang berkelayakan menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UniMAP bermula tahun ini bakal membuka lebih banyak ruang untuk meningkatkan kerjasama tersebut.

"Unimap akan menggunakan tenaga pakar akademiknya bagi membantu penganjuran seminar, penyelidikan dan penulisan artikel ilmiah oleh pensyarah UUI termasuk menerbitkan kertas kerja penyelidikan untuk dikemukakan kepada jurnal terindeks seperti Scopus," titah baginda.

Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap bertitah selepas berkenan merasmikan sebuah bangunan tiga tingkat yang diberi nama 'Gedung Perkuliahan Tarmizi bin Ayus' di kampus utama UUI, Banda Acheh, petang semalam.    

Turut hadir ketua Yayasan Ubudiyah, Dedi Zefrizal serta Rektor UUI, Marniati Kes.

Kenyataan baginda dikeluarkan oleh pejabat Canselor Unimap di sini hari ini.

Menurut Syed Faizuddin, Unimap juga akan membantu menyusun semula kurikulum bersangkutan program yang ditawarkan UniMAP serta menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran di UUI berdasarkan kaedah dan amalan Unimap.

"Bantuan ini diteruskan dengan meningkatkan penglibatan bersama dalam bidang penyelidikan antara Unimap dan UUI selain tenaga pengajar UniMAP memberi syarahan atau kuliah di UUI dari semasa ke semasa," titah baginda.

Naib Canselor Unimap, Datuk Prof Dr Kamaruddin Hussin ialah penasihat kepada UUI yang dilantik tahun lepas bagi membantu membangunkan sistem akademik yang efisien dan sistematik ke arah menjadikan UUI 'Universiti Siber Berkelas Dunia' menjelang tahun 2025.

Pada majlis itu, Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan sebuah kincir angin sumbangan anak Perlis, Tariq Husni yang merupakan pengurus projek di Mechanical Training Solutions Sdn Bhd Malaysia kepada UUI. - Bernama

<

UniMAP Holdings Dan Yayasan Ubudiyah Indonesia Jalin Kerjasama Strategik

  • المجموعة: BERITA - Malay

Banda Acheh, 15 Februari – UniMAP Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dan Yayasan Ubudiyah Indonesia (YUI) memeterai kerjasama strategik khususnya dalam aspek pembangunan latihan dan kerjaya selain turut merangkumi kerjasama dalam aspek pendidikan dan penyelidikan.

Pengurus Operasi UHSB, Dr. Mohd. Najmuddin Hassan berkata,  menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) selain turut merancang lawatan ilmiah di Malaysia dan Acheh.

Menurut beliau lagi, kerjasama tersebut antara lainnya membolehkan YUI dan UniMAP saling berkongsi kepakaran teknikal selain turut bersetuju agar kedua-dua pihak berkongsi kemudahan akademik, latihan dan penyelidikan yang dimiliki.

“Perjanjian ini akan terus ditambahbaik dari semasa ke semasa dan untuk permulaan ini semua perjanjian sah dalam tempoh tiga tahun,” ujar beliau selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USHB dan YUI.

Pada majlis tersebut, UHSB diwakili oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UHSB manakala YUI diwakili oleh Ketuanya, Dedi Zefrizal ST. Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat hadir menyaksikan majlis MoU tersebut.

Turut hadir menyaksikan, Ahli Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Wira Salleh Haji Din dan Rektor UUI, Marniati M. Kes.

MoU tersebut diadakan bersempena Program Kembara Ilmu Di Bumi Acheh yang disertai oleh semua Pengurusan Tertinggi , Dekan serta Ketua Jabatan UniMAP. Terdahulu, Datuk Kamarudin turut membentangkan Pelan Strategik UniMAP untuk tempoh lima tahun mulai 2016 hingga 2020.

YUI ditubuhkan khusus untuk melahirkan lebih ramai sumber manusia yang kompetitif dalam pelbagai bidang dan aspek khususnya pendidikan serta penyelidikan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik di Indonesia amnya dan Acheh khasnya.

