SEMBILAN NEGARA BERHIMPUN DI ICoBE 2021
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 15 September - Sebanyak sembilan negara berkumpul bagi menghadiri Seminar Antarabangsa Kejuruteraan Biomedikal (ICoBE) 2021 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) secara dalam talian, semalam.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP sangat proaktif dalam menyahut seruan kerajaan Malaysia yang menekankan pencarian ilmu baharu melalui penyelidikan.
“Kita menjadikan seruan kerajaan ini sebagai satu penanda aras untuk mencipta kejayaan tersendiri dalam penyelidikan dan percaya seminar seumpama ini adalah penting untuk jaringan kerjasama dan membuka peluang untuk perkongsian dan pertukaran idea dan ilmu pengetahuan.
“Seminar yang diadakan dwitahunan ini berjaya menghimpunkan sembilan negara antaranya Filipina, Jepun, Malaysia yang akan menyumbang dan berkongsi pengetahuan sesama mereka sekaligus menukarkan kejuruteraan menjadi teknologi moden,” katanya ketika berucap merasmikan seminar tersebut.
Turut hadir adalah Presiden merangkap Canselor De La Salle University, Bernard Oca; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Rizalafande Che Ismail; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, UniMAP berhasrat untuk meningkatkan hubungan strategik antara universiti berfokuskan bidang infrastruktur dan penyelidikan.
“Kami menyasarkan kerjasama ini akan menghasilkan penyelidikan dan sumbangan dari segi skil, pengetahuan teknikal dan saintifik.
“Malah mengeratkan hubungan antara universiti dalam dan luar negara yang memberi manfaat kepada penyelidik dan juga ahli akademik,” katanya.
Selain itu, beliau yakin persidangan ini akan menjadi medium perkongsian bidang penyelidikan kejuruteraan biomedikal dan penjagaan kesihatan dalam kalangan penyelidik.
“Bagi penyelidik muda, mereka boleh bertukar ilmu pengetahuan bagi meningkatkan program akademik, penyelidikan dan saintifik yang membantu kehidupan generasi akan datang,” katanya.
Dalam majlis sama turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UniMAP dan De La Salle University yang masing-masing diwakili oleh Prof. Dr. Zaliman dan juga Bernand Oca.