 

 <

UniMAP Pertahan Kejuaraan Di MTE 2015

  • المجموعة: BERITA - Malay

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2015 - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempertahankan kejuaraannya  buat kali ke  berturut-turut tiga tahun berturut-turut di Malaysia Technology Expo (MTE) 2015 yang berlangsung pada 12 hingga 14 Februari lalu,  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pada pameran yang berlangsung selama tiga hari itu, kumpulan penyelidik UniMAP berjaya membawa pulang 10 pingat emas 14 perak dan 10 gangsa serta tiga anugerah khas.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, berkata, pada penyertaan kali ini, UniMAP lebih menumpukan kepada produk-produk yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Pada penyertaan kali ini, UniMAP  menghantar sebanyak 35 produk, sama seperti tahun lalu dan saya amat bersyukur kerana dengan produk-produk ini, kita dapat mengekalkan kejuaraan malahan  tiga produk UniMAP telah berjaya memikat hati juri sekaligus mendapat anugerah khas.

“Dua produk Profesor Dr. Uda Hashim iaitu Salivary Glucose Measurement For Diabetes Mellitusmendapat anugerah khas Croatia INOVA  manakala produk  HPV Cervical Cancer Sensor Detection Kitmeraih anugerah The Very Best Awardyang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, trofi dan sijil penghargaan,”katanya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya lagi, satu lagi produk yang meraih anugerah khas The Best Award adalah hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Kenneth Sundaraj yang bertajuk  IPOD - Intelligent Pulmonary Online Diagnosidan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Technology Developement Corporation, Datuk Norhalim Yunus.

MTE 2015 anjuran oleh Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibition Sdn. Bhd. disertai lebih 300 produk penyelidikan dari 14 institut penyelidikan awam dan swasta.

<

UniMAP Serah Sumbangan Untuk Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam Acheh

  • المجموعة: BERITA - Malay

Banda Acheh, 15 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dalam rangka Program Kembara Ilmu di Bumi Acheh turut berkesempatan berkunjung ke rumah anak-anak yatim Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam (YPI) di Seutui di sini.

Berkenan berangkat hadir dalam lawatan tersebut ialah Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia, Marniati M. Kes, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal ST dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan, Mohd. Nizar Haji Sudin.

Panti asuhan tersebut ditubuhkan semenjak tahun 1959 oleh Ustaz Zulkarnaen namun selepas kejadia tsunami yang melanda acheh, ia diubah suai mengikut hasil model rencana kontingensi bencana Gempa-Tsunami bagi mengumpulkan anak-anak mangsa tsunami yang terselamat dari bencana tetapi kehilangan harta benda, ibu atau ayah dalam bencana tersebut.

PYI menghimpunkan hampir 60 orang anak-anak yatim berusia di antara enam hingga 17 tahun. Kesemua anak-anak tersebut akan tinggal di YPI tersebut sehingga menamatkan persekolahan peringkat sekolah menengah rendah atau sekolah menengah atas.

Menurut guru agama panti asuhan YPI, sebahagian besar anak-anak akan kembali ke kampung halaman masing-masing sebaik tamat pengajian peringkat sekolah sama ada untuk meneruskan kelansungan hidup dengan bekerja atau menyambung pengajian ke pringkat universiti.

“Anak-anak ini akan dihantar bersekolah pada waktu siang sama seperti anak-anak lainnya, dan pada waktu malam akan mengikuti kelas pengajian Al-Quran dan kuliah agama,” ujar beliau sewaktu sesi taklimat dan pengenalan.

Pada sesi kunjungan tersebut juga, UniMAP turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai kepada pentadbiran panti asuhan selain turut sumbangan duit belanja kepada anak-anak YPI.

Selain itu, anak-anak YPI turut dihiburkan dengan sesi aktiviti dan permainan yang dikendalikan oleh Penolong Pendaftar UniMAP, Muhammad Azuan Mohd. Nasir.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin melahirkan rasa kagum dengan semangat anak-anak PYI yang begitu ceria dan bersemangat menerima kunjungan tetamu meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

Beliau seterusnya menasihati anak-anak YPI untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai jaminan masa hadapan masing-masing.

“Saya terharu, bangga dan kagum dengan semangat kental anak-anak ini yang pada hemat saya amat gembira dengan kehidupan mereka di panti asuhan ini,” ujar beliau.

 <

UniMAP Perlu Lebar Kolaborasi Di Peringkat Antarabangsa

  • المجموعة: BERITA - Malay

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu melebarkan kolaborasinya dengan institusi pengajian tinggi yang terbaik di luar negara selain menjalin kerjasama dengan sektor industri dan agensi kerajaan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP berharap, langkah itu bukan sahaja menjadikan universiti itu melonjak namanya di persada antarabangsa tetapi dapat menghasilkan graduan yang holistik dan modal insan yang releven dengan kehendak negara.

"UniMAP juga perlu memberi fokus kepada kegiatan pengkomersialan dan pembinaan harta intelek selain penjanaan pembangunan sosio ekonomi dan perkembangan sosial masyarakat," titah baginda ketika merasmikan pembentangan 'Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020' di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Banda Acheh, Indonesia hari ini.

Pembentangan pelan strategik lima tahun itu dilakukan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin kepada para pegawai tertinggi UUI, yang telah menjalin kerjasama akademik dengan UniMAP beberapa tahun lalu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan UniMAP di sini, baginda juga mahu universiti itu menghasilkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam aspek sains dan teknologi bagi menghasilkan produk bermanfaat kepada masyarakat yang secara tidak langsung menyumbang kepada sumber kekayaan universiti dan negara.

Melalui kolaborasi yang telah dan bakal terjalin dengan pelbagai pihak yang berpotensi, baginda yakin UniMAP mampu berdepan dengan cabaran dan persaingan global yang semakin sengit terutama sektor ekonomi yang bertunjangkan kekuatan sains dan teknologi.

Pada majlis itu juga, seorang usahawan Malaysia, Datuk Yusof Jusoh, Pengerusi Eksekutif Proven Group of Companies menyampaikan ucapan bertajuk 'Transformasi Akademia' kepada para pegawai kanan UUI.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Prof Emeritus Datuk Ir Dr Zainai Mohamed, Ketua Yayasan Ubudiyah Dedi Zefrizal dan Rektor UUI Marniati M. Kes.

 

<

UniMAP Sasar Kedudukan 500 Universiti Terbaik Dunia Menjelang 2020

  • المجموعة: BERITA - Malay

PAUH PUTRA (ARAU), 11 Feb (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk terus berdaya saing dan relevan dengan menyasarkan berada dalam ranking ke-500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

Naib Canselornya Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata antara strategi ke arah mencapai matlamat itu ialah penubuhan pasukan 'Intelligent QS' bagi memastikan kriteria dan indikator yang ditetapkan dipenuhi.

"Berdasarkan QS World Universitites Ranking and Rating, UniMAP kini berada antara 750 hingga 800 universiti terbaik dunia walaupun ia universiti awam termuda negara yang menduduki tangga 243 di Asia.

"Ini menunjukkan kita sedang mendekati indikator untuk mencapai kedudukan 500 terbaik dunia tetapi perlu terus berusaha selain memastikan UniMAP relevan dengan perkembangan semasa,"katanya selepas menyampai ucap tama selepas dilantik semula sebagai Naib Canselor UniMAP di sini, Rabu.


Beliau menamatkan perkhidmatan semalam dengan mencatat sejarah sebagai Naib Canselor paling lama memegang jawatan itu selama 13 tahun dan dilantik semula secara kontrak selama setahun bermula hari ini.

Indikator lain ialah reputasi majikan, nisbah sitasi per pensyarah, nisbah penerbitan per pensyarah, jumlah pelajar antarabangsa serta pertukaran pelajar dalam negeri dan luar negara, katanya.

"Kita telah menghampiri indikator ini...dan perlu melaksanakan banyak lagi inisiatif sekiranya berhasrat mencapai kedudukan antara 500 universiti terbaik dunia pada tahun 2020," katanya.

Kamarudin berkata UniMAP akan melantik profesor dari universiti terkemuka dunia untuk menilai penerbitan dan kegiatannya yang akan dihantar setiap minggu bagi melonjak kedudukannya.

Perancangan juga dibuat untuk menjana pendapatan sehingga 30 peratus dari jumlah perbelanjaan UniMAP setahun menjelang 2020 berbanding 15 peratus pada masa ini.

"Usaha ini akan dilaksanakan antaranya melalui kerjasama keusahawanan dengan pihak luar, meningkatkan endowmen, memanfaatkan litar go-kart, pembinaan sekolah antarabangsa di UniCiti di Padang Besar dan memajukan Putrace (Proven UniMAP Training Centre) untuk pertandingan robot," katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Kamarudin meminta kakitangan UniMAP menyumbang pendapat ke arah meningkatkan daya saing universiti itu.

Beliau berkata UniMAP menyertai Liga QS Universities Ranking and Rating adalah selari dengan tujuan penubuhannya menjadi universiti kejuruteraan terkemuka dunia.

"Saya juga berbangga kerana UniMAP turut menghantar 2,100 sukarelawan dianggotai 1,900 pelajar dan 200 staf membantu mangsa banjir pantai timur baru-baru ini di samping menyumbang kutipan sebanyak RM41,041," katanya.

Majlis itu dihadiri pegawai-pegawai kanan serta staf-staf UniMAP.

<

MPKK UniMAP Anjur Program Silang Budaya Ilmu Lakar Sejarah Tersendiri

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kota Kinabalu, 10 Februari -  Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Program Usahasama bersama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Anugerah Bestari (JAKMAS AB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui penganjuran Program Silang Budaya Ilmu di sini.

Program berteraskan kepada pengukuhan peranan pemimpin kolej kediaman, khidmat komuniti dan patriotisme yang berlangsung dari 6 hingga 10 Februari itu melibatkan penyertaan seramai 20 Ahli MPKK kolej Tan Sri Aishah Ghani (MPKKTAG) UniMAP, 15 Ahli JAKMAS UMS bersama 5 orang staf UniMAP.

Menurut Pengarah Program, Mohamad Rafi’uddin Mohaygen yang juga merupakan Yang Dipertua MPKKTAG, program ini mendapat kerjasama sepenuhnya pihak Kolej Kediaman AB UMS dimana ia turut merangkumi aktiviti lawatan kampus, perkongsian pintar, persembahan kebudayaan, sukan persahabatan, program motivasi dan khidmat komuniti.

“Semua Ahli MPKKTAG yang mengikuti program ini telah berusaha membuat persediaan sejak dari semester lepas lagi dalam segenap aspek termasuk berhubung sendiri dengan pihak JAKMAS di UMS. Program ini juga turut mendapat kerjasama dari pihak Biro Tatanegara Negeri Perlis dan Sabah,”katanya.

Pengetua Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani, YM Raja Shah Erman Raja Arifin yang turut menyertai program tersebut melahirkan rasa amat berpuashati dengan perancangan, persediaan dan pelaksanaan yang dilakukan sendiri oleh kepimpinan pelajar KKTAG termasuk mengorbankan cuti semester untuk mencari tajaan bagi menampung sebahagian dari kos program ini.

“Program ini diuruskan sendiri oleh MPKKTAG termasuk berhubung terus dengan JAKMAS UMS dalam mengatur aktiviti bersama. Ini membuktikan mereka berjaya mewujudkan komunikasi yang berkesan walaupun jauh secara geografinya.”katanya

Dalam sesi interaksi yang dijalankan antara MPKKTAG dan JAKMAS AB, Saudara Mohd Aimran Mohd Yunus  yang merupakan Yang DiPertuanya memuji inisiatif yang telah diambil oleh MPKKTAG apabila berjaya membawa kepimpinan kolej ke Sabah untuk bersama-sama berkongsi peranan JAKMAS termasuk aktiviti yang dijalankan secara berterusan dalam melahikran penghuni kolej yang proaktif.

“Kehadiran MPKKTAG ke UMS juga telah membuka lembaran baru kepada kepimpinan kami di kolej apabila banyak aktiviti berimpak yang telah dilaksanakan oleh UniMAP akan dijadikan penandaaras kepada pihak JAKMAS.

Gabungan pemimpin mahasiswa dalam melaksanakan program motivasi di sekolah sememangnya pendekatan terbaik dalam berkongsi kepakaran sebagai fasilitator,”katanya yang ditemui semasa Program Motivasi di SMK Ranau pada hari ketiga program berlangsung.

Selain itu, Kg. Singgarun Baru di daerah Ranau turut menjadi destinasi MPKKTAG bagi melaksanakan aktiviti khidmat komuniti seperti menanam pokok, merewang dan keluarga angkat.

Bagi melahirkan pemimpin mahasiswa yang berpengetahuan aras tinggi dan peka kepada isu-isu semasa, satu ceramah berkaitan Keselamatan Perairan Sabah turut diselitkan di dalam program ini. Program Silang Budaya Ilmu turut dihadiri Pengetua Kolej AB UMS, Pengetua Kolej Kediaman Zon Kuala Perlis UniMAP dan Penolong Pengetua KKTAG.

<

Warga Tumpat Melawat UniMAP

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kangar, 10 Februari  2015 –  Hubungan baik yang terjalin menerusi Operasi Pasca Banjir ke Pantai Timur baru-baru ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan menerima kunjungan balas dari  warga Tumpat, Kelantan dalam rangka lawatan mereka selama dua hari ke universiti itu.

Naib Canselor UniMAP berkata, melalui program Ops Pasca Banjir UniMAP ke Pantai Timur secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara universiti dengan warga Tumpat.

“Bagi UniMAP segala bantuan yang telah dihulurkan merupakan sebahagian sumbangan tanggungjawab sosial universiti (CSR) kepada masyarakat. Selain menghulurkan bantuan kewangan serta sukarelawan, UniMAP juga turut menghulurkan bantuan kepakaran teknologi.

Sepanjang Ops Pasca Banjir UniMAP ke Pantai Timur, seramai 1,870 sukarelawan terlibat dalam menjayakan tujuh fasa yang telah ditetapkan pihak universiti. UniMAP juga turut menyumbangkan 1,423 pakaian dan keperluan sekolah kepada pelajar dari tujuh buah sekolah sekitar Tumpat,” katanya.

Pada lawatan tersebut seramai 90 orang Pelajar dan guru dari lima buah sekolah di Tumpat terlibat antaranya Sek. Men. Kebangsaan Kg Laut, Sek.Men. Kebangsaan Tumpat, Sek. Men. Kebangsaan Wakaf Baru, Sek. Men. Kebangsaan Genting dan Sek. Kebangsaan Pulau Beluru.

Turut sama dalam lawatan tersebut adalah dua buah sekolah dari Sungai Petani iaitu Sek . Kebangsaan Tuan Syed Jan Al-Jafri dan Sek. Kebangsaan Sungai Petani serta Sekolah Seri Puteri Cyeberjaya.

Beliau ketika menyampaikan ucapan pada Malam Penghargaan dan Majlis Makan Malam Sempena Tamat Latihan PALAPES UniMAP berharap agar segala kerjasama yang terjalin antara UniMAP dan pihak sekolah dapat diteruskan dengan pelbagai perancangan dan agenda dapat direncanakan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan sekaligus memupuk minat para pelajar dari peringkat sekolah untuk mencintai bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, pada majlis tersebut turut diraikan adalah 261 orang Pegawai Kadet PALAPES UniMAP yang telah berjaya menamatkan Latihan Kem Tahunan selama dua minggu di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam Kedah.

<

Fakulti Teknologi Kejuruteraan UniMAP Tubuh Kumpulan Penyelidik SMART

  • المجموعة: BERITA - Malay

Kangar, 9 Februari – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FETech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),  mengorak langkah dengan menubuhkan Kumpulan Penyelidikan “Sport, Material & Advanced Research Technology (SMART) yang akan memberi fokus kepada penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

SMART merupakan kumpulan penyelidikan yang menggabungkan teknologi sukan serta teknologi bahan yang mana fokus penyelidikan menumpukan kepada peningkatan kualiti dan mutu sukan di negara ini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin berkata, penubuhan kumpulan penyelidikan tersebut juga adalah susulan kepada penawaran program pengajian baru di bawah FETech iaitu Kejuruteraan Teknologi Sukan yang dijangka mengambil pelajar pertama September tahun ini.

“Adalah menjadi hasrat saya penubuhan kumpulan penyelidikan ini yang turut membabitkan penglibatan atlit-atlit UniMAP secara tidak langsung akan membantu para penyelidik membuat kajian berhubung isu dan masalah yang membelenggu para atlit di negara ini.

“Semoga produk penyelidikan SMART ini bukan sahaja memberi manfaat besar untuk UniMAP sebaliknya masyarakat sejagat serta mampu menghasilkan inovasi yang dapat meningkatkan mutu dan prestasi atlit sekaligus memantapkan mutu sukan negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kumpulan Penyelidikan SMART bersempena Malam Penghargaan FETech dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CeGeoGTech) serta pelancaran Buku Laporan Tahunan CeGeoGTech di sini semalam.

Majlis tersebut dianjurkan khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kumpulan penyelidik FETech dan CeGeoGTech yang meraih pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2014 yang lalu.

Turut menerima penghargaan ialah 10 Agensi Media yang banyak membantu mempromosikan kejayaan dan kecemerlangan FETech serta CeGeoGTech iaitu Berita Harian, Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sinar Harian, Harian Metro, New Straits Time, Guang Ming Daily serta Sin Chew Daily.

Pada majlis tersebut juga, dua Penolong Editor iaitu Khairina Yassin dari Berita Harian serta Adnan Jahaya dari Bernama turut menerima anugerah kewartawanan CeGeoGTech.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin berkata, penawaran program Teknologi Kejuruteraan ini bukanlah agenda UniMAP sebaliknya pendidikan teknikal dan kejuruteraan yang lebih realistik merupakan suatu agenda penting kerajaan dalam usaha menyokong pertumbuhan industri negara.

Ujar beliau, ia berikutan kurikulumnya yang digubal khusus bagi menyeimbangi  kemahiran kerja dan ilmu pengetahuan dan pada masa sama memberikan fokus agar masyarakat tidak hanya tahu menggunakan segala teknologi terkini malah turut sama menjadi penyumbang utama terhadap penghasilan teknologi.

“Saya percaya, dalam aspek pembelajaran, graduan teknologi kejuruteraan akan berdepan dengan pendekatan praktikal yang lebih banyak yang mana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran teknikal yang dimiliki.

“Pendekatan kurikulum seimbang sebegini merupakan cerapan dari pendekatan yang telah terbukti keberkesanannya di Jerman, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara maju yang lain yang mana ia lebih memudahkan pelajar,” ujar beliau lagi.

<

INEE Raih Anugerah PATRON Pada EREKA 2014

  • المجموعة: BERITA - Malay

PAUH PUTRA, 6 Februari — Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) meraih hadiah patron selepas memperolehi 10 pingat emas pada Ekspo dan Pameran Penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (EREKA 2014) di Dewan Ilmu, Kampus Pauh Putra, baru –baru ini.

Pingat emas disumbangkan Pengarah INEE, Prof. Dr. Uda Hashim, (enam emas) manakala Prof. Madya Dr. Yarub Al-Douri  meraih dua emas dan Dr. Ruslinda A. Rahim serta  Mohammad Nuzaihan Md Nor masing-masing meraih satu emas.

Manakala Anugerah Khas, Best Of The Best Award dimenangi Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK)  Sistem Elektik, Baharuddin Ismail dengan produk Harmonic generator dan  Wong Yee Shian dari PPK  Alam Sekitar meraih Anugerah Khas Best Green Award bagi produk Advanced ASGCB for the Production of Bio-Methane Gas.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, antara perkara yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik termasuklah aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana.

“Sebagai sebuah universiti  yang mempunyai pelbagai kepakaran kita perlulah berusaha untuk membuat kajian berimpak tinggi.

“Saya ingin menyeru kepada semua penyelidik untuk menghasilkan sesuatu yang berguna dan bermanfaat dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup generasi kita  pada masa hadapan,”katanya

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP,  Profesor Madya Dr. Mohd Foad Sakdan, Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan UniMAP Dr. MukhzeerMohamad Shahimin.

Sebanyak 340  produk penyelidikan dari 15 Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab dipertandingankan pada EREKA 2014 manakala 84 bagi EMYIS 2015 kali ini.

<

Pensyarah UniMAP Dilantik Pengurus Jabatan Akademi IFIA Berpusat Di Switzerland

  • المجموعة: BERITA - Malay

Bangkok, 5 Februari – Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah mencipta sejarah tersendiri menjadi satu-satunya anak Melayu yang menganggotai International Federation of Inventors Association (IFIA) yang berpusat di Geneva Switzerland.

Dr. Mohd. Mustafa dilantik sebagai Pengurus bagi Jabatan Akademi IFIA yang baru ditubuhkan tahun ini  seperti yang diumumkan oleh Presiden IFIA, Alireza Rastegar dalam satu mesyuarat promosi  aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan antara Setiausaha Agung National Research Council of Thailand(NRCT) Prof. Dr. Soottiporn Chittmittrapap, Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan IFIA.

Jabatan Akademi IFIA ditubuh bagi menyelaras aktiviti-aktiviti penyelidikan yang member focus kepada program ilmiah selain daripada inovasi seperti bengkel, persidangan, seminar dan kursus jangka pendek.

Pemilihan Dr. Mohd Mustafa dibuat selepas mengambil kira keupayaan, pengalaman dan kepakaran yang beliau miliki terutama dalam membuasayakan aspek inovasi dan penyelidikan di kalangan penyelidik muda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Mustafa berkata, pelantikan tersebut bukan bersifat peribadi sebaliknya ia secara tidak langsung membantu mempromosikan UniMAPdi mata dunia.

“Saya berharap, melalui tanggungjawab yang diamanahkan ini, saya mampu membudayakan sains dan inovasi secara lebih meluas seterusnya melahirkan lebih ramai saintis dari kalangan generasi muda terutama dari Malaysia,” ujar beliau.

IFIA ditubuhkan pada tahun 2006 yang lalu dan kini dianggotai oleh lebih 50 buah negara dari seluruh dunia.

<

Jelajah TECHPARK UniMAP

  • المجموعة: BERITA - Malay

KANGAR, 3 Februari — Para penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sewajarnya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan peralatan yang terdapat di makmal-makmal secara optimum bagi menghasilkan produk yang berimpak tinggi.

Pengerusi Majlis Profesor UniMAP, Prof. Dr. Ali Yeon Md Shakaff berkata, walaupun memiliki peralatan makmal yang canggih, namun, ia masih belum digunakan sepenuhnya oleh penyelidik UniMAP.

“Atas kesedaran itu, kita telah menganjurkan Program Jelajah Techpark UniMAP bagi membawa Profesor-profesor untuk melihat sendiri kemudahan yang terdapat di Pusat Kecemerlangan UniMAP.

“Dalam lawatan selama sehari itu, kita telah dapat mengenalpasti secara lebih mendalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh setiap Pusat Kecemerlangan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program itu baru-baru ini.

Seramai 10 Profesor dari lapan pusat tanggungjawab mengikuti lawatan ke lima Pusat Kecemerlangan UniMAP, antaranya  Advanced Sensor Technology (CEASTech), Unmanned Aerial Systems (UAS), Advanced Communication Engineering (ACE), Institut of Nano Electronic Engineering (INEE) dan Advanced Multidisciplinary MEMS-Based Integrated Electronics NCER Centre Of Excellence (AMBIENCE).

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Ujarnya lagi, usaha yang dijalankan Majlis Profesor itu akan membolehkan   kerjasama antara pusat kecemerlangan dapat diwujudkan dalam masa terdekat untuk menghasilkan produk penyelidikan yang berimpak tinggi.

“Kita akan mengadakan program lawatan fasa dua ke pusat-pusat pengajian yang lain untuk mengenalpasti kelebihan yang boleh dikongsikan oleh semua warga UniMAP,”katanya lagi.

